Tuesday, 11 June 2013

YB dipilih untuk berkhidmat, bukan buat huru-hara

  Keadaan di negara ini sepatutnya kembali tenang dan bebas daripada kemelut politik selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Tempoh selepas pilihan raya ini seharusnya digunakan dengan sebaik mungkin oleh wakil rakyat yang terpilih untuk berkhidmat di kawasan masing-masing bagi membalas jasa pengundi.

  Tetapi apa yang dilakukan pembangkang sekarang adalah sebaliknya. Mereka kini sibuk dengan perhimpunan demi perhimpunan, kononnya atas alasan berlaku penipuan dalam pilihan raya umum lalu.
   Dalam satu perkembangan terbaru semalam, pakatan pembangkang dikatakan akan meneruskan rancangan untuk menganjurkan perhimpunan secara besar-besaran di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Tarikhnya, bagaimanapun ditunda dari Sabtu ini ke Sabtu minggu berikutnya.

  Tempat terbuka sudah tentu tidak sesuai digunakan sebagai lokasi perhimpunan. Keadaan boleh menjadi tidak terkawal sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini, apatah lagi dengan adanya ucapan yang boleh membangkitkan semangat hadirin.
  Justeru, adalah wajar pihak penganjur Himpunan 505 itu memikirkan soal keselamatan dan mengambil kira perasaan rakyat yang tidak suka pada keadaan yang boleh menimbulkan huru-hara. 

  Dari dulu hingga sekarang, mereka menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai kambing hitam dan menuntut supaya Pengerusi dan Timbalannya melepaskan jawatan masing-masing.
  Nada mereka sama saja dan tidak berubah sejak sebelum pilihan raya sehingga sekarang. Selagi tidak menang, selagi itulah ia menjadi perjuangan mereka. Inilah apa yang katakan sebagai ‘rumah siap, pahat berbunyi’.  

  Jelas bahawa mereka belum puas berkempen dan berpolitik. Mereka gagal memahami situasi di mana rakyat kini sudah muak dengan politik.
  Yang sudah itu patut sudahlah. Terimalah keputusan PRU-13 dan teruskan kehidupan. 

Mereka seharusnya sedar bahawa segala janji yang ditaburkan ketika waktu berkempen dulu perlu ditunaikan. Kerja mesti diuruskan dengan baik. Pengundi berharap untuk melihat wajah wakil rakyat mereka untuk turun ke padang dan menyelesaikan beberapa masalah yang belum selesai.
  Pihak pembangkang sebenarnya tidak puas hati kerana keputusan pilihan raya itu memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN). Seandainya mereka menang, sudah tentu  mereka akan senyap sunyi dan tidak mempertikaikan apa-apa pun.

  Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dalam satu kenyataan kelmarin menegaskan, pihaknya tidak akan memberi kebenaran kepada pembangkang untuk berhimpun di Padang Merbok.
  Akta Perhimpunan Aman 2012 menetapkan penganjur memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan yang akan diadakan dalam tempoh 10 hari dan mendapat kebenaran pemilik premis. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur adalah pemilik Padang Merbok dan Dataran Merdeka.

  Namun, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang bertindak selaku jurucakap penganjur, menyatakan kenyataan Tengku Adnan itu tidak menghalang mereka daripada mengadakan perhimpunan berkenaan.
   PAS pula memutuskan untuk turut serta dalam perhimpunan itu walaupun sebelum ini beberapa pemimpinnya termasuk Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib menyatakan   parti itu tidak akan menganjur atau mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan.

  Apapun, beberapa pihak mahukan Kementerian Dalam Negeri dan polis bertindak ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya perhimpunan tersebut mencetuskan huru-hara.
  Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pihak berkuasa tidak harus teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang melanggar undang-undang.

  Katanya, tindakan tegas harus dikenakan ke atas mereka yang cuba membuat huru-hara supaya ia menjadi pengajaran kepada semua pihak.
  Beliau berkata, sekiranya pembangkang asyik menganjurkan perhimpunan, negara akan hancur kerana pelabur tidak akan datang jika negara menghadapi masalah.

  “Saya gesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas tak kira ke atas sesiapa juga yang cuba merosakkan kestabilan negara. Ini adalah masa untuk pihak berkuasa bertindak, bukan sekadar memberi amaran,” katanya.
  PRU-13 sudah selesai dijalankan secara   demokratik dan aman dan sudah sampai masanya setiap wakil rakyat berkhidmat kepada negara, bukan untuk melakukan huru-hara. – Berita Harian, 11 Jun 2013