Wednesday, 12 June 2013

Wahid bawa budaya swasta ke sektor awam

  Penulis ingin menarik perhatian kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Abdul Wahid Omar minggu lalu berhubung komitmennya untuk mempertingkatkan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bagi memacu ekonomi negara dengan lebih cergas.

 Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menerima pandangan serta cadangan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha menambah baik pencapaian jabatan berkenaan.
  Bagi mereka yang tidak mengenali Wahid sudah tentu beranggapan bahawa ia satu kenyataan retorik yang sering diungkapkan oleh seorang menteri baru.

  Sebelum ini ramai juga menteri lain pernah membuat ikrar sama. Malah ada yang pernah memberi nombor telefon bimbit kepada orang ramai bagi mendengar rintihan dan masalah rakyat secara terus. Tapi apa yang dijanjikan itu kemudian hanya tinggal janji.
  Serentak dengan itu, bekas Ketua Eksekutif Maybank itu juga mahu agensi di bawahnya menjalankan setiap tugas dengan segera atau with a greater sense of urgency, walaupun ia memerlukan kakitangannya bekerja pada hujung minggu.

  Bravo! Inilah jenis menteri yang kita mahu. Apa yang beliau ingin terapkan ialah membawa budaya kerja swasta ke sektor awam. Bukan semua jabatan kerajaan lembab tapi sebahagian besarnya boleh mencontohi budaya yang diguna pakai di sektor swasta bagi mempercepatkan proses pentadbiran.
  Jika Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara, dua agensi yang mempunyai hubungan secara langsung dengan orang ramai, pun boleh menyegerakan proses permohonan pasport dan MyKad sejak beberapa tahun lalu, sudah tentu jabatan lain juga boleh melaksanakan sesuatu tugas dengan segera.

  Apa yang diperlukan hanya komitmen dan azam seperti yang ditunjukkan Wahid. Baginya, sikap tidak melengahkan kerja terpakai dalam sektor awam dan swasta. Beliau mahu meneruskan budaya kerja itu di tempat barunya bagi mengelakkan kerja semakin bertambah.
  “Di mana-mana organisasi yang saya sertai, saya berikrar bahawa organisasi itu akan melaksanakan kerja dengan pantas, cekap supaya kesesakan kerja tidak berlaku,” katanya.

  Ketika meminta orang ramai tampil memberi idea bagi meningkatkan kebolehan  EPU, Wahid berkata pandangan tersebut akan diambil kira dalam memperbaiki apa juga kelemahan di jabatan berkenaan.
  Pada era ini, segala-galanya boleh dilakukan di hujung jari secara online dan maklum balas itu lebih mudah disalurkan menerusi internet. Namun adalah lebih baik sekiranya orang ramai dapat bertemu wajah secara langsung dengan pak menteri tanpa banyak kerenah birokrasi dan protokol.

  Orang ramai juga harus tahu maklum balas bagaimana yang diperlukan oleh EPU kerana bukan semua bidang tugas jabatan itu memerlukan pembabitan khalayak awam.
  Sekiranya apa yang dijanjikan Wahid itu berjaya dilaksanakan, pastinya ia wajar dicontohi oleh menteri lain, khususnya yang ada hubungan secara langsung dengan orang ramai.

  Selama ini pun kerenah birokrasi adalah antara punca kelemahan dan kelewatan dalam jabatan kerajaan. Kajian harus dilakukan untuk melihat sejauh mana pendekatan ‘Hari Bersama Pelanggan’ berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.
  Pada zaman di mana kerajaan menghadapi pelbagai cabaran daripada pembangkang, pendekatan serta budaya baru ini amat diperlukan. Menteri dan wakil rakyat hendaklah sentiasa berada di sisi masyarakat sekiranya keadaan mengizinkan tanpa terlalu banyak peraturan dan protokol, bukan hanya muncul pada majlis rasmi saja.

  Pemimpin juga tidak harus hanya memberi tumpuan di kawasan mereka sendiri  dan memberi alasan sibuk atau tiada masa untuk menghadiri majlis di kawasan lain. Sebagai Senator, sudah tentu Wahid tiada kawasan pilihan raya. Namun, itu bukan alasan untuk beliau tidak turun padang.
  Pegawai atasan hendaklah lebih ‘hands-on’ dengan tugas masing-masing supaya mereka tidak perlu bergantung pada laporan pegawai bawahan semata-mata.

  Syabas Wahid kerana mempelopori budaya kerja baru di jabatannya. – Berita Harian, 12 Jun 2013