Tuesday, 9 July 2013

UMNO sedia buat perubahan dalam pemilihan

  Pada 15 Julai ini cawangan UMNO di seluruh negara  mula mengadakan mesyuarat tahunan, diikuti  mesyuarat perwakilan bahagian. Kedua-dua mesyuarat ini amat penting kerana peranan yang dimainkan oleh ahli di peringkat akar umbi untuk memilih Ahli Majlis Tertinggi (MT). Wakil yang dipilih oleh mesyuarat cawangan itu ke mesyuarat bahagian  berpeluang mengundi calon pucuk pimpinan parti yang dipadankan daripada sistem ‘Electoral College’ yang diguna pakai ketika pemilihan Presiden Amerika Syarikat.   Dalam pemilihan kali ini semua jawatan termasuk Presiden dan Timbalan Presiden dibuka untuk pertandingan tapi ada gesaan ahli yang mahu jawatan tertinggi parti itu termasuk Naib Presiden dipilih secara bermusyawarah. Wartawan BH, Razak Rashid Ghows menemuramah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mengenai sistem baru pemilihan itu.

Wartawan:   Pada 28 Jun lalu, selesailah taklimat ibu pejabat parti mengenai format baru pemilihan UMNO tahun ini. Boleh Datuk huraikan sedikit mengenai format baru itu selepas taklimat terakhir di Sabah itu?
 Tengku Adnan: Keputusan kita ialah perwakilan di peringkat bahagian akan memilih siapa yang akan memegang jawatan Presiden sehinggalah ahli Majlis Tertinggi (MT). Kita baru saja mengumumkan bahawa mesyuarat cawangan akan diadakan antara 15 Julai hingga 31 Ogos ini. Lepas itu kita akan putuskan bila bahagian akan mula bermesyuarat. Kita akan juga umumkan kemudian bila calon yang akan bertanding perlu mengemukakan nama kepada ibu pejabat parti. Setiausaha Agung akan menyaring kelayakan ahli yang dicalonkan, sama ada ok ataupun tak. Kita juga akan umum satu hari khas bagi pemilihan barisan pemimpin Majlis Tertinggi ini. Kita akan juga mengguna pakai sistem Electoral College iaitu satu bahagian satu undi.  Sistem ini terpaksa digunakan kerana ada bahagian yang lebih besar daripada yang lain dan ini tak adil. Ada bahagian mempunyai lebih 400 ahli dan ada yang mempunyai 200 ahli, ada pula hanya mempunyai 90 ahli. Namun ibu pejabat menjangka antara 148,000 hingga 150,000 ahli akan mengundi memilih barisan kepemimpinan parti tahun ini. 

 S:   Bagaimana dengan maklum balas daripada ahli pada peringkat akar umbi?
 J: Ahli di peringkat akar umbi banyak memberi pandangan terutama mengenai masalah logistik. Saya sudah membawanya ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan lalu, khususnya mengenai cadangan untuk mengadakan dua kali mesyuarat bahagian. Mesyuarat pertama adalah sidang tahunan dan pemilihan jawatankuasa pada peringkat bahagian. Mesyuarat kedua pula untuk memilih barisan pucuk pimpinan parti iaitu Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Pihak ibu pejabat parti akan memberi kertas undi dan pengundian dipantau oleh pegawai ibu pejabat serta ahli di peringkat negeri. Macam pilihan raya UMNO, Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tajol Rosli Ghazali akan memantau perjalanan mesyuarat bahagian ketika mereka mengadakan pemilihan. Tarikh kedua-dua mesyuarat bahagian ini   belum diputuskan tapi apapun ia akan diadakan selepas semua cawangan mengadakan mesyuaratnya. Kita juga putuskan untuk memberi kepada setiap bahagian mesin pembaca MyKad bagi memastikan mereka yang mengundi itu adalah ahli yang sah di tempat berkenaan.

 S:   Apakah UMNO yakin cara pemilihan ini dapat mengatasi masalah politik wang?
 J:  Kita memang yakin bahawa ini caranya bagi mengatasi masalah politik wang. Macam mana calon nak beli 150,000 ahli? Sudah tentu  tidak logik dan tidak dapat dilakukan. Cara ini juga dapat menentukan semua ahli mendapat peluang bertanding. Namun, apabila saya turun  menemui ahli pada peringkat cawangan dan bahagian, ramai yang bercakap dan meminta supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dikekalkan.

 Malah, ada yang mencadangkan supaya jawatan Naib Presiden juga dikekalkan. Mereka tidak mahu wujud masalah dalaman parti berikutan perebutan jawatan. Mereka berpendapat UMNO mampu mencapai keputusan baik dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu. Kerusi UMNO juga meningkat daripada 79 kepada 88 dalam pilihan raya lalu. UMNO juga parti paling besar di Parlimen. Kalau boleh eloklah kita mengadakan muzakarah tapi ia seharusnya menjadi keputusan yang dibuat oleh bahagian.

S:   Pendirian Majlis Tertinggi UMNO bagaimana?
J:  Kita adalah parti demokratik dan serahkan soal itu kepada ahli di peringkat akar umbi menentukan.       

S:   Pemerhati politik berpendapat UMNO sepatutnya menyediakan pemimpin pelapis dan memberi peluang dan ruang kepada kewujudan golongan ini, yang pada satu masa kelak bakal mewarisi kepemimpinan parti. Tapi dengan adanya gesaan agar tidak ada pertandingan, mungkin sukar bagi parti mencari pelapis yang dikehendaki. Apa pandangan Datuk?
J: Kita ada ramai Ahli Parlimen baru. Ada juga Ahli Parlimen yang bukan pemegang apa-apa jawatan dalam bahagian dan mereka beritahu saya mereka tak berminat untuk mengacau ketika pemilihan parti tidak lama lagi. Kita perlu gabungan baru dan lama. Mereka berfikiran rasional.

S:   Keputusan PRU-13 mendorong banyak pihak menggesa supaya Barisan Nasional (BN) melakukan perubahan dan hasilnya timbul cadangan untuk menubuhkan Makmal Politik. Boleh Datuk jelaskan tindakan selanjutnya?
J:  BN akan menubuhkan Makmal Politik dalam masa terdekat.. Wakil parti komponen BN, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemerhati politik dari universiti akan memberi maklum balas mereka kepada makmal ini. Jawatankuasa berkenaan akan membincang segala-galanya dan membuat perakuan kepada BN sebagai persediaan menghadapi PRU-14. Makmal ini diketuai oleh orang profesional dan mereka mungkin akan mengambil masa seminggu, dua minggu ataupun sebulan. Terpulang kepada mereka. Ibu pejabat BN juga sudah membuat analisis mengenai keputusan PRU-13. Ia adalah analisis dan bukan post-mortem. Kami sudah mendapat keputusannya dan cadangan. - Berita Harian Ahad, 7 Julai 2013