Monday 28 December 2020

Untunglah Khairy jadi menteri

Isu berkaitan Khairy Jamaluddin jatuh 
basikal kini mendapat perhatian di seluruh negara. 

Berikutan kejadian itu, Jabatan Kerja Raya Kuala Langat dengan pantasnya membaiki lubang di jalan terlibat dan memohon maaf kepada Khairy.

Wow! Bayangkan jika ini berlaku setiap hari tanpa mengira pangkat dan darjat.

Untunglah Khairy jadi menteri. Menteri boleh dapat segala-galanya. Menteri juga boleh terlepas daripada kuarantin dan hukuman penjara kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wow! sekali lagi kepada menteri daripada parti Pas itu, Khairuddin Aman Razali.

Respons ‘prihatin’ JKR Kuala Langat terhadap malapetaka Khairy itu membuktikan bahawa terdapat dua standard tindakan oleh jabatan kerajaan.

Lalu teringat penulis kepada saranan seorang sahabat, kalau kita ingin mendapatkan jalan raya yang diturap dengan baik atau lubang ditampal dengan segera, jemputlah PM ke kawasan kita. Pastinya pihak berkuasa tempatan akan bergegas membaiki jalan berlubang dan membersihkan sampah dan sebagainya.

Sebenarnya jabatan kerajaan harus malu kerana mengambil sikap endah tak endah terhadap orang ramai di kawasan pentadbiran mereka. Hakikatnya orang ramai atau penduduk setempat tidak perlu pun bersusah payah untuk menghubungi PBT apabila ada sesuatu yang memerlukan tindakan mereka.

PBT sepatutnya mempunyai sistem pemantauannya sendiri. Inspektor kawasan yang digajikan seharusnya membuat rondaan dan memaklumkan kepada agensi di bawah pentadbiran PBT apabila berlaku keadaan seperti jalan berlubang, sampah bertaburan dan lain-lain.

Tetapi sebaliknya apa yang berlaku ialah penduduk atau organisasi yang mewakili penduduk seperti Persatuan Penduduk atau Rukun Tetangga terpaksa membuat aduan kepada PBT melalui surat, emel, whatsapp atau berjumpa sendiri pegawai PBT untuk menyampaikan aduan. Itupun kalau pegawai PBT itu melayan.

Di sesetengah kawasan, pengurus kawasan PBT hanya melayan orang tertentu sahaja. Tidak semua pihak  dilayannya.

Justeru penulis ingin mencadangkan kepada PBT seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  agar menyediakan prosedur kerja bagi pengurus kawasan supaya ‘turun padang’ menjenguk klien mereka di kawasan perumahan dan perniagaan.

Tujuannya agar mereka lebih efisien dan cepat mengatasi masalah di peringkat bawahan terutama dengan wujudnya dasar baharu menteri, Kuala Lumpur Bebas Berniaga (KLBB) yang pastinya akan menimbulkan masalah sampingan.