Tuesday 5 January 2021

Mesyuarat MT Umno tentu masa depan politik Melayu

Laporan terbaharu media hari ini memetik Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai berkata bahawa beliau sedia untuk melepaskan jawatan dalam kerajaan sekiranya diminta berbuat demikian oleh parti.Katanya, beliau terikat dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno yang akan bermesyuarat pada malam esok. Antara lain mesyuarat itu dijangka membincang kedudukan pemimpin Umno yang memegang jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin.

Khairy sepatutnya sedar tentang kemelut politik yang melanda sekarang dan ketidakpuasan hati ahli Umno di peringkat akar umbi.

Pada mesyuarat agung bahagian pada hujung minggu lalu, sekurang-kurangnya 143 daripada 191 bahagian Umno tidak lagi mahu bekerjasama dengan parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam pilihanraya umum ke-15.

Terdahulu Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak sawit Malaysia (MPOB) setelah menggesa Parlimen dibubarkan bulan ini. 

Perkembangan akhir-akhir ini menunjukkan sebilangan pemimpin Umno berasa gusar dan tidak selesa berada dalam Perikatan Nasional. 

Keputusan ketua-ketua bahagian seharusnya menjadi petunjuk kepada pemimpin Umno arah tuju mereka selepas ini. Umno masih boleh bekerjasama dengan parti Pas dalam Muafakat Nasional (MN) bagi mewakili orang Melayu di negara ini.

Media juga hari ini melaporkan mengenai pemecatan Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dengan serta-merta berikutan keakraban beliau dengan Muhyiddin dan Perikatan Nasional.  Tempat beliau diuar-uarkan digantikan oleh Ahmad Maslan yang juga kini Setiausaha Agung Umno.

Apa yang akan berlaku pada mesyuarat MT Umno malam esok dinanti-nantikan bukan sahaja oleh ahli politik di negara ini bahkan seluruh rakyat Malaysia. 

Ini kerana Umno yang menjadi tunjang BN sebelum kejatuhannya pada PRU-14 pada 2018, adalah parti terbesar dan berpengaruh.

Mesyuarat MT Umno malam esok dijangka akan mencorakkan masa hadapan politik Melayu di negara ini dengan mengambil kira suara akar umbi.