Keadaan itu
menyebabkan BN tidak boleh lagi duduk dalam zon selesa. Mereka perlu
memperbetulkan langkah bagi menghadapi PRU-14 yang dijangka lebih sengit
daripada PRU-13.
Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak menyatakan keputusan PRU-13 itu menjadi sedemikian rupa
kerana berlakunya tsunami Cina. Pengundi Cina ternyata tidak menyokong BN
walaupun UMNO berusaha untuk menjaga hati kaum itu sehinggakan ada orang Melayu
yang terasa seolah-olah dipinggirkan parti sendiri.
Dalam situasi itu
adalah wajar UMNO mengambil langkah untuk kembali kepada perjuangan asal iaitu
untuk membela nasib orang Melayu. Tiada gunanya kita cuba menjaga hati orang
lain dan mengabaikan bangsa sendiri sedangkan mereka mengetepikan kita tanpa
ada perasaan bersalah.
Justeru, gesaan
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya UMNO terus menjuarai
hak Melayu dan Bumiputera tepat sekali dengan tuntutan semasa. Ketika
menyatakannya ketika merasmikan mesyuarat parti di Pagoh kelmarin, Muhyiddin
juga menegur sayap parti iaitu Pergerakan Pemuda dan Wanita yang dilihatnya
mengalami sindrom senyap.
Perubahan iklim
politik itu menyebabkan di sesetengah tempat ahli UMNO kurang bersemangat. Mereka berasa gusar,
bimbang dan cemas mengenai kemungkinan BN akan menghadapi kekalahan lebih teruk
dalam pilihan raya umum akan datang.
Ahli UMNO tidak
boleh membiarkan kebimbangan ini berlarutan tanpa tindakan. UMNO perlu membuat
perubahan secara lebih pragmatik bagi menentukan hala tujunya dengan jelas.
Apa yang berlaku
dalam pilihan raya umum lalu harus menjadi iktibar untuk memulihkan keadaan.
Justeru, kenyataan Muhyiddin itu harus disambut oleh ahli UMNO sebagai satu
cabaran apabila mereka mula bermesyuarat bulan ini.
Tanggungjawab untuk
mencorakkan perjuangan dan hala tuju parti
terletak di atas bahu ahli UMNO sebelum diserahkan kepada pucuk
kepemimpinan untuk melaksanakannya. Mereka harus memperkuatkan azam dan
menghadapi persekitaran politik lebih mencabar dan sukar selepas ini.
Ahli UMNO mesti berani
membuat teguran jika ia boleh mendatangkan kebaikan kepada agama, bangsa dan
negara. Ahli UMNO perlu keluar daripada kepompong masing-masing.
Mereka kena lebih
berani bersuara, bukan hanya bercakap di belakang. Keputusan PRU-13 lalu
seharusnya mendesak UMNO kembali kepada perjuangan utama iaitu untuk
memperjuangkan nasib Melayu di negara ini.
Suasana politik kini
juga mengkehendaki kedua-dua sayap parti mengambil pendekatan lebih agresif dan
proaktif, bukannya membisu seribu bahasa. Bagi mengembalikan semangat ahli
Pemuda dan Wanita serta Puteri UMNO, adalah wajar mereka menganjurkan
perbincangan bagi menentukan hala tuju perjuangan masa kini dan masa depan.
Mereka juga boleh
melihat kepada kepemimpinan besar terdahulu kedua-dua pergerakan itu seperti
Tun Hussein Onn, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Sardon Jubir, Datuk Harun Idris,
Tan Sri Jaafar Albar, Datuk Suhaimi Kamaruddin dan Datuk Seri Najib Razak.
Tiga daripada bekas
Ketua Pemuda ialah (Kapten) Hussein Onn, Abdul Razak dan Najib kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Pada zaman Sardon, Pemuda UMNO terkenal dengan slogan Pemuda Tahan Lasak dan
Revolusi Mental manakala Harun terkenal dengan gaya kepemimpinan agresif.
Jaafar pula yang
dikenali sebagai Singa UMNO, menggelar Pemuda
sebagai Ginger Group sementara
Suhaimi pula memimpin pergerakan itu dengan slogan Pemuda Bertindak yang
membela nasib Melayu dalam ekonomi.
Pemuda UMNO kemudian
melalui zaman perubahan dan dipimpin barisan muda terdiri daripada Datuk Seri
Anwar Ibrahim, Datuk Seri Zahid Hamidi serta Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan
kini, Khairy Jamaluddin. Barisan baru ini juga memegang portfolio dalam
kerajaan sebagai menteri.
Pergerakan Wanita
UMNO yang ditubuhkan dengan nama Ahli Perempuan UMNO atau APU pernah dipimpin
tokoh terkemuka seperti Tan Sri Zainun Sulaiman atau Ibu Zain, Khatijah Sidek,
Tan Sri Fatimah Hashim dan Tan Sri Aishah Ghani. Barisan baru kepemimpinannya
termasuk Tan Sri Rafidah Aziz dan kini Datuk Seri Shahrizat Jalil.
Imbasan sejarah
penting bagi membolehkan ahli UMNO terutama yang muda menoleh melihat semangat pemimpin
sebelum ini ketika mereka memimpin sayap parti ketika itu.
Mungkinkah ini
semangat yang diperlukan sekarang? Selamat bermesyuarat dan menunaikan ibadat
puasa! - Berita Harian, 10 Julai 2013