Tuesday, 6 August 2013

Pertandingan bukan antara bekas Puteri dan Wanita - Noraini

Temuramah dengan bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Noraini Ahmad mengenai hasrat Datuk Seri Azalina Othman Said untuk mencabar Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam pemilihan yang akan berlangsung 28 September 2013
……………………………………………………………………………………………………………………………………………
Soalan: Boleh Datuk memberi pandangan mengenai pertandingan Ketua Wanita UMNO di mana Datuk Seri Azalina Othman Said akan mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil?
 Noraini:   Dalam sistem pemilihan baru ini, sesiapa saja yang ingin menawarkan diri boleh mendaftar sebagai calon. Justeru, pertandingan apa pun sihat sekiranya tidak ada perbuatan memburuk-burukkan pihak lain. Sekarang ini kita cakap mengenai pertandingan dalam parti dan apa yang kita lakukan adalah pertandingan adik-beradik dan anak-beranak dan orang akan memandang kita. Kali ini pula ia pertandingan yang mencari pemimpin sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

S: Ramai yang melihat ini sebagai pertandingan antara bekas Ketua Puteri melawan Ketua Wanita UMNO. Apa pandangan Datuk?
 J: Lepas saja habis daripada Puteri, kita automatik menjadi Wanita. Macam saya bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, bila sudah masuk Wanita dengan secara automatik menjadi ahli Wanita. Pada saya ia adalah satu pengalaman yang dilalui oleh semua orang. Datuk Azalina ada pengalaman membimbing dan memimpin Puteri dan menubuhkan pergerakan itu. Datuk Shahrizat juga mempunyai kekuatannya sendiri, dulu ketika Kementerian Wanita ditubuhkan, dia yang pertama menjadi menteri. Atas dasar bekas Ketua Puteri, Azalina juga ada kekuatannya. Ia bukannya bermakna bekas Puteri bila masuk Wanita nak lawan Wanita. Secara kebetulan saja Azalina adalah bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO.

S: Jadi Wanita UMNO sedia menerima ahli Puteri dan memberi laluan kepada sesetengah ahli Puteri memegang jawatan tertentu?
J: Saya rasa ada diterima, sebab pada 2008 sudah ada bekas Ketua Pergerakan Puteri yang menjadi Ketua Wanita Bahagian. Ada juga yang dah menjadi EXCO Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Tak ada soal tidak menerima tetapi lebih kepada individu dan cara pembawaan masing-masing. Bagi saya secara peribadi,  insya-Allah saya lihat kemasukan Puteri ke dalam Wanita akan menceriakannya lagi dan kita sama-sama menggabungkan kekuatan.

S: Datuk Shahrizat berharap tidak ada elemen negatif dibawa ke dalam Wanita UMNO menerusi pertandingan ini hingga menyebabkan berlaku perpecahan seperti perbalahan antara ibu dan anak. Apakah Datuk bersetuju dengan pandangan ini?
J:  Pada saya itu betul, macam saya katakan tadi, ini adalah pertandingan anak beranak, adik beradik. Ini bukan pertandingan dalam pilihan raya. Tapi walaupun ia pertandingan anak beranak, semua mata akan fokus kepada siapa yang bertanding, siapa akan menang, siapa akan kalah. Kita juga harap percantuman semula selepas pertandingan itu dapat menguatkan lagi.

S: Betulkah laporan menyatakan kira-kira 70 peratus bekas ahli Puteri UMNO akan bertanding dalam Wanita UMNO?
J: Dari segi angka, peratusannya saya tak berapa tahu sangat tapi secara rambangnya memang kebanyakan daripada ketua, naib yang memegang jawatan dalam Pergerakan Puteri ini dah lepas umur sebab menjadi ahli Pergerakan Puteri sampai umur 35 tahun saja. Nak jadi Ketua Pergerakan Puteri Malaysia pula tidak melebihi 40 tahun. Ini kumpulan terakhir daripada penaja pergerakan itu sekarang. Sebab itu saya tengok lebih ramai akan masuk ke Wanita UMNO dan sama ada mereka memegang jawatan ataupun tidak, mereka tetap menjadi ahli Wanita

S: Tidakkah kemasukan mereka dalam Wanita membuatkan ahli berasa tidak selesa?
J:  Itu akhirnya bergantung kepada cara interaksi antara ahli itu sendiri. Pada saya, kalau kita bimbing adik-adik kita, anak-anak kita dengan baik, Insya-Allah boleh mewujudkan kerjasama lebih erat lagi dan ini mungkin memperkuatkan lagi pergerakan. Saya tak kata yang Pergerakan Wanita tidak kuat tapi ahli Puteri mungkin punyai caranya sendiri. Kalau kita tengok ahli Wanita ada yang lebih muda daripada saya sendiri. Ia lebih kepada interaksi dan cara kita membawa diri.

S: Datuk dulu menjadi Naib Ketua Puteri di bawah Datuk Azalina, apa pandangan Datuk mengenai kualiti kepemimpinan dan pencapaian beliau?
J:  Pada mulanya saya Setiausaha, lepas itu Naib Ketua di bawah Datuk Azalina. Saya lihat dia mempunyai cara tersendiri, dia sentiasa fokus walaupun gayanya agak kasar sikit. Apa yang dia nak buat dia ada perinciannya. Saya tengok Datuk Azalina berjaya dari segi itu dan bila saya mengambil alih, tumpuan saya lebih kepada memupuk dan menyiapkan apa yang ditinggalkan. Uniknya Puteri ini sebab ia macam NGO (badan bukan kerajaan) tapi ada elemen politik di dalamnya. Orangnya semua baru, maka apa yang perlu dibuat, dia kena buat sajalah.

S: Datuk Azalina mempunyai perwatakan agresif dan Wanita UMNO pula lemah lembut dan mengamalkan budaya wanita Melayu. Macam mana beliau boleh menyesuaikan diri?
J:  Gaya beliau memanglah macam itu tapi dia Ketua Bahagian dan mungkin ada pengalaman macam mana nak ‘deal’ dengan wanita. Sebagai ketua bahagian beliau kena berinteraksi dengan wanita juga. Susah saya nak komen. Macam saya pula, mungkin orang pandang saya ‘the opposite of’ Azalina. Saya memang bergerak dengan Wanita.

Bila saya jadi Ahli Parlimen, yang banyak bantu saya adalah Puteri dan Wanita, sebab itu saya boleh kedua-duanya. Azalina ada gayanya sendiri tapi dia ada pengalaman sebagai ketua bahagian yang berurusan dengan pergerakan termasuk Wanita.
S: Sebagai ahli Wanita UMNO, bagaimana Datuk lihat hala tuju pergerakan itu dalam perjuangannya sekarang?

J:  Wanita UMNO banyak memainkan peranan. Kalau bahagian saya, Wanita memang banyak membantu semasa saya menjadi calon. Selaku calon (tugas kempen) banyak digerakkan oleh jentera di peringkat bahagian terutama Wanita yang buat kajian dari satu tempat ke satu tempat. Peranan semua pihak perlu dipertingkatkan lagi kerana PRU-14 adalah cabaran lebih besar. Oleh itu ketua yang akan dipilih nanti harus memikirkan satu strategi yang menunjukkan UMNO ini terus relevan kepada generasi muda, iaitu 40 peratus kumpulan pengundi.

S: Apakah Datuk akan bertanding kali ini dan memainkan peranan lebih penting dalam Wanita UMNO?
J:  Insya-Allah, saya akan bertanding EXCO Wanita. Saya mengambil pendekatan bersabar dan boleh menunggu serta bergerak selangkah demi selangkah. Saya masih banyak kekurangan dan perlu belajar dan jika diberi peluang dalam EXCO Wanita, saya akan belajar dari situ. Kalau ada pengalaman yang sikit-sikit itu bolehlah saya menyumbang dan membantu mereka yang berpengalaman.

S: Apakah Datuk fikir Datuk Shahrizat harus bertanding untuk mempertahankan jawatannya?
J: Datuk Shahrizat dah buat kenyataan nak bertanding. Sesiapa yang merasa dirinya layak boleh menawarkan diri bertanding. Dia dah menawarkan dirinya. Biarkan mereka dan perwakilan tentunya. Dalam memilih pemimpin ini kita kena fikir PRU-14.

S: Siapa juga yang menang pertandingan Ketua Wanita ini sudah tentunya akan memainkan peranan penting menjelang PRU-14.
J:  Saya setuju, walaupun kita baru saja habis PRU-13 tapi kita boleh nak pandang ke belakang sebab kita tengok banyak cabaran dalam PRU-13 yang menyebabkan kita kurang sikit, masih lagi tak dapat dua pertiga. Justeru, siapa yang menjadi Ketua Wanita UMNO ini perlu memikul tanggungjawab mengembalikan keyakinan orang ramai kepada Barisan Nasional (BN). Ini kerana Wanita UMNO yang menjadi penggerak dari rumah ke rumah, yang pergi buat kajian sikap, yang kenal siapa ada dalam rumah itu dan usaha ini harus dibuat berterusan. Memang kita nak tengok kepercayaan itu kembali kepada kita. Itu satu cabaran yang harus dipikul bagi membantu Presiden parti dalam usaha mengembalikan dua pertiga pengundi kepada BN dan UMNO. – Berita Harian Ahad, 4 Ogos 2013