Thursday, 3 October 2013

China kini rakan dagang terbesar Malaysia

  Apabila bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein mengunjungi China buat kali pertama   pada 1974 dan merintis jalan kepada hubungan diplomasi Malaysia-China, tidak sesiapa pun menjangka bahawa pada suatu hari nanti negara berkenaan akan menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia.

  Malaysia kini bukan saja rakan perniagaan terbesar China tetapi juga penghubung utama antara negara berkenaan dengan negara di rantau ini. Apabila Kuala Lumpur mempengerusikan Mesyuarat Peringkat Menteri Negara ASEAN ke-24 pada 1991, Malaysia menjemput Menteri Luar China, Qian Qichen untuk menghadiri majlis perasmiannya.

  Tahun lalu, nilai perdagangan antara Malaysia dan China mencecah AS$94.8 bilion (RM303.36 bilion). China adalah rakan dagang Malaysia terbesar untuk empat tahun berturut-turut, manakala Malaysia pula rakan dagang kelima terbesar China di rantau ASEAN dalam tempoh lima tahun.
  Taman Perindustrian Malaysia-China di Kuantan (MCKIP) dan Taman Perindustrian China-Malaysia Qingzhou (CMQIP) berjaya dibangunkan dengan pesat, sekali gus menjadi contoh bagi pembukaan taman perindustrian sama di China dan negara lain.

  Naib Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), Joseph Lim, dalam satu pertemuan kelmarin berkata, nilai perdagangan Malaysia-China tahun ini akan mencecah lebih AS$100 bilion (RM320 bilion).
  Hari ini, Presiden China, Xi Jinping (gambar lukisan, atas) melakukan lawatan rasmi selama tiga hari ke Kuala Lumpur sebelum menghadiri Sidang Kemuncak Ke-21 Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Bali, Indonesia.

  Kunjungan Jinping ke Malaysia adalah satu tradisi lawatan peringkat tertinggi antara pemimpin kedua-dua negara. Sebelum ini bekas Presiden China, Hu Jiantao juga pernah melakukan lawatan ke Malaysia pada 2009 sementara Perdana Menterinya, Wen Jiabao mengunjungi negara ini pada 2011.

  Bulan lalu, Menteri Luar China, Wang Yi mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk mengadakan perbincangan dua hala.
  Malaysia bagaimanapun bukanlah tempat asing lagi bagi Jinping kerana beberapa tahun lalu, ketika menjadi Setiausaha Agung parti di wilayah Fujian, beliau pernah membawa delegasi ke negara ini.

  Lim berkata, lawatan Jinping itu menandakan bahawa perhubungan antara kedua-dua negara kini semakin rapat dan sebagai simbol persahabatan itu, China akan menghantar dua panda ke negara ini tidak lama lagi.
  Malaysia sudah menyediakan tapak dan bangunan khas bagi menempatkan panda berkenaan.

  Lim berkata, tahun hadapan adalah ulang tahun ke-40 persahabatan Malaysia-China dan beliau menjangka beberapa sambutan akan dianjurkan di peringkat kerajaan dengan kerajaan.      
  Selain kunjungan ke atas Yang Di-Pertuan Agong dan menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jinping juga dijangka menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Malaysia-China.

 Beliau juga akan menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman dalam beberapa bidang termasuk perdagangan, sains, perikanan dan lain-lain.
   Sidang kemuncak itu dianjurkan oleh Majlis Perniagaan Malaysia-China dan Kementerian  Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan kerjasama MCCC dan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia (ACCIM).

  Lim menjangkakan dalam kunjungan Presiden China itu, ratusan pelabur China akan turut serta dan MIDA akan membantu memadankan usahawan kedua-dua negara dalam industri atau projek khas.
  Antara topik yang akan dibincangkan, ialah berhubung projek hijau dan projek tenaga boleh diperbaharui.

  Lim berkata, MCCC yang ditubuhkan ketika hubungan diplomasi Malaysia-China dirintis 24 tahun lalu, kini menganjurkan lebih 300 aktiviti setiap tahun untuk ahlinya termasuk menerima kunjungan delegasi dari China, pelabur, pedagang dan melakukan pertemuan antara usahawan kedua-dua negara.
  “Kami juga menganjurkan misi perdagangan ke China serta pameran di kedua-dua negara serta mengadakan dialog dengan pihak berkuasa tempatan.

  MCCC juga membawa delegasi Malaysia ke ekspo terbesar dunia iaitu Ekspo Naning (CAXPO) di Guangzhou dua kali setahun. CAXPO berikutnya bermula 15 Oktober ini,” katanya.
Program terdekat MCCC ialah Persidangan Keusahawanan Malaysia-China (MCEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 1 Disember, manakala sidang MCEC berikutnya akan dianjurkan di Beijing tahun depan sempena ulang tahun ke-40 persahabatan Malaysia-China. - Berita Harian, 3 Oktober 2013