Sejak
akhir-akhir ini, orang Melayu nampak begitu ghairah berpolitik, sedangkan masa
dan tenaga itu sepatutnya disalurkan kepada usaha untuk mempertingkatkan lagi
kedudukan ekonomi mereka.
Orang Melayu juga harus pandai merebut
peluang yang ada bagi mengembangkan profesionalisme mereka dan melebarkan
jaringan pada peringkat antarabangsa, khususnya di rantau Asia Barat dan Asean
sekiranya mereka ingin berjaya, kata Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi
Malaysia (MIER), Tan Sri Sulaiman Mahbob.
Dalam
pertemuan dengan penulis, Jumaat lalu, Sulaiman berpendapat dasar
kerajaan selama ini ternyata berjaya mengubah kehidupan Melayu sekarang
berbanding 30 atau 40 tahun lalu.
Golongan profesional Melayu seperti akauntan,
doktor, arkitek, jurutera, doktor gigi dan lain-lain amat berkurangan pada
tempoh awal dulu.
Hasil dasar yang dilaksana kerajaan,
peratusan arkitek umpamanya, sudah jauh meningkat dari 4.3 peratus pada 1970-an
kepada 23.6 peratus pada 1990 dan 60 peratus pada 2008. Juru ukur pula
meningkat dari 29.9 peratus pada 1979 kepada 44.7 peratus pada 1990 dan 55
peratus pada 2008.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Unit
Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri berkata, golongan profesional
lain yang turut mengalami peningkatan termasuk doktor, dari 3.7 peratus pada
1970-an kepada 27.8 peratus pada 1990 dan 53 peratus pada 2008.
Begitu juga dengan jurutera, daripada 7.3
peratus pada 1970 kepada 34.8 peratus pada 1990 dan 52 peratus pada 2008.
Bagi Sulaiman, kejayaan ini dicapai hasil
beberapa program yang sentiasa dijalankan kerajaan dari semasa ke semasa serta
kemudahan pembelajaran dan pembiayaan seperti biasiswa yang ditawarkan kepada
pelajar Melayu di pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Antara program yang dilaksanakan kerajaan
termasuk menawarkan pelbagai peluang perniagaan dan perusahaan, meningkatkan
hak milik saham terutama saham amanah menerusi Permodalan Nasional berhad (PNB)
dan menggalakkan tabungan di Tabung Haji dan PNB serta penyenaraian saham di
Bursa Malaysia.
Selain itu kerajaan juga mengambil daya usaha
meningkatkan jumlah pemilikan aset hartanah di tanah rancangan FELDA dan FELCRA
serta memperluaskan pendidikan profesional dan latihan di Universiti Teknologi
MARA (UiTM) dan lain-lain.
“Ia satu kejayaan besar dan perlu diteruskan
agar peratusan kejayaan Melayu dalam ekonomi terus meningkatkan,” katanya.
Penyertaan Bumiputera dalam pengurusan kanan
pada 2009 juga mencapai tahap 70 peratus dalam syarikat berkaitan kerajaan
(GLC) dan 32 peratus dalam syarikat multinasional (MNC). Ini mampu dicapai
berikutan adanya peluang pendidikan lebih luas bertujuan menambahkan jumlah
golongan profesional Melayu di negara ini.
Dari segi pemilikan saham, pada 1970
Bumiputera memiliki hanya 2.4 peratus saham, yang kemudian meningkat kepada
19.3 peratus pada 1990 dan 21.9 peratus pada 2008. Bagaimanapun, hak milik
ekuiti Bumiputera itu meningkat kepada 23 peratus pada 2010, namun ia masih di
bawah 30 peratus berbanding kaum lain.
“Nasib baik ada agensi teras seperti PNB,
Tabung Haji, FELDA dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang menjadi ikon
ekonomi Melayu yang mampu menggerakkan pemilikan saham kecil dalam kalangan
Bumiputera,” katanya.
Pengerusi MIER itu berkata, antara
kelemahan pengusaha dan peniaga
Bumiputera ialah mereka tidak menguasai rangkaian bekalan dan terpaksa
bergantung kepada kaum lain.
Beliau berharap agensi tertentu seperti
Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),
Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN), koperasi dan lain-lain dapat
memainkan peranan lebih agresif bagi membantu pencapaian masyarakat Melayu
dalam bidang ekonomi.
Kajian yang dilakukan juga menunjukkan
penguasaan hak milik bangunan oleh Bumiputera masih rendah dan memerlukan
perhatian lebih serius khususnya di bandar utama.
Kini semakin ramai masyarakat Melayu tinggal
di kawasan bandar dan sekitarnya berbanding 30 tahun lalu. Sejumlah besar
daripada kalangan Melayu ini juga adalah kumpulan pekerja, sama ada dalam
bidang profesional mahupun bukan profesional tapi rata-ratanya mereka bukan
golongan pengusaha. - Berita Harian, 26 Februari 2013