Monday, 21 October 2013

Saingan sengit bukti Mukhriz calon popular

Sesuatu yang menarik yang disaksikan pada malam kelmarin ialah saingan sengit di antara penyandang Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pencabarnya, Datuk Mukhriz Mahathir sehingga ke saat akhir.

  Mukhriz dilihat sentiasa mengejar Hishammuddin sehinggalah tepat jam 1.30 pagi semalam apabila Menteri Pertahanan itu diumumkan menang dengan memperoleh 100 undi, lebih sembilan undi berbanding Mukhriz.
  Anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dilihat berpotensi membuat kejutan dalam pemilihan UMNO tahun ini, namun tewas apabila perwakilan berpihak kepada ketiga-tiga penyandang.

  Apapun ia adalah satu permulaan baik bagi beliau dan boleh menjadi pengalaman berguna sekiranya beliau ingin menawarkan diri lagi bertanding pada pemilihan akan datang.
  Pemilihan kelmarin adalah detik bersejarah bagi UMNO yang buat pertama kalinya menyerahkan tanggungjawab untuk memilih barisan pemimpinnya kepada sejumlah 146,500 perwakilan di peringkat akar umbi.

  Dalam pemilihan itu, perwakilan di peringkat bahagian mengembalikan semula jawatan Naib Presiden itu kepada ketiga-tiga penyandangnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
  Ternyata bahawa pilihan mereka adalah calon yang memegang kuasa dan berjawatan menteri, yang turut menjadi antara faktor dalam pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT).

  Dalam pemilihan itu, ahli UMNO memilih status quo dan tidak bersedia melakukan kejutan atau perubahan besar seperti yang dijangka oleh pemerhati dalam dan luar parti.
  Ada kemungkinan ketiga-tiga Naib Presiden itu dipilih semula kerana mereka dilihat sebagai pasukan yang mampu bekerjasama erat, memahami antara satu sama lain dan mempunyai keserasian.
 
  Kualiti ini adalah penting bagi membolehkan mereka meneruskan agenda parti dan membantu Presiden serta Timbalan Presiden UMNO, terutama dalam membuat persediaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
  Pemilihan Naib Presiden itu adalah juga cerminan keputusan pucuk pimpinan sayap parti minggu lalu apabila Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, masing-masing dipilih semula sebagai Ketua Wanita dan Ketua Pemuda dengan undian besar.

  Sekali gus, keputusan pemilihan Naib Presiden itu menepati apa yang pernah diungkapkan oleh Ketua Wanita UMNO berkenaan beberapa hari sebelum pemilihan bahawa pergerakan itu memberi keutamaan kepada tiga perkara dalam memilih Naib Presiden.
  Pertama, calon yang membawa kepada kedaulatan negara yang dikaitkan dengan Hishammuddin selaku Menteri Pertahanan. Kedua, keamanan negara yang mana Zahid diberi kepercayaan mengemudi Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ketiga, kepentingan kesejahteraan rakyat yang dipertanggungjawabkan kepada Shafie dan kementeriannya.

  Selain Shahrizat, Khairy juga turut memberi isyarat bahawa pergerakan itu menyokong Hishammuddin dalam pemilihan tersebut.
  Pemilihan kelmarin dengan sendirinya memberi kekuatan baru kepada Zahid dan Shafie yang memperoleh undi yang begitu besar. Ia adalah petanda bahawa ahli di peringkat akar umbi ingin mereka terus membantu pucuk pimpinan menerajui parti dan menambahbaik prestasinya dalam pilihan raya umum.

  Undi di luar jangkaan itu bukan saja bermakna mereka kini mendepani tanggungjawab yang besar dalam parti dan kerajaan, bahkan harapan ahli dan rakyat juga amat besar untuk digalas.
  Mandat besar yang diberikan kepada Zahid bererti ahli UMNO merestui tindakan tegasnya dalam menangani pelbagai isu berkaitan keselamatan negara sejak beliau dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.

  Sokongan padu kepada Shafie juga harus ditafsirkan sebagai restu ahli supaya beliau terus bekerja keras untuk kesejahteraan rakyat khususnya dalam merapatkan lagi hubungan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
  Kemenangan Hishammuddin dalam pemilihan ini memberinya peluang kedua bagi menebus kembali apa juga kekurangan dan kelemahan sebelum ini seperti dilemparkan oleh pengkritiknya ketika beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.

 Seperti ditegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, kemenangan yang diperoleh ini  bukannya bererti mereka harus bermegah dengan mandat yang diperoleh itu, sebaliknya hendaklah sedar akan tanggungjawab yang digalas itu dalam perjuangan membela bangsa dan agama. - Berita Harian, 20 Oktober