Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), MCA sudah
mengambil ketetapan jika parti itu tidak mendapat sokongan yang diharapkan, ia
tidak akan menyertai kerajaan. Maknanya MCA tidak menerima sebarang pelantikan
dalam barisan Kabinet pada peringkat Pusat, mahupun jawatan EXCO kerajaan
negeri.
Keputusan itu yang seolah-olah satu kata dua kepada pengundi
Cina supaya memilih calon BN daripada MCA atau menghadapi situasi tidak
diwakili dalam kerajaan, ternyata memakan diri.
Tidak sampai sebulan selepas pilihan raya, timbul
kontroversi berhubung pelantikan jawatan kerajaan itu. Pucuk pimpinan MCA sudah
mula terasa bahawa keputusan yang dicapai pada mesyuarat agung tahun lalu itu
sebenarnya bukan sesuatu yang bijak dan lebih kepada 'menghukum' pengundi.
MCA seperti juga MIC adalah komponen utama Barisan Nasional
(BN). Jika UMNO mewakili orang Melayu dalam gabungan itu, kedua-dua parti
berkenaan pula masing-masing mewakili dua lagi kaum terbesar di negara ini
iaitu Cina dan India.
Ketika Perikatan ditubuhkan sebelum merdeka, kedua-dua parti
ini turut memberi kerjasama erat kepada UMNO. Wakil mereka sentiasa berada di
sisi pemimpin UMNO ketika itu dan begitulah seterusnya sehingga sekarang.
Perkembangan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada
2008 bagaimanapun mengubah senario politik di negara ini. Pada masa itu berlaku
satu kejutan atau tsunami apabila sokongan terhadap BN merosot dengan teruk.
PRU-13 pula menyaksikan `tsunami Cina' di mana pengundi kaum
itu tidak lagi memberi undi kepada BN, iaitu mereka tidak lagi menyokong parti
komponen seperti MCA dan GERAKAN.
Baru-baru ini, MCA mengadakan perjumpaan dengan pemimpin 58
persatuan dan pertubuhan Cina di negara ini. Pertemuan diketuai Timbalan
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai itu mencapai persetujuan menggesa parti
berkenaan supaya menimbang semula untuk kembali menganggotai Kabinet.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga bersikap
terbuka dalam hal ini. Walaupun beliau menghormati keputusan parti itu, ramai
yang melihat beliau seolah-olah menyediakan satu jawatan menteri yang penting
untuk MCA.
Jawatan Menteri Pengangkutan yang secara tradisinya
dianggotai wakil kanan MCA dan kini dipangku oleh Menteri Pertahanan, Datuk
Seri Hishamuddin Hussein, dilihat disediakan untuk parti berkenaan sekiranya ia
bersetuju menganggotai semula Kabinet.
Bibit-bibit ke arah itu kini semakin terserlah dengan seruan
persatuan dan pertubuhan Cina itu. Kita tahu gesaan daripada pihak ketiga itu
memang diperlukan sebagai langkah menjaga maruah parti kerana pendirian untuk
tidak menyertai kerajaan dibuat pada mesyuarat agung.
Dalam konteks ini, hanya mesyuarat agung juga yang mempunyai
hak dan suara mematahkan usulnya sebelum ini. Namun, oleh kerana mesyuarat
agung hanya akan diadakan pada Disember depan dan agak terlalu lama untuk
dinantikan, adalah memadai sekiranya Jawatankuasa Eksekutif Parti (CEC) membuat
keputusan berdasarkan desakan umum.
Hanya tiga bulan selepas PRU-13, masyarakat Cina juga kini
sudah nampak tembelang dan temberang parti pembangkang yang tidak menepati
janji mereka. Namun, tanpa jawatan Kabinet atau EXCO agak sukar untuk MCA
mengetengahkan apa juga masalah masyarakat Cina.
Liow yang akan bertanding merebut jawatan Presiden MCA,
dilaporkan berkata parti berkenaan akan melakukan beberapa perubahan diperlukan
bagi menarik semula kepercayaan masyarakat Cina di negara ini.
Langkah ini termasuk menggariskan satu pelan transformasi
merangkumi pelbagai aspek dan peringkat termasuk pendidikan, ekonomi dan sosial
khusus bagi masyarakat Cina.
Apapun yang dijanjikan, MCA tidak ada banyak masa lagi dan
wakilnya perlu bekerja keras bagi menentukan sokongan pengundi Cina kembali
semula kepada parti itu.
Liow juga harus diberikan kepercayaan mengemudikan perubahan
berkenaan sekiranya MCA hendak kekal relevan sebagai parti politik di bawah
panji-panji BN.
MCA dan GERAKAN juga tidak mampu untuk sekadar menyatakan ia
akan berubah tetapi hakikatnya masih sama seperti dulu. Kedua-dua parti itu
perlu melakukan perubahan dan menunjukkan kepada masyarakat Cina bahawa mereka
tersilap percaturan. – Berita Harian, 20 Ogos