
Namun, masih ramai
yang tidak mengenali peranan GiatMARA iaitu pusat latihan kemahiran di bawah
Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu, sehingga timbul pelbagai tanggapan tertentu
mengenainya.
Sejak pusat
pertamanya ditubuhkan di Jitra, Kedah (kini dikenali sebagai Pusat
GiatMARA Kubang Pasu) pada 1986 lalu,
agensi berkenaan sudah menjalankan latihan kepada 23,000 pelatih termasuk di beberapa negara
dunia ketiga.
Sekali gus,
pencapaiannya itu dapat membantu kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan dan mengurangkan
pengangguran khususnya di luar bandar.
“Objektif berkenaan sebahagian daripada indeks prestasi utama
(KPI) kami,” kata Ketua Eksekutif GiatMARA, Datuk Mohd Rosdi Ismail dalam pertemuan di Ibu Pejabat GiatMARA di Medan
Tuanku minggu lalu.
Mohd Rosli menambah,
selepas mengikuti latihan dengan Pusat GiatMARA, pelatihnya diharap dapat
mentransformasi diri mereka untuk menjadi usahawan.
“Atas sebab itulah
kami menggabungkan latihan teknikal dengan ilmu keusahawanan dan mendapatkan
sokongan pihak korporat dan premis perniagaan,” tambahnya.
Latihannya ditumpukan
pada 80 peratus latihan amali dan hanya 20 peratus teori. Pada masa ini, GiatMARA mempunyai 231 pusat latihan yang
mengajar 44 jenis kursus meliputi Teknologi Senibina, Mekanikal, Pengangkutan,
Pengeluaran, Elektrikal, Komputer dan Teknologi Maklumat (IT), Elektronik dan
Mekatronik, Fabrik, Percetakan, Kulinari, Kosmetik dan Dandanan Rambut serta
Hospitaliti.
Secara
terperinci, pelbagai kursus mikro,
antaranya pengimpalan dan teknologi fabrikasi, pembaikan badan kenderaan dan
teknologi mengecat, teknologi motosikal serta servis tayar ditawarkan.
Ada juga pelatih yang
mengikuti latihan dalam bidang teknologi seni reka dalaman dan perabot,
pembinaan bot dan kerja penyelenggaraan, pemasangan wayar elektrik, seni grafik
dan pengiklanan serta multimedia.
Beberapa kursus
menarik lain merangkumi teknologi percetakan, fotografi, penyediaan makanan,
bakeri dan konfeksi, terapi hiasan muka serta perkhidmatan kekeluargaan dan
penjagaan kanak-kanak.
Kursus di pusat
latihan GiatMARA itu boleh disertai
sesiapa saja asalkan mereka mempunyai minat tanpa mengambil kira latar
belakang atau umur.
“Walaupun syarat
utama bagi pelatih ialah mereka harus boleh membaca, menulis dan mengira, jika tidak boleh boleh membaca pun, kami masih
menerima.
“Ada juga peserta
Orang Asli di Pahang yang dilatih dan berjaya menjadi tukang gunting dan
mekanik motosikal kerana mempunyai minat tinggi,” kata Mohd Rosdi.
Keseluruhannya,
301,327 pelatih sudah menamatkan kursus masing-masing sejak 1986 termasuk
266,890 yang menjalani latihan sepenuh masa dan 29,965 separuh masa. Atas
permintaan khas, GiatMARA juga menjalankan latihan dalam industri tertentu
untuk kaum India dan seramai 1,087 sudah
lulus dan keluar untuk membuka perniagaan masing-masing.
Selain itu, tambah
Mohd Rosdi, sejumlah 1,161 pelatih dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)
turut diambil menjalani latihan dan
daripada jumlah itu, 1,072 berjaya menamatkan program mereka.
Katanya, sebagai
pembekal tenaga mahir negara dan penyumbang kepada pembangunan industri kecil
dan sederhana (IKS), GiatMARA sudah melahirkan 8,948 usahawan yang mana
kira-kira 85 peratus adalah pelatih kebolehpasaran.
“Pelatih kami
mendapat pengiktirafan agensi kerajaan dan swasta. MARA sentiasa bantu giat
dalam usaha berkenaan.
“Sebagai contoh,
program semai bagi lepasan institusi pendidikan MARA (IPMA), agensi berkenaan
menyediakan tabung khas tanpa cagaran bagi membolehkan mereka menjadi pekerja
mahir dan usahawan,” ujarnya.Selain itu, GiatMARA juga menyalurkan pelatih yang ingin menyambung pengajian mereka pada peringkat lebih tinggi di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Katanya, kalau dulu
orang memandang rendah GiatMARA, kini
persepsinya sudah berubah. GiatMARA kini sama taraf dengan kolej komuniti dan
sekolah vokasional.
Pada 2014 pula,
beliau menaruh harapan agar GiatMARA dapat melahirkan kira-kira 3,000 usahawan
dan mengadakan lebih banyak kerjasama dengan agensi luar bagi membolehkan
mereka mendapat peluang menjadi usahawan.
Mengenai perancangan
masa depannya, Mohd Rosdi berharap kursus sedia ada dimantapkan di samping
memperkenalkan kursus baru impak tinggi bagi industri.
“Kita mahu
pelatih meningkatkan taraf latihan
mereka, umpamanya jika mereka mengendalikan bidang automotif bagi industri
kereta tempatan, selepas ini mungkin
mendedahkan mereka kepada kereta import.
“Selama ini, kalau
pelatih kita membuat kimpalan pagar rumah dan yang mudah, mereka boleh
dipertingkatkan untuk melakukan kimpalan paip gas, kimpalan di dalam air dan sebagainya,” katanya.
Mohd Rosdi menambah,
selain pelatih tempatan, GiatMARA juga
membantu rakyat di negara dunia ketiga seperti Kemboja, selatan Thailand, Timor
Leste, Aceh dan Sudan.
Terbaru, GiatMARA
akan melangkah masuk ke Comoros di Afrika Timur berhampiran Madagascar, yang
mempunyai 99 peratus penduduk Muslim. Bantuan GiatMARA di negara dunia ketiga
ini adalah dalam bidang automotif, bangunan, elektrikal dan kimpalan.
Bagi mengatasi
masalah penempatan Pusat GiatMARA di sesetengah negeri, beliau berkata,
pihaknya baru saja mengemukakan cadangan
membangunkan Edubizpark yang mana
latihan diadakan, barisan inkubator kedai di hadapannya dan orang kampung boleh
guna kedai berkenaan untuk membeli barangan
diperlukan.
Katanya, pusat
GiatMARA di seluruh negara juga akan ditingkatkan menjadi Giat Prima, yang
dilengkapi peralatan moden dan baru. Dua Giat Prima yang pertama sudahpun
beroperasi di Ledang, Johor dalam bidang elektrikal dan Tasek Gelugor, Pulau
Pinang dalam bidang mekatronik.
“Kalau selama ini
kita guna Honda Cub untuk latihan, mungkin dengan adanya Giat Prima, kita
tingkat kepada superbike,” katanya. - Berita Harian, 29 Januari 2014