Thursday, 21 February 2013

Anugerah Huguan Siou makan tuan

  AHAD lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digelar sebagai ‘Huguan Siou’ ketika menghadiri ceramah politik di Kampung Paginatan di Ranau, Sabah.
 
  Menarik tetapi aneh kerana ia bukan calang-calang gelaran, apatah lagi selalunya diberikan kepada pemimpin berketurunan Kadazandusun dan bukannya kepada sesiapa saja yang disukai, apatah lagi kepada orang yang bukan daripada kelompok berkenaan, sekali gus penerimaan gelaran itu oleh Anwar menyebabkan masyarakat berkenaan berasa marah dan gusar.
 
  Kali terakhir gelaran itu diberikan  kepada Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) pada 1984 kerana kejayaannya memperjuangkan nasib masyarakat berkenaan.
 
  Setahun kemudian, Pairin menang dalam pilihan raya dan buat julung kalinya, parti yang mewakili masyarakat Kadazandusun itu berjaya membentuk kerajaan negeri pada 1985.
Pairin Huguan Siou
sebenar
 
  Bagi masyarakat etnik berkenaan, Pairin adalah Huguan Siou yang sebenar. Mereka yang mengikuti perkembangan tanah air juga tahu hakikat ini.
 
  Namun adalah aneh dan lucu bagi orang lain, terutama dari Semenanjung, seperti Anwar yang berasal dari Pulau Pinang dan tidak langsung mempunyai darah keturunan Kadazandusun diberikan anugerah sedemikian.
 
  Beliau juga sepatutnya mempunyai rasa malu untuk menerima gelaran seumpama itu kerana walau apapun alasan diberikan, Anwar tidak sama sekali layak untuk menjadi Huguan Siou. Apalah jasa dan pengorbanan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kepada kaum berkenaan sehingga membolehkannya dianugerahkan gelaran itu?
 
  Secara umumnya, Melayu di negara ini terbahagi kepada golongan Malayanesia dan Astronesia. Golongan Malayanesia sering dikaitkan dengan penduduk di Kepulauan Pasifik, Irian Jaya, atau penduduk tempatan di bahagian timur Malaysia iaitu kaum Kadazan Dusun, Murut, Iban, Dayak, Melanau ataupun Orang Asli termasuk di Semenanjung.
  
  Kumpulan Astronesia pula kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu yang dilihat di Semenanjung Malaysia, seperti Jawa, Peranakan dan lain-lain.
 
  “Berdasarkan struktur keturunan itu, sudah tentu Anwar bukan berketurunan etnik Kadazandusun. Dalam konteks ini, anugerah yang diberikan kepada beliau oleh Cabang PKR di Ranau itu agak keterlaluan dan tidak wajar,” kata Prof Ahmad Atory Hussain, pensyarah Fakulti Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).

   Bagi Ahli Seumur Hidup KDCA, Datuk Eric Majimbun, gelaran Huguan Siou itu jelas menunjukkan pihak berkenaan tidak menghormati budaya dan adat resam masyarakat terbabit.

  Tindakan PKR itu juga membuktikan betapa terdesaknya parti itu dalam usaha untuk meraih undi daripada masyarakat Kadazandusun sehingga terlupa bahawa apa yang dilakukan itu sebenarnya lebih memudaratkan parti daripada memberi kelebihan.
 
  Begitu juga jika gelaran lain seperti Janang Gayuh yang menjadi anugerah tertinggi bagi masyarakat Bisaya seandainya diberikan kepada orang yang tidak sepatutnya, terutama daripada masyarakat lain akan menimbulkan kemarahan etnik berkenaan.
 
  Apapun, gelaran Huguan Siou itu adalah sinonim dengan masyarakat Kadazandusun dan sesiapa yang menerima gelaran itu sudah semestinya termasuk dalam kelompok berkenaan.
  Justeru, tidak hairanlah kenapa begitu ramai penduduk tempatan di Sabah yang berasa terguris dan marah dengan gelaran yang diberikan kepada pemimpin PKR itu.
 
  Ada yang berpendapat sekiranya benar masyarakat berkenaan ingin memberi gelaran tertentu kepada Anwar, berilah gelaran lain, bukannya Huguan Siou yang dikhususkan kepada masyarakat Kadazandusun.
 
  Melihat pada reaksi negatifnya, ada kemungkinan langkah yang diambil oleh PKR Cabang Ranau itu boleh memberi kesan sebaliknya kepada parti berkenaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13  ini. - Berita Harian 15 Februari 2013