Tuesday, 11 March 2014

Prof Johan Galtung pemegang pertama Kursi Keamanan Global

 
Pelancaran Kursi Keamanan Global Tun Mahathir oleh Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) baru-baru ini adalah usaha lanjutan untuk menggalakkan lebih banyak kajian dijalankan berhubung keamanan dunia serta isu berkaitan dengan jenayah peperangan.

  Kursi itu adalah platform penting kepada sarjana dari seluruh dunia bagi memperhebatkan lagi penyelidikan mereka dalam bidang berkenaan. Adalah diyakini pemegang pertama Kursi Tun Mahathir PGPF itu, Prof Johan Galtung, 84, seorang sarjana dari Norway yang dikenali sebagai 'Bapa Penyelidikan Keamanan', benar-benar layak untuk menggerakkannya.
  Pada masa sama, Galtung juga adalah pemegang Kursi Kajian Keamanan di pusat pengajian tinggi di tiga benua.

  Galtung sudah terbabit dalam proses mencari penyelesaian dalam 130 konflik di seluruh dunia dan menjadi pengantara dalam 30 daripadanya.
  Kursi berkenaan dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

  Bagi mencapai objektif penubuhannya, sebuah Lembaga Pemegang Amanah ditubuhkan untuk mentadbir dan menguruskan tabung bagi menjalankan penyelidikan dan kursus mengenai isu berkaitan keamanan dunia dan menjenayahkan peperangan.
 Dalam ucapannya, Dr Mahathir menegaskan bahawa peperangan dan pembunuhan bukan penyelesaian kepada masalah dihadapi antara dua pihak bertelagah. Apa yang lebih penting ialah perundingan bagi membawa penyelesaian berkekalan antara kedua-dua pihak.

 “Apabila berlaku pertikaian, kita hendaklah merujuk kepada perundingan. Sekiranya rundingan tidak berjaya, kita rujuk pula kepada campur tangan pihak ketiga dan apabila kedua-duanya tidak mampu membawa penyelesaian, kita masih boleh ke mahkamah.
  “Malaysia dan jirannya di Asia Tenggara mempunyai hubungan baik di antara satu sama lain dan sentiasa menggunakan cara rundingan untuk menyelesaikan masalah berbangkit antara satu sama lain. Paling tidak, kita merujuk kepada mahkamah dunia," katanya.

 Bekas Perdana Menteri itu berharap pada satu hari kelak akan wujud Mahkamah Dunia yang bebas yang boleh mengadili dan menghukum pihak yang didakwa melakukan jenayah peperangan.
  Dr Mahathir menarik perhatian bahawa hanya apabila peperangan diisytiharkan sebagai haram, baru masyarakat dunia ini boleh dianggap sebagai bertamadun.

 “Saya berharap penubuhan Kursi PGPF ini dapat menyumbang ke arah menjadikan peperangan satu jenayah,”  tegas Dr Mahathir yang juga pengasas PGPF.
  Penubuhan PGPF bermula dengan pelancaran inisiatif Kuala Lumpur untuk menjenayahkan peperangan pada Forum Keamanan Global anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana pada Disember 2005.
         
  Pada forum berkenaan, pesertanya berpendapat satu perjuangan yang serius dan aktif diperlukan bagi menjadikan peperangan satu kesalahan di samping menggalakkan keamanan dunia.

 Antara kegiatan PGPF termasuk menyertai flotila antarabangsa dengan kapal MV Rachel Corrie untuk menghantar misi bantuan ke Semenanjung Gaza pada 31 Mei 2010. Misi kemanusiaan ini bertukar menjadi tragedi apabila komando Israel membunuh sembilan aktivis Turki tidak bersenjata di atas kapal MV Mavi Marmara.
  Berikutan itu, yayasan berkenaan turut menyertai misi mendapatkan maklumat di Gaza pada 10 Oktober 2010 dan menghantar sebuah lagi kapal, Spirit of Rachel Corrie pada 3 Mei hingga 12 Julai 2011.

  Aktiviti lain termasuk dialog mengenai Palestin, Waqaf Water4Gaza (WW4G) pada 2012, persidangan, pameran dan lain-lain. PGPF juga menganjurkan inisiatif pertama pada peringkat serantau dengan mengadakan pameran 'Peperangan adalah Jenayah' di Universitas Muhammadiyah, Yogyakarta dari 3 hingga 7 September 2012.
 Di samping itu, melancarkan Tabung Bencana Somalia pada 2011 secara bersama dengan MERCY Malaysia dan Media Prima serta melancarkan Tabung Kecemasan Gaza berikutan serangan udara di bumi Palestin itu dalam Operasi Pillar of Cloud pada November 2012.

 Presiden UIAM, Tan Sri Rais Yatim, dalam ucapannya pada majlis berkenaan, berpendapat peperangan menyebabkan berlakunya kebencian.
 “Ia menggalakkan budaya benci secara sistematik dan mengetepikan perasaan kasih sayang dalam kalangan manusia dan memusnahkan asas kemanusiaan.

  “Banyak lagi yang boleh dinyatakan bagi memperkuatkan alasan kita supaya manusia tidak menerima peperangan. Ungkapan 'perang' sepatutnya dikeluarkan dari kamus dan pemikiran manusia,” kata Rais. – Berita Harian, 6 Mac 2014