Thursday, 21 February 2013

Tidak wajar jeneral tentang kerajaan selepas bersara


 Kadang-kadang rasa pelik juga kita melihat ada pihak dalam perkhidmatan awam ataupun yang sudah bersara, menentang kerajaan semata-mata kerana mengikut emosi atau terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

  Rata-rata mereka adalah golongan yang memperoleh banyak manfaat daripada kerajaan, malah jauh lebih baik daripada sesetengah golongan yang bekerja di sektor swasta. Selain itu, ada anggota perkhidmatan awam ini mempunyai anak yang belajar pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara dengan tajaan agensi tertentu, tetapi pada masa sama masih tidak berpuas hati dengan kerajaan.

  Begitu juga dengan perkhidmatan dalam angkatan tentera. Sekali-sekala timbul cerita mengenai bekas pegawai atasannya yang menyokong pembangkang selepas bersara. 

  Terbaru, tindakan empat bekas jeneral tentera yang secara terbuka menyokong pembangkang di pentas ceramah politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sabtu lalu. Sudah tentunya sebagai bekas pegawai tertinggi tentera, perbuatan mereka itu dianggap sebagai tidak wajar dan tidak beretika.

  Memang benar sebagai individu, mereka bebas memilih untuk menyokong sesiapa saja. Mereka juga tidak terikat lagi dengan tatatertib ketenteraan. Namun dari segi moralnya, perbuatan mereka mendedahkan perkara tertentu mengenai angkatan tentera di khalayak umum adalah tidak betul dan menyalahi etika. 

  Malah, pendedahan mereka itu sebenarnya terpercik ke muka mereka sendiri kerana apa yang didedahkan itu berlaku ketika mereka masih berada dalam perkhidmatan. Sudah tentunya dalam konteks ini, ia menunjukkan kelemahan diri mereka.

  Ketika itu mereka memegang jawatan tinggi dan sepatutnya membuat teguran dari dalam, bukannya hanya membuat heboh apabila sudah bersara.

   Keempat-empat bekas jeneral itu turut berucap di samping Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), di depan penyokong mereka dalam siri ceramah jelajah merdeka rakyat di Keramat Wangsa, Kuala Lumpur, Sabtu lalu. 

  Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd Salleh Ismail, berkata pegawai tinggi seperti mereka tidak sepatutnya melahirkan kekecewaan dengan secara terbuka seperti yang dilakukan itu.

  “Mereka adalah golongan profesional dan ketika berkhidmat, mereka dihormati. Sekarang mereka cuba pula mempertikaikan perkara yang sudah berlalu. Apabila tentera hendak membeli senjata, Kementerian Pertahanan menentukan proses pembelian, kos yang terbabit dan pertimbangannya dari segi bajet. Keputusan dibuat oleh menteri secara politik,” jelas Salleh.

  Justeru, tegasnya, tidak wajarlah bagi pegawai tertinggi tentera itu keluar dengan pelbagai kenyataan sekarang dan membuat aduan. Tiada sebab bagi mereka bertindak sedemikian.

 “Mereka sudah pun memberi pandangan masing-masing berhubung pembelian itu ketika memegang jawatan. Oleh itu, adalah tidak adil pada ketika ini pula menentang kerajaan dan membuat pelbagai tuduhan. Hairan juga kenapa baru sekarang mereka menyatakan kekecewaan mereka?,” ujar Salleh.

  Katanya, sepatutnya pegawai berkenaan menyertai parti politik ketika meninggalkan perkhidmatan dulu bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

  “Mereka kini menjadi contoh tidak baik kepada pegawai muda lain yang dilatih supaya mengamalkan sikap berdisiplin tinggi. Perbuatan mereka mengaibkan ramai anggota tentera lain. Mereka patut lihat aspek positif perkhidmatan. (Datuk Seri) Najib (Razak) sudah melakukan macam-macam ketika beliau memegang jawatan Menteri Pertahanan sebelum ini, dari segi kemudahan, infrastruktur, kebajikan keluarga tentera, struktur gaji serta elaun dan lain-lain,” katanya.

  Salleh berkata, kerajaan sudah memberi banyak manfaat dan sebagai bekas pegawai tertinggi, mereka sepatutnya memikirkan perkara itu dan memberi sokongan seberapa yang boleh, bukannya melawan kerajaan.

 Lagipun, katanya, keadaan mereka dulu pun agak baik dan kini jauh lebih baik. Sebagai contoh, katanya, baru-baru ini kerajaan mengeluarkan kira-kira RM240 juta bagi memberi imbuhan RM1,000 kepada askar tidak berpencen semua peringkat tanpa mengira pangkat.

  “Tak cukup ke apa yang sudah dibuat kerajaan,” tanyanya. Beliau berharap lebih ramai pegawai kanan tentera akan membuat teguran sebegini kepada mereka secara terbuka.

   Beliau juga kecewa kerana Anwar sanggup menggunakan bekas jeneral itu untuk menang dalam pilihan raya dan menjadi Perdana Menteri.

  Bekas Panglima Operasi Udara TUDM, Major Jeneral (B) Datuk Abdul Malek Shahar Harun, berkata perbuatan bekas jeneral terbabit mencerca perkhidmatan mereka dulu amat tidak wajar.

  “Kita terikat dengan etika ketenteraan, lagipun mereka sudah pun melaksanakan tugas dengan cemerlang. Mereka sepatutnya berterima kasih, terus membantu dan tidak memihak,” tegasnya.
- Berita Harian, 21 Februari 2013