Friday, 12 April 2019

Jangan taasub parti, kakitangan perlu profesional

Kakitangan awam harus bersikap profesional agar pentadbiran kerajaan berjalan lancar tanpa gangguan. ― Foto ReutersPerubahan kerajaan boleh berlaku setiap kali adanya pilihan raya umum kerana ia adalah amalan biasa dalam sistem pemerintahan demokrasi. Sekiranya kerajaan dan parti memerintah yang sedia ada diperbaharui mandat dalam pilihan raya, maka ia akan terus memegang tampuk pemerintahan negara.
Namun jika keputusan pilihan raya berlaku di sebaliknya dan parti lain mengambil alih, maka akan berlakulah perubahan dalam pemerintahan negara.
Fenomena inilah yang berlaku di negara kita berikutan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 yang lalu. Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno dan memerintah selama 61 tahun tewas di tangan gabungan parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan. Ia adalah satu keputusan mengejutkan dan di luar jangkaan semua pihak.
Namun, perubahan tersebut tidak bererti kakitangan perkhidmatan awam perlu terus menyatakan sokongan mereka kepada parti lama yang tidak lagi berkuasa. Sebagai anggota kerajaan, mereka seharusnya patuh kepada kerajaan yang berkuasa tanpa mengira parti mana yang menang dalam pilihan raya.
Tanpa sokongan pegawai dan kakitangan perkhimatan awam, kerajaan tidak dapat berfungsi dengan berkesan. Ini kerana semua keputusan dan dasar yang dibuat oleh pemimpin atasan perlu dilaksanakan pada peringkat pelaksana iaitu kakitangan bawahan.
Andainya anggota perkhidmatan awam ini masih mempunyai perasaan simpati kepada pemimpin yang lama, ia akan mempengaruhi tindakan mereka dalam melaksanakan tugas sedangkan ia adalah sebahagian daripada tuntutan dalam ajaran agama khususnya agama Islam.
Walaupun parti berubah selepas pilihan raya, anggota pentadbiran negara tidak berubah. Justeru, wajar mereka mematuhi peraturan dan melaksanakan tugas dengan dedikasi dan berintegriti, bukannya taksub dengan pemimpin atau parti politik tertentu.
Seperti ditegaskan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan bersama warga Jabatan Perdana Menteri pagi ini, kesetiaan sementara kepada pemimpin dan parti hanya perlu diberikan jika ia dapat memberi kebaikan kepada negara.
Namun jika didapati penyelewengan dilakukan pemimpin dan parti yang disokong, maka kesetiaan itu perlu dialihkan kepada pemerintahan sedia ada walaupun sudah terikat kepada parti itu selama 61 tahun sebelum ini.
Dr Mahathir menegaskan bahawa apa yang lebih penting dan perlu lebih diutamakan adalah negara, bukan pemimpin atau parti, walaupun sebagai rakyat, kakitangan awam juga bebas menyokong mana-mana parti yang mereka suka.
Dalam menjalankan tugas, mereka harus bersikap profesional dan bukannya bertindak secara emosi kerana taasub dengan mana-mana pihak.
Ini bukannya kali pertama perdana menteri membuat ingatan ini dan sudah tentunya beliau mempunyai sebab untuk menyatakan pendiriannya itu sekali lagi pada perjumpaan dengan warga JPM hari ini.
Kejayaan sesebuah kerajaan memerlukan sokongan semua pihak termasuk anggota pentadbirannya daripada semua sektor. Pemimpin politik hanya membuat dasar dan kadangkala membuat seruan ini dan itu. Tetapi sekiranya anggota pentadbiran tidak akur dengan keputusan yang dibuat, maka apa juga dasar atau perubahan yang ingin dilakukan tidak akan berjaya tanpa penglibatan kakitangan di sektor awam.
Di negara lain seperti United Kingdom, kerajaannya berubah daripada sebuah parti kepada parti lain selang beberapa pilihan raya. Namun, tidak kira sama ada kerajaan Britain dipimpin Parti Konservatif ataupun Parti Buruh, anggota pentadbirannya tetap sama kecuali beberapa pelantikan politik sahaja yang berubah.
Malaysia kini menampakkan trend kemungkinan boleh berlaku perubahan dalam pemerintahah negara pada pilihan raya umum pada masa-masa hadapan berdasarkan keputusan mengejut PRU14. Tidak mustahil pada satu hari nanti akan wujud sistem dua parti di negara kita seperti yang diamalkan di Britain.
Dalam pemerintahan Malaysia Baharu ini, rakyat lebih bebas dan cenderung membuat teguran serta memberi pandangan kepada banyak keputusan yang dibuat oleh kerajaan dan tidak mustahil mereka akan melakukan perubahan apabila tiba masanya dalam pilihan raya.
Pada masa itu juga, jika berlaku perubahan dalam pemerintahan negara, anggota pentadbiran kerajaan adalah sama dan seharusnya menunjukkan sokongan kepada kerajaan yang ada.
Mungkin seperti ditegaskan perdana menteri, pertukaran kerajaan yang berlaku buat pertama kalinya di Malaysia sejak merdeka pada PRU14 menimbulkan rasa tidak senang kepada anggota pentadbiran kerana kesetiaan sudah diberikan kepada kerajaan terdahulu sejak 61 tahun lalu.
Apapun, sebagai warga kerja kerajaan memerintah, kesetiaan harus diberikan kepada pemimpin sedia ada agar pentadbiran kerajaan dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.
* Razak Rashid Ghows seorang penulis kolum ProjekMM. Artikel ini disiarkan pada             11 Februari 2019