Walaupun
kelmarin pakatan pembangkang melancarkan manifestonya menjelang Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU-13), satu perkara yang masih menjadi persoalan di benak setiap
orang ialah siapakah perdana menteri pilihan mereka?
Sehingga kini pendirian mereka masih berbelah
bahagi antara Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim
dan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang. Kalau diikutkan kehendak
masing-masing, semua parti mahukan jawatan itu.
Berdasarkan sistem politik di negara ini,
Perdana Menteri memegang kuasa eksekutif dan adalah orang terpenting dalam
kerajaan yang mempunyai tanggungjawab besar. Beliau juga diberi gelaran Yang
Amat Berhormat atau YAB.
Dalam sistem kita, ia satu jawatan teratas
yang juga mungkin menjadi idaman dan cita-cita orang tertentu sebaik saja dia
menjejaki dunia politik. Perdana Menteri juga berkuasa melantik menteri,
timbalan menteri, setiausaha parlimen (kalau ada) dan lain-lain.
Justeru, tidak hairan kenapa pihak
pembangkang yang belum pernah mengecapi jawatan YAB itu kini menaruh minat
mendalam terhadap jawatan itu.
Namun, mereka mempunyai satu masalah besar –
siapa calon yang dipersetujui semua pihak tanpa bantahan daripada mana-mana
parti.
Baru-baru ini seorang rakan menceritakan
kepada penulis mengenai pertemuannya dengan sebilangan tauke besar Cina di
Cameron Highlands. Dalam perbincangan itu, ada yang menyuarakan supaya kerajaan
ditukar dan diberikan pelbagai alasan mengenainya.
Tapi sebaik saja rakan penulis itu bertanya
kepada mereka siapa boleh diangkat menjadi perdana menteri, semuanya terdiam.
Tiba-tiba saja mereka membisu seribu bahasa.
Lalu rakan penulis itu pun cuba mengusik
mereka dan mencadangkan nama Anwar. Reaksi spontan mereka, “Mana boleh Anwar?’
Hadi pula bagaimana?, tanya lagi rakan penulis. “Itu lagi tak boleh,” kata
mereka.
Ternyata kini dalam kesibukan pihak tertentu
berhasrat supaya kerajaan ditukar, mereka sebenarnya tidak terfikir soal siapa
yang boleh mengetuai kerajaan baru yang bakal dibentuk.
Hendak diangkat Anwar, Majlis Syura PAS tidak
bersetuju. Hendak bagi kepada Hadi, DAP pula tak setuju. Jadi siapa calon yang
sesuai? Ada yang menyatakan ada orang ketiga tapi apakah Anwar akan bersetuju?
Bagaimana pula dengan penerimaan orang ketiga
ini dalam kalangan ahli dan penyokong PAS, PKR dan DAP?
Keadaan ini menyebabkan sebahagian besar
pemimpin pakatan pembangkang memilih untuk menutup mulut apabila dibangkitkan
isu ini. Kelmarin pada majlis pelancaran manifesto pakatan pembangkang,
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sekali lagi menyatakan pendapatnya Anwar
calon paling sesuai.
Timbalan Presiden PAS, Mohamed Sabu pula,
berkata soal itu bukan isu besar dan perkara biasa. “Saya pun boleh dipilih
(sebagai perdana menteri) tapi nama saya tiada dalam senarai. Kami sudah ada
orangnya (untuk diangkat sebagai perdana menteri) tapi namanya akan diumumkan
kemudian,” katanya.
Percanggahan antara PAS dan DAP berhubung
siapa yang patut menjadi perdana menteri ini sudah tentunya akan menjejaskan
kerajaan pembangkang andainya mereka memperoleh mandat selepas pilihan raya
umum akan datang ini.
Ia juga bermakna dari awal lagi pakatan
pembangkang akan bertelagah dan berebut jawatan. Trend itu juga dijangka akan
berlaku pada peringkat negeri, andainya mereka juga memperoleh mandat di negeri
tertentu.
Keadaan ini amat jauh bezanya dengan kerajaan
Barisan Nasional (BN) yang tidak menghadapi sebarang masalah mengenai soal
kepemimpinan. Kemenangan yang diperoleh BN bererti Datuk Seri Najib Razak,
Perdana Menteri sekarang, akan terus memegang jawatan berkenaan tanpa ada
masalah.
Begitu juga dengan kepemimpinan pada
peringkat negeri, yang dicapai secara konsensus
parti komponen BN.
Pakatan pembangkang adalah rapuh dan mereka
tidak mempunyai ikatan kukuh seperti dalam rangka kerjasama BN. Mereka
bertanding pun menggunakan simbol dan bendera sendiri tanpa entiti bersama.
PRU-13 ini dikatakan yang paling sengit dalam
sejarah pilihan raya umum di negara ini yang dijangka akan diadakan pada April
depan. Sudah tentunya kerjasama longgar antara parti pembangkang itu akan
mencetuskan masalah kepada ketiga-tiga parti berkenaan dalam pengagihan jawatan
sekiranya mereka mendapat kuasa selepas pilihan raya umum ini. - Berita Harian 27 Februari 2013