Wednesday, 20 February 2013

'Mereka yop saya' - Zambry Kadir


  Spekulasi mengenai jawatan Menteri Besar Perak yang kini disandang Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menarik perhatian orang ramai minggu lalu.

  Lebih menarik lagi apabila ada pihak cuba mengadu domba Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu dengan tiga menteri pusat yang juga mewakili kawasan Parlimen di negeri berkenaan iaitu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

  Desas-desus tersebut sebenarnya lebih menjurus kepada Husni, Ahli Parlimen Tambun yang dikatakan berpotensi menggantikan Zambry.

  Sebab timbulnya cerita itu hanya diketahui pihak yang memulakannya. Namun spekulasi sedemikian adalah perkara biasa setiap kali tiba musim pilihan raya. Bukan saja di Perak, negeri lain juga ada cerita masing-masing.

 Bagi meredakan spekulasi tersebut, Husni pernah membuat kenyataan bahawa beliau tidak ada masalah dengan Zambry dan Zahid pula pada minggu lalu mengeluarkan kenyataan khusus bagi menepis spekulasi berkenaan.

  Mewakili dua rakan Kabinetnya, Zahid menolak dakwaan kononnya mereka mempunyai masalah sekiranya Zambry kekal sebagai Menteri Besar. Sebaliknya mereka berikrar untuk menyokong sepenuhnya kepemimpinan Zambry di Perak sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

  Kenyataan itu sekali gus menolak andaian bahawa ketiga-tiga menteri itu mempunyai niat untuk menjadi Menteri Besar apabila turun padang ke kawasan masing-masing.

  Sebaliknya, apa yang dilakukan mereka itu adalah bagi memperkukuhkan lagi kedudukan Zambry. Menurut pemerhati politik, ketiga-tiga tokoh tersebut tidak lagi berminat untuk kembali untuk mentadbir negeri kerana mereka sudah lama menjadi menteri.

   Mereka sudah sampai ke tahap lain, iaitu sebagai pemimpin pada peringkat pusat. Selaku anggota kanan parti, khidmat mereka juga lebih diperlukan pada peringkat pusat.

  “Mereka adalah abang senior saya,” kata Zambry ketika diminta reaksinya oleh pemberita di Ijok baru-baru ini. Maknanya beliau memandang mereka sebagai ‘Yop’ iaitu Yop Zahid, Yop Husni dan Yop Nazri.

  Dari segi tempoh beliau memegang jawatan itu, Zambry baru saja menjadi Menteri Besar selama lebih empat tahun saja. Agak terlalu awal bagi beliau melepaskan jawatan itu kepada orang lain.

  Dalam istilah politik, empat lima tahun adalah seperti setahun jagung, iaitu baru satu penggal. Apalah yang boleh dilakukan dalam tempoh sepenggal itu? Banyak lagi program pembangunan yang dirancang sebelum ini perlu diteruskan oleh Zambry.

  Beliau juga orang muda yang datang daripada kelompok Pemuda UMNO yang lebih sesuai dengan perubahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi program transformasi politiknya. 

  Selepas melalui sepak terajang politik di negeri yang mencatatkan sejarah politiknya tersendiri pada PRU-12 pada 2008 itu, Zambry pastinya sudah mengenali siapa kawannya dan siapa pula pihak yang mungkin mendatangkan masalah kepadanya, sama ada dari dalam atau luar parti.

 Menteri Besar Perak itu juga mendedahkan bahawa sebenarnya isu tersebut sengaja dimainkan oleh pihak pembangkang.

  Katanya: “Jika dilihat tweet Ngeh (Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham), dia kata dapat sumber daripada UMNO yang saya tak boleh jadi Menteri Besar.

  “Niat mereka bukan pasal saya sangat, niat mereka dengan harapan dapat memecahkan kekuatan Barisan Nasional (BN) di Perak ketika ini.”

  Dalam konteks berkenaan, kita dapat lihat bahawa Zambry lebih memahami kerenah pemimpin pembangkang di negeri itu.

  Selain itu, selepas empat tahun selaku pemimpin negeri, pastinya Zambry kini lebih masak dengan perangai orang UMNO dan ‘warlord’ di negeri limau Tambun itu.

  Di Perak dan di kebanyakan negeri lain, kekalahan BN dalam PRU-12 pada 2008 bukannya kerana pembangkang kuat tapi berpunca daripada perpecahan sesama anggota UMNO dan BN sendiri.

  Dalam tsunami PRU-12 itu, ada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak yang kalah dengan hanya 72 undi dan ada kawasan yang dimenangi dengan majoriti 14 undi saja. Keseluruhannya, terdapat sembilan kawasan DUN yang dimenangi dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi dan daripada itu lima di bawah 500 undi. Ini tidak termasuk kawasan majoriti pengundi Cina yang dimenangi pembangkang.

  Umumnya perasaan tidak puas hati adalah antara punca utama kekalahan BN di kawasan tertentu dalam pilihan raya lalu.

  Pada saat yang getir ini, UMNO dan BN sudah tentunya tidak memerlukan satu persengketaan atau perebutan dalam kalangan barisan pemimpinnya. - 19 Februari 2013