Presiden MCA,
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berharap peluang lebih luas diberikan kepada
generasi muda dalam parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13), seiring dengan perubahan demografi pengundi sekarang.
Selain itu, beliau berharap Barisan Nasional (BN) akan
mengetengahkan lebih ramai calon wanita untuk bertanding.
“Harapan saya supaya separuh calon terdiri daripada muka baru bagi
mencerminkan pembaharuan,” katanya di Wisma MCA, baru-baru ini.
Beliau menambah, senarai calon MCA itu sudah
diserahkan kepada Perdana Menteri untuk keputusan muktamad.
Mengenai manifesto BN, beliau berkata, masih dalam proses dikemaskini.
Dr Chua berharap MCA dapat mengekalkan 15 kerusi Parlimen dan 31
kerusi Dewan Undangan Negeri yang diperoleh pada PRU-12 dan menang kerusi
tambahan pada PRU-13 ini.
Beliau berkata, dalam membuat penentuan
PRU-13, pengundi hendaklah memikirkan
masa depan 28 juta rakyat Malaysia dan hala tuju pembangunan negara
selepas ini.
“Jika mereka pangkah BN bermakna pembangunan
dan hala tuju kita jelas. Program transformasi akan membangunkan Malaysia ke
arah menjadi negara maju dengan
pendapatan tinggi pada 2020. Rakyat boleh yakin mereka terus menikmati keharmonian antara
kaum serta kestabilan politik.
“Jika BN menang, kita sudah tahu siapa
Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Razak, bukan seperti pembangkang yang
masih bertelagah siapa yang akan memegang jawatan itu,” tegasnya.
Beliau berkata, dalam tempoh lebih tiga
tahun, Najib memegang teraju kepemimpinan, beliau berjaya menonjolkan dirinya
sebagai pemimpin dan sering turun padang
mendengar rintihan rakyat.
“Atas sebab itu banyak program dianjurkan
untuk golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Sebaliknya beliau mempersoalkan apa yang
boleh rakyat dapat jika pengundi memilih
pakatan pembangkang yang hanya
pandai mengumumkan dasar populis yang
akan memufliskan negara kerana sumber kewangan terhad.
Tahun lalu, tambahnya, pendapatan negara
berjumlah RM200 bilion dan jika
diperhalusi janji pakatan pembangkang, mereka tentu memerlukan jumlah lebih
besar untuk melaksanakannya.
“Untuk turunkan harga minyak, mansuhkan tol,
memberi pendidikan percuma, mansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) dan memastikan setiap keluarga memperoleh pendapatan
RM4,000 sebulan, sudah tentu memufliskan
negara dalam tempoh dua tahun. Macam mana nak tunaikan kecuali mereka
menaburkan janji tanpa niat
menunaikannya.
Beliau berpendapat janji pembangkang bukan saja tidak ditunaikan bahkan
diterbalikkan. Sebagai contoh cukai pintu yang dijanjikan turun, sebaliknya dinaikkan pula.
Selangor pula, katanya, mencipta sejarah
sebagai negeri pertama disaman rakyat. Beribu-ribu ibu tunggal dan penduduk
yang tidak mendapat bekalan air percuma
menyaman kerajaan negeri.
Beliau tidak nampak bagaimana parti
pembangkang dapat menggalakkan
keharmonian, sedangkan mereka sering bertelagah
sesama sendiri kerana ketiga-tiga parti
mempunyai agenda berlainan.
“Kalau jadi pemerintah, pemimpinnya daripada
parti mana? Siapa taiko, Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) atau Anwar (Datuk
Seri Anwar Ibrahim)? Difahamkan Majlis Syura PAS tolak Anwar, sementara DAP
pula mati-mati mahukan Anwar. DAP tak akan sokong PAS kerana khuatir sokongan
terhadap DAP akan hilang,” katanya.
Presiden MCA itu menarik perhatian sehingga
hari ini, pakatan pembangkang itu tiada satu entiti, bendera mahupun logo atau
perlembagaan seperti BN.
“Sekarang pun dah bergaduh pasal pengagihan
kerusi. Nik Aziz (Datuk Nik Aziz Nik Mat) dan Hadi kata tetap laksana hudud walaupun dalam kerangka kerjasama mereka, PAS tak
laksana hudud tetapi Hadi dan Nik Aziz setiap hari bercakap mengenai hudud.
Karpal Singh pula cakap lain,” katanya. - Berita Harian, 28 Februari 2013