Manifesto adalah janji bertulis parti politik kepada rakyat
selaku pengundi dan akan muncul sebaik saja Parlimen dibubarkan. Baru-baru ini
parti yang bernaung di bawah rangka kerjasama pakatan pembangkang melancarkan
manifestonya.
Selalunya manifesto dilancarkan selepas pembubaran Dewan
Rakyat tetapi kali ini parti pembangkang memutuskan untuk melakukan sesuatu
yang luar biasa dengan mengumumkannya lebih awal.
Alasan mereka supaya rakyat dapat menyelami janji yang
dibuat parti berkenaan dalam pilihan raya umum ini.
Barisan Nasional (BN)
pula dijangka mengumumkan manifestonya tidak lama lagi selepas Dewan Rakyat
dibubarkan, seperti lazim dilakukan pada pilihan raya umum sebelum ini.Apapun, pelancaran manifesto bukanlah sesuatu yang wajib dan tiada kaitan dengan peraturan pilihan raya. Ia juga hanya urusan parti politik dan tidak ada kena mengena dengan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Terserah kepada parti politik menentukan apa corak manifestonya dan bila untuk mengumumkannya. Kadangkala dalam pilihan raya umum, ada manifesto khas bagi negeri tertentu, seperti dilakukan BN di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008.
Kali ini selain Kelantan, BN akan juga melancarkan manifesto
khas untuk Pulau Pinang bagi menggariskan perancangan parti itu untuk
membangunkan Pulau Mutiara itu jika diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) ini.
Apa yang menjadi persoalan ialah pakatan pembangkang bukan
sebuah entiti rasmi. Parti yang bekerjasama dalam pakatan berkenaan iaitu Parti
Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP tidak bergabung sebagai parti berdaftar.
Mereka mengeluarkan manifesto itu dengan tujuan ia menjadi
satu bahan kempen bagi menarik perhatian rakyat.
Pakatan Rakyat (PR) atau pakatan pembangkang juga tidak ada
logo tunggal dan bertanding atas tiket masing-masing. Calon yang bertanding
juga mewakili parti masing-masing iaitu PKR, PAS dan DAP.PAS dijangka mempunyai manifestonya sendiri kerana dalam manifesto pakatan pembangkang tidak disebut arah perjuangan parti berkenaan. Tidak mungkin manifesto pakatan pembangkang itu digunakan dalam kempen di Kelantan dan Terengganu yang perjuangannya lebih berunsur keagamaan.
Bagaimanapun, hingga sekarang tidak ada kenyataan daripada mana-mana pucuk pimpinan pakatan pembangkang yang menunjukkan mereka akan mengeluarkan manifesto sendiri.
Manifesto adalah dokumen penting yang juga satu bahan kempen
bagi memaparkan segala dasar, perjuangan dan janji parti dalam pilihan raya.
Tanpa manifesto, apa yang hendak rakyat pegang? Jika parti politik yang
bertanding dari awal lagi tidak menganggap manifesto itu sebagai janji, sudah
tentu ia akan menimbulkan masalah selepas pilihan raya kelak. Rakyat akan
menuntut apa yang dijanjikan.
Justeru, manifesto
tidak boleh dipermain-mainkan atau sengaja dibuat bagi memancing undi. Ia
seharusnya menjadi landasan bagi arah tuju perjuangan parti terbabit jika
diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya.
Ini menyebabkan parti
politik harus memberi perhatian dan tumpuan khusus kepada apa yang dijanjikan
ketika kempen. Jangan membuat janji bukan-bukan yang tidak mungkin dapat
dilaksanakan semata-mata kerana ingin mendapat sokongan dalam pilihan raya.
Contohnya, pemansuhan
bayaran tol, elaun ibu tunggal dan pendidikan percuma jika dilaksanakan
tentunya akan menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan dan akhirnya janji yang
dibuat ketika berkempen itu akan hanya tinggal janji.Janji mestilah juga munasabah dan mampu dikotakan agar rakyat tidak hilang keyakinan terhadap pemimpin dan parti yang membuat janji itu.
Dalam hubungan ini, rakyat harus menjadi penilai yang bijak. Teliti manifesto pakatan pembangkang itu dan lihatlah kewajarannya untuk menjanjikan pelbagai perkara. Kemudian kaji manifesto akan dikeluarkan BN dalam masa terdekat ini dan bandingkan dengan apa yang dilaksanakan.
Rakyat kena pandai
congak baik buruk manifesto yang diuar-uarkan itu. Sudah tentunya menjelang
PRU-13 ini, rakyat mahukan satu manifesto yang benar-benar mantap dan mampu
ditunaikan. - Berita Harian, 20 Mac 2013