Friday, 29 March 2013

Guna laman sosial jawab tohmahan


  Selagi Parlimen belum dibubarkan, selagi itulah timbul pelbagai spekulasi mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Hampir saban hari ada saja spekulasi mengenai pembubaran sehingga tiba hari yang ditunggu-tunggu itu.   
  Setiap kali tibanya Rabu, akan ada spekulasi Parlimen akan dibubarkan berikutan kunjungan Perdana Menteri ke Istana Negara untuk menghadap Yang Di-Pertuan Agong sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet.   
  Minggu lalu sekali lagi spekulasi sama dibuat apabila Perdana Menteri menghadap Seri Paduka di Istana Negara. Spekulasi melalui Twitter dan sistem pesanan ringkas (SMS) itu terpaksa ditepis pejabat media Perdana Menteri yang bukan saja menafikannya, malah menyatakan ia adalah palsu.   
  Pejabat akhbar juga menerima banyak panggilan yang bertanyakan pengesahan mengenai ura-ura pembubaran itu sehingga kenyataan untuk menafikannya dikeluarkan dengan rasmi, baru ia reda.   
  Sebenarnya spekulasi itu menjadi begitu rancak selepas Perdana Menteri membentangkan kad laporan prestasi kerajaan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada malam sebelumnya.   
  Kini, ramai yang berpendapat Perdana Menteri akan berbuat demikian minggu ini kerana rangka terakhir siri Jelajah Janji Ditepati (JJD) sudah berlangsung di Kuantan, Pahang kelmarin.   
  Spekulasi mengenai bila PRU-13 diadakan adalah isu kepentingan rakyat, justeru cerita mengenai pembubaran Parlimen itu tidak akan terhenti selagi ia tidak kunjung tiba. Ia bahan yang sering dibincang khalayak ramai, di kedai kopi, pejabat dan tempat lain.   
  Bukan perkara baru.  Ia bukan perkara baru kerana pada zaman Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri pun isu pembubaran itu sering diperkatakan. Laporan mengenai pembubaran itu juga menyebabkan pihak pembangkang menjadi teruja kerana keghairahan mereka untuk ke medan pertarungan berikutan matlamat mereka untuk mara ke Putrajaya.   
  Twitter antara medium komunikasi yang dijangka digunakan dengan meluas ketika kempen pilihan raya umum nanti. Adalah dijangkakan laman sosial popular itu juga akan menjadi medium paling banyak digunakan calon dan penyokong mereka ketika kempen kelak.   
  Malah, keputusan PRU-13 juga besar kemungkinan dipaparkan lebih awal melalui Twitter serta laman sosial lain.   Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, pihak pembangkang banyak menggunakan laman sosial dalam kempen mereka.
  Kini dalam PRU-13 ini, Barisan Nasional (BN) dijangka akan menjadikannya antara medium utama bagi menangkis dan menjawab tohmahan pembangkang.   Sebenarnya laman sosial ini juga antara cabaran utama BN dalam mendekati hati pengguna media sosial terutama golongan muda.   
  Pemimpin dan ahli BN perlu cekap dan bijak menggunakan ruang siber, bukannya duduk di takuk lama ketika menghadapi isu dibangkitkan oleh pihak pembangkang atau parti lawan dalam pilihan raya ini.   
  Malah, seperti kata seorang pemimpin UMNO, ruang siber adalah media arus perdana bagi pihak pembangkang kerana mereka sudah begitu lama menggunakan platform berkenaan. Penyokong mereka juga agak selesa dengan apa dipaparkan menerusi laman sosial berkenaan termasuk Twitter, Facebook dan blog.   
  Baru-baru ini BN melancarkan kumpulan aktivis siber bagi membantu parti berkenaan menangkis isu yang dibangkitkan ketika pilihan raya.   Kumpulan itu boleh menampung apa juga kekurangan yang wujud dalam kalangan penyokong lain yang sudah lama melancarkan kempen mereka melalui ruang siber secara rasmi dan tidak rasmi.   
  Aplikasi muat turun laporan   Penggunaan meluas telefon pintar juga dijangka dapat membantu apabila Pemuda BN baru-baru ini melancarkan aplikasi bagi memuat naik laporan terkini dan mengemaskini isu berkaitan pilihan raya umum.   
  Sehingga kini, lebih 3,000 aktivis siber dikatakan sudah pun dilatih untuk berkongsi maklumat dalam blog dan rangkaian laman sosial seperti Facebook dan Twitter.   Apapun spekulasi tarikh pilihan raya umum itu adalah titik permulaannya.
  Banyak lagi isu dan maklumat akan menyusul sebaik saja Perdana Menteri membubarkan Parlimen sehari dua lagi. - Berita Harian, 25 Mac 2013