Tuesday 25 February 2014

Ke arah mewujudkan 'the thinking public service' - Ali Hamsa

 Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa mahu penjawat awam yang boleh berfikir ketika melaksanakan tugas kerana mereka berperanan penting menjayakan Dasar Transformasi Negara supaya Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020. Selain itu, usaha memerangi rasuah dalam sektor perkhidmatan awam perlu dipertingkatkan bagi menghapuskan apa juga persepsi negatif yang boleh mencalarkan imej negara dan perkhidmatan berkenaan. Tambahnya, kerajaan sememangnya memandang serius segala teguran audit dan laporan ketidakpatuhan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara selain menyatakan kesediaan bekerjasama dengan CUEPACS. Dalam temuramah eksklusif dengan wartawan BH, Razak Rashid Ghows, Dr Ali turut mengingatkan penjawat awam supaya membulatkan tekad untuk melaksanakan semua program transformasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar sistem penyampaian perkhidmatan awam berupaya meningkatkan daya saing negara.

Wartawan: Memandangkan kita masih berada pada awal 2014, boleh Tan Sri menyatakan harapan kerajaan terhadap kakitangan awam pada tahun ini?
Ali Hamsa: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, dalam perhimpunan bulanan pertama dengan warga Jabatan Perdana Menteri pada 6 Januari lalu, memaklumkan mengenai keadaan ekonomi dunia pada masa ini memberikan kelebihan kepada negara yang melakukan transformasi. Transformasi yang dimaksudkan adalah bersifat struktural, iaitu kepada dasar negara dan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berupaya meningkatkan daya saing negara.

Hanya dengan cara inilah negara kita akan berupaya mencapai kadar pertumbuhan ekonomi mampan. Perdana Menteri sudah menggariskan perubahan struktur itu di dalam Dasar Transformasi Negara. Penjawat awam berperanan mendukung dan melaksanakan Dasar Transformasi Negara supaya Malaysia menjadi  negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. Perdana Menteri  pernah menyebut bahawa penjawat awam adalah tunjang kepada pembangunan negara.
Oleh  demikian, hasrat kerajaan supaya Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi hanya dapat direalisasikan sekiranya program transformasi membabitkan sektor perkhidmatan awam. Apabila transformasi yang dilakukan berjaya meningkatkan daya saing negara, menjanakan kadar pertumbuhan ekonomi positif, Kerajaan dapat mempertimbangkan insentif dan kemudahan lain untuk kebajikan penjawat awam. Usaha transformasi kerajaan telah menampakkan kejayaan apabila di pentas global, Malaysia kini di kedudukan  keenam daripada 189 negara ekonomi dunia di dalam Laporan Bank Dunia 2014. Ini adalah pencapaian begitu baik, yang harus dibanggakan kerana selepas sekian lama berusaha memecah tembok kelompok 10 teratas di dalam penarafan berkenaan.

Walaupun berbangga dengan pencapaian ini, tidaklah bermakna perkhidmatan awam boleh berhenti setakat itu saja. Kejayaan ini tidak bermakna kita sudah mencapai misi kita. Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi melonjakkan Malaysia di dalam liga negara maju.
Penarafan dunia pada tahun lalu, seperti Indeks Inovasi Global (GII) di mana Malaysia berada pada kedudukan ke-32, Laporan Kedayasaingan Global (GCR) oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) di mana Malaysia berada di tempat ke-25 dan Buku Tahunan Kedayasaingan Global (WCY) oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang meletakkan negara di tangga ke-15, adalah antara pengukuran daya saing antarabangsa yang mesti ditingkatkan pencapaiannya.

Dalam kesungguhan mengejar prestasi tinggi bagi penarafan antarabangsa, seharusnya juga perhatian diberikan bagi memperkasakan sistem tadbir urus dan integriti perkhidmatan awam.  Dalam hubungan ini, pencapaian negara di dalam Indeks Rasuah Global (GCI) menunjukkan peningkatan daripada skor 4.9 pada 2012 kepada 5.0 pada 2013. Berdasarkan  perkembangan positif itu, usaha memerangi rasuah perlu ditingkatkan supaya dapat menghapuskan persepsi negatif yang boleh mencalarkan imej negara dan perkhidmatan awam.
Perkara yang sering mencemar nama baik perkhidmatan awam adalah teguran audit dan laporan ketidakpatuhan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Kerajaan memandang serius kepada perkara ini dan mengarahkan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan dianggotai oleh pegawai kanan kerajaan seperti Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Audit Negara, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pegawai kanan lain untuk mengambil tindakan susulan ke atas pegawai yang didapati terbabit.

Jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan pada peringkat kementerian serta SPRM sudah menjalankan siasatan dan tindakan tatatertib serta pendakwaan akan diambil terhadap mereka yang melakukan penyelewengan, menyalah guna kuasa dan salah laku. Semua ketua jabatan sudah diminta meneliti semula peraturan, prosedur dan proses kerja sedia ada. Selain itu, tindakan pemantauan hendaklah dilaksanakan secara berkala bagi memastikan pelaksanaan projek mengikut jadual dan kelemahan serta kesilapan dapat dikesan lebih awal.
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) akan melaksanakan latihan komprehensif melalui kursus Sijil Pengurusan Projek Awam mulai tahun ini. Langkah ini bertujuan menangani isu berkaitan pengurusan projek yang dibangkitkan dalam Laporan Audit. Saya berharap  seluruh warga penjawat awam mengambil iktibar daripada perkara ini dan sama-sama memikul tanggungjawab memastikan perkhidmatan awam ditadbir dengan penuh integriti serta sentiasa mematuhi peraturan kewangan.

Dalam menyahut seruan Perdana Menteri supaya kementerian, jabatan dan agensi Perajaan melakukan transformasi bagi mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan sudah pun melaksanakan program transformasi masing-masing.
Transformasi JPA dilaksanakan melalui Kerangka Kerja Transformasi JPA (KTJPA) yang bermatlamatkan untuk mewujudkan perkhidmatan awam berprestasi tinggi, berintegriti, dinamik dan berjiwa rakyat. Penstrukturan semula organisasi di JPA berdasarkan pengoptimuman perjawatan berjaya menjimatkan kos emolumen sebanyak RM15.6 juta melalui pengurangan 577 jawatan. Untuk mengukuhkan lagi kewangan dan ekonomi negara, kerajaan turut berusaha memastikan Program Transformasi Perbendaharaan (TTP) di bawah Kementerian Kewangan dipergiatkan dengan lebih pantas. Transformasi Kementerian Kewangan  membabitkan penubuhan bahagian baharu, penjenamaan semula bahagian/unit berdasarkan fungsi utama, serta pemantapan bahagian sedia ada melalui pendekatan lebih strategik dan inovatif. Harapan dan cabaran terhadap perkhidmatan awam begitu getir dan mencabar.

Perdana Menteri juga menyatakan sekiranya kedudukan ekonomi bertambah kukuh, hasil negara makin meningkat, pelbagai insentif dan kemudahan untuk penjawat awam boleh dipertimbangkan dari semasa ke semasa. Oleh itu, adalah diingatkan bahawa berdepan dengan kehendak pelanggan yang semakin meningkat dan mencabar pada hari ini, memerlukan penjawat awam yang boleh ‘berfikir’ atau the thinking public service. Justeru, penjawat awam harus bertekad mulai saat ini untuk melaksanakan transformasi kerajaan.
S: Apa mungkin peranan yang diharapkan daripada kakitangan serta Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)?

J: Sememangnya CUEPACS memainkan peranan penting dalam menyelami hasrat serta mendapatkan maklum balas penjawat awam untuk disampaikan kepada pihak kerajaan. Kerajaan sememangnya mengalu-alukan sebarang maklum balas dan cadangan yang membina bagi tujuan penambahbaikan sektor awam di mana rakyat secara umum juga akan mendapat faedah hasil daripada sistem penyampaian perkhidmatan yang baik.
Saya menggesa ahli dan kepemimpinan CUEPACS untuk turut menyalurkan cadangan bernas kepada kerajaan bagi kebaikan sektor perkhidmatan awam. Sebagai penjawat awam, sama ada tergolong  dalam peringkat pengurusan mahupun kumpulan pelaksana, kedua-duanya  bersama-sama mengemudi bahtera yang melayari arus penyampaian perkhidmatan awam.

Sekiranya terdapat kepincangan dalam rantaian hubungan  antara kedua-dua pihak, sudah pastinya sistem penyampaian perkhidmatan awam tidak mampu memberikan manfaat kepada rakyat seperti yang dihasratkan oleh pemimpin negara. Amalan musyawarah di antara pelbagai pihak bertujuan mendapatkan persetujuan bersama sebelum sesuatu keputusan diambil, seharusnya menjadi amalan berterusan.
Musyawarah  antara kumpulan pengurusan dan pekerja dapat dizahirkan menerusi Majlis Bersama Jabatan (MBJ). Ketua jabatan seharusnya mengambil kesempatan MBJ untuk mendekati kumpulan pekerja, yang melaksanakan dasar kerajaan dengan baik kepada kumpulan sasaran. Ini juga peluang bagi pihak pekerja menyuarakan pandangan kepada pihak pengurusan mengenai cabaran serta kekangan yang dihadapi terutama yang melibatkan kebajikan pekerja. Pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara 2014 pada 20 Januari lalu, sebuah buku kecil bersaiz poket mengenai Merakyatkan Perkhidmatan Awam dilancarkan. Ia diharapkan dapat memberikan kefahaman jelas mengenai enam prinsip yang diperkenalkan di dalam konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam. Saya juga berharap CUEPACS akan turut menyebarluaskan maklumat di dalam buku itu kepada ahli kesatuan.

CUEPACS juga perlu memainkan peranan dengan berkesan dan sekiranya terdapat masalah  berhubung dengan kebajikan penjawat awam, ia seharusnya dibawa untuk perbincangan dan diselesaikan dengan bijaksana, bukan dengan kata-kata atau tindakan yang boleh menimbulkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak atau memberikan tanggapan salah kepada rakyat umpama pepatah ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak’. Ingatlah, setiap tindakan penjawat awam itu mencerminkan imej kerajaan.
Sebagai penjawat awam, mereka seharusnya memahami aspirasi kerajaan di mana sesetengah perkara tidak dapat dilaksanakan disebabkan cabaran tertentu atau keutamaan kepada perkara lain. Penjawat awam tidak seharusnya berputus asa malah bertekad untuk sama-sama berusaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara di mana mereka jugalah yang akan mendapat manfaatnya.

Saya juga ingin menyeru supaya CUEPACS berupaya mengikuti arus perdana transformasi dan menjadi organisasi yang dapat memenuhi keperluan asas ahlinya menerusi penyediaan perkhidmatan tertentu. Sebagai contoh, penyediaan TASKA, skim insurans, medan selera dan sebagainya yang dipunyai oleh CUEPACS. Perkhidmatan ini berupaya mengurangkan kos sara hidup ahli CUEPACS menerusi pemberian diskaun di samping dapat menjanakan pendapatan untuk ahli kesatuan berkenaan. Dengan demikian, CUEPACS akan berupaya menjadi sebuah kesatuan ‘self-sufficient’ atau memiliki keupayaan kewangan kukuh tanpa perlu mengharapkan bantuan daripada Kerajaan.
S: Apakah menurut pandangan Tan Sri kekangan ekonomi yang dihadapi sekarang turut memberi impak kepada kakitangan awam?

J: Kita mengetahui bahawa defisit negara yang tinggi bukan saja indikator ekonomi tidak sihat, malah boleh menjejaskan keupayaan negara mendepani krisis ekonomi jika ia berlaku. Dengan tempoh yang semakin singkat untuk mencapai status negara maju serta dengan situasi ekonomi global yang di luar jangkaan, kerajaan perlu  menguruskan ekonomi negara secara berhemat seperti merasionalisasi subsidi serta mengurangkan perbelanjaan mengurus yang  lebih tinggi daripada perbelanjaan pembangunan. Segala usaha transformasi kerajaan, demi kesejahteraan rakyat dalam jangka masa panjang, akan mengambil kira pandangan dan kepentingan rakyat  termasuk kepada penjawat awam.
Rasionalisasi subsidi secara berperingkat, serta langkah perbelanjaan berhemat yang tidak merangkumi kumpulan pelaksana, mencerminkan komitmen kerajaan ke arah ini. Sebenarnya, walaupun rasionalisasi subsidi sedikit sebanyak akan meningkatkan kos sara hidup, ia tidaklah sampai kepada peningkatan mendadak harga barangan. Namun, terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab cuba menangguk di air keruh. Mereka mengambil kesempatan daripada rasionalisasi subsidi untuk mengaut keuntungan daripada rakyat dengan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

Ini ditambah pula dengan tohmahan serta tuduhan palsu yang dilemparkan terhadap kerajaan yang didakwanya bertanggungjawab ke atas semua ini. Saya meminta  penjawat awam  memainkan peranan memperjelaskan dasar dan usaha kerajaan untuk menghuraikan keadaan sebenar.
S: Apakah dalam keadaan ekonomi sekarang, pengisian jawatan kosong dalam perkhidmatan awam  dibekukan?

J: Sehingga kini kerajaan tidak ada perancangan untuk membekukan pengisian perjawatan dalam sektor awam. Walaupun kerajaan sedang melaksanakan langkah penjimatan dalam keadaan ekonomi tidak menentu, namun kekosongan jawatan akan terus diisi sebagai langkah strategik dalam pelan penggantian penjawat awam. Pelan penggantian ini amat penting bagi memastikan jentera perkhidmatan awam dapat terus menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
S: Berikutan permintaan daripada CUEPACS, gred bagi kira-kira 81 jawatan skim perkhidmatan sudahpun disemak semula. Bagaimana pula dengan semakan bagi lebih 100 lagi skim perkhidmatan jawatan lain?

J: Bagi memastikan perkhidmatan awam mempunyai modal insan kompeten dan berdaya saing, seiring dengan keperluan untuk merealisasikan wawasan negara, kajian skim perkhidmatan perlu dilaksanakan secara berterusan. Oleh itu bagi skim perkhidmatan lain yang tidak terbabit dalam kajian pada 2013, kajian akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun ini. Sebanyak 100 skim perkhidmatan dikenal pasti untuk dikaji mulai awal 2014. Penambahbaikan bagi 81 skim membabitkan 613,782 kakitangan tahun lalu antaranya perkeranian dan penguatkuasa. Penelitian 100 skim perkhidmatan membabitkan beberapa perkara yang terkandung di dalam skim perkhidmatan antaranya syarat kemasukan ke dalam perkhidmatan, tangga gaji serta faedah.
S: Apakah keadaan ekonomi yang dihadapi sekarang akan menjejaskan semakan gred. Apakah akan ada unjuran berbeza sekiranya kekangan ekonomi berterusan?

J: Pada kebiasaannya, jika ada cadangan penggubalan atau penambahbaikan skim perkhidmatan, ia mempunyai implikasi terhadap struktur organisasi dan perjawatan serta membabitkan peruntukan kewangan tambahan. Ia juga perlu dirundingi bersama-sama ketua perkhidmatan/ketua jabatan dan persatuan/kesatuan terbabit. Rundingan juga akan dibuat dengan Kementerian Kewangan berhubung dengan implikasi kewangan yang terbabit. Justeru sebarang cadangan penggubalan/ penambahbaikan skim perkhidmatan akan mengambil kira implikasi ini serta relativiti antara kelompok perkhidmatan dan pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan kerajaan. - Berita Harian Ahad, 23 Februari 2014