Apakah Malaysia sudah bersedia untuk sistem dua parti
seperti diamalkan di Britain dan Amerika Syarikat? Mengikut sistem ini, dua
parti politik berkenaan silih berganti memenangi pilihan
raya.
Di Malaysia, sejak sebelum merdeka lagi gabungan parti
yang dikenali sebagai Parti Perikatan dan kemudian Barisan Nasional (BN)
memenangi pilihan raya dalam pertandingan dengan beberapa parti
lain.
Konsep gabungan berkenaan adalah idea bekas Perdana
Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang berpendapat ia sistem yang sesuai
untuk negara berbilang kaum seperti Malaysia. Hanya pada
Pilihan Raya Umum 1990, barulah beberapa parti pembangkang khususnya PKR, PAS
dan DAP menubuhkan pakatan longgar tidak rasmi untuk menentang
BN.
Sehubungan itu, parti pembangkang masih bertanding atas
tiket dan simbol masing-masing berbanding BN yang bertanding atas tiket dan
simbol dacing walaupun calon adalah daripada parti
komponen.
BN dianggotai 14 parti politik termasuk dari Sabah
dan Sarawak dengan ditunjangi UMNO, MCA dan MIC sementara pakatan pembangkang
hanya kerjasama di antara PAS, PKR dan DAP.
Tiada parti kecil
sendirian Walaupun tidak ada sistem dua parti di Malaysia,
bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat tidak ada lagi parti
kecil yang akan bertanding secara sendirian.
Bercakap pada
Wacana Persatuan Alumni Universiti Malaya bertajuk 'Kesesuaian Sistem Dua Parti
di Malaysia' Khamis lalu, beliau berkata pertandingan pada Pilihan Raya Umum
2013 (PRU-13) adalah antara dua kelompok atau gabungan parti iaitu BN dan
pakatan pembangkang.
Katanya, parti pembangkang tidak akan
meletakkan calon bertanding melawan sesama sendiri di kawasan sama, sebaliknya
akan hanya menentang calon BN. Bagi bekas Perdana Menteri itu,
gabungan yang diwujudkan sebelum pilihan raya adalah lebih baik kerana ia
berfungsi sebagai sebuah parti.
Ini berbeza dengan gabungan
yang diwujudkan selepas pilihan raya untuk mencukupkan kerusi kerana kerajaan
yang dibentuk itu sentiasa berada dalam keadaan lemah, tidak stabil dan boleh
jatuh pada bila-bila masa jika ada parti menarik diri atau Ahli Parlimen mereka
melompat ke parti lain.
Dr Mahathir berkata, sistem dua parti
juga mempunyai kekurangannya tersendiri seperti yang berlaku dalam pilihan raya
umum di Britain pada 2010 apabila Parti Konservatif dan Parti Buruh gagal
mendapat majoriti jelas bagi membentuk kerajaan.
Terpaksa
bergantung parti kecil Katanya, ini menyebabkan dua parti
utama itu terpaksa bergantung kepada sebuah parti kecil iaitu Liberal Demokrat
(LDP) untuk membentuk kerajaan sedangkan parti berkenaan sebelum ini tidak
dianggap penting.
"Akibatnya sistem itu menjadikan
kerajaan yang dibentuk itu lemah dan sentiasa berasa terancam kerana bimbang
berlaku Ahli Parlimen yang melompat," katanya. Dr
Mahathir berkata, jika ditanya sama ada konsep dua parti itu sesuai di
Malaysia, beliau berkata sistem itu akan berhadapan dengan satu masalah iaitu
rakyat di negara ini masih mengaitkan diri dengan masyarakat dan kaum mereka
sendiri.
Atas sebab itulah, katanya, ketika menjadi Perdana
Menteri dulu, beliau cuba mengatasi masalah tersebut dengan memperkenalkan
Sekolah Wawasan tetapi tidak berjaya. "Di negara ini
kalau ada kaum tidak mendapat tempat dalam kerajaan, mereka akan resah. Ini
kerana konsep di Malaysia ialah gabungan antara kaum, bukan ideologi seperti di
negara lain.
"Di Malaysia, masih belum ada asimilasi kaum
seperti di Indonesia, malah integrasi pun belum cukup, menyebabkan sistem parti
pelbagai kaum tidak boleh berfungsi dengan baik. "Atas
sebab itulah Tunku Abdul Rahman membentuk gabungan parti yang mewakili kaum
masing-masing," katanya.
Selain itu, Dr Mahathir berkata
sistem dua parti yang diguna pakai di negara Barat sudah terbukti boleh
mencetuskan ketidakstabilan terutama jika ada wakil rakyat melompat
parti. "Ini bermakna sistem itu akan hanya berkesan dan
didapati baik jika parti yang menang itu mendapat mandat kukuh," katanya. - Berita Harian, 18 Mac 2013