Wednesday, 3 April 2013

Era wakil rakyat 'bush jacket' sudah berlalu


  Mungkinkah spekulasi terbaru bahawa Parlimen dibubarkan hari ini akan menamatkan desas-desus yang sudah lama diperkatakan orang politik, media dan orang ramai mengenai tarikh keramat pembubaran itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan?

  Sudah pasti juga ia adalah satu-satunya tarikh yang sentiasa dinanti-nantikan bakal calon terutama mereka yang begitu teruja dan berdebar-debar untuk memasuki gelanggang buat kali pertama pada pilihan raya umum ini.

  Pada masa lalu, menjelang pilihan raya, pada saat-saat seperti ini ramai yang menaruh harapan untuk menjadi calon dikatakan sudah menempah 'bush jacket' sebagai persediaan untuk bertanding. Kini zaman sudah berubah dan 'bush jacket' bukan lagi menjadi analogi yang sesuai bagi pakaian 'Ahli Yang Berhormat' atau YB.

  Politik masa kini menghendaki wakil rakyat berpakaian biasa bagi menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana setempat. Mereka juga mesti berjiwa rakyat, simple, mudah bergaul, pandai mengambil hati dan lebih penting, boleh membuat kerja dan menunaikan segala janji.

  Mereka tidak boleh mementingkan status, sebaliknya sanggup turun padang dan bertungkus-lumus bersama orang ramai ketika majlis gotong-royong, majlis kenduri atau lain-lain.

  Kriteria inilah yang menjadikan mereka 'winnable candidate' atau calon boleh menang yang diharapkan.
Semalam ramai yang menepuk dada menandakan rasa lega apabila mentelaah akhbar yang membuat satu lagi spekulasi bahawa Parlimen dibubarkan seawal hari ini.

  Ramai yang tidak tahan untuk menunggu lebih lama kerana sudah mula berkempen sejak dua tiga tahun lampau. Banyak perbelanjaan sudah dikeluarkan bagi menemui pengundi dan menganjurkan majlis keramaian.

  Ini belum lagi perbelanjaan untuk melobi menjadi calon kerana bagi ahli politik, peluang untuk bertanding dalam pilihan raya adalah satu pencapaian tertinggi dalam perjuangan parti. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu, jika nasib baik dapat pula menyandang jawatan penting seperti menteri, atau timbalan menteri, EXCO kerajaan negeri dan lain-lain.

  PRU-13 ini disifatkan kebanyakan pihak sebagai ibu kepada semua pilihan raya umum yang pernah diadakan sebelum ini. PRU-12 pada 2008 membuahkan pelbagai pengalaman pahit bagi parti memerintah dan kejutan besar kepada parti pembangkang yang tidak menyangka dapat menguasai beberapa negeri.

  Pengalaman itu menjadi pengajaran terbaik kepada pemimpin parti betapa masalah dalaman menjadi antara punca kekalahan pada kebanyakan tempat.

  Menyedari hakikat itulah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil langkah berhati-hati dalam penentuan calon kali ini. Barisan Nasional (BN) yang dipimpinnya tidak mampu lagi menempuh nasib sama seperti pada 2008.

  Suasana kini dan 2008 jauh berbeza. Najib lebih terbuka dan disenangi semua golongan rakyat. Beliau juga memperoleh sokongan kuat daripada kedua-dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

  Beliau juga pemimpin diterima semua golongan rakyat termasuk bukan Melayu, yang terbukti ketika beliau berjalan-jalan atau makan bersama keluarga di kompleks beli-belah di ibu kota seperti The Curve, Kuala Lumpur Ahad lalu.

  Ramai pengunjung ke restoran berkenaan berpeluang mendampingi Perdana Menteri dan keluarga untuk bersalam-salaman, bertanya khabar atau merakamkan gambar kenang-kenangan bersama beliau.

  Program 'walk about' itu amat penting bagi beliau merapatkan diri dengan rakyat di luar jadual rasminya. Selain Najib, Dr Mahathir juga gemar berjalan-jalan di pusat beli-belah seperti Suria KLCC dan kawasan sekitarnya pada hujung minggu bertemu orang ramai. Dr Mahathir sudah melakukannya sejak memegang jawatan sehingga sekarang.

  Ia adalah sebahagian program transformasi yang dilaksanakan Najib sejak mengambil alih pemerintahan negara.

  Pendekatan itu berkesan kerana rakyat sememangnya mengharapkan pemimpin yang mudah mendampingi mereka tanpa banyak sekatan protokol atau kawalan terlalu ketat.

  Kriteria baru inilah yang mencorakkan wakil rakyat zaman kini. Bakal calon yang diketengahkan kelak dijangka daripada mereka yang mudah mendekati rakyat termasuk kesediaan untuk mengadakan twittup apabila dijemput golongan muda pada bila-bila masa.

  Dengan sendirinya ini menandakan berakhirnya zaman wakil rakyat 'bush jacket' yang mementingkan protokol.

  Menjelang hari penamaan calon tidak lama lagi, sewajarnya semua pihak menerima apa juga keputusan pucuk pimpinan berhubung pemilihan calon. Jangan kerana tidak dapat menjadi calon, berlaku perbuatan sabotaj yang boleh menjejaskan parti. – Berita Harian, 3 April, 2013