Friday, 5 April 2013

Gelanggang PRU-13 sudah dibuka


  Segala-galanya sudah terungkai dan terjawab. Dewan Rakyat dengan rasminya dibubarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin. Gendang sudah dipalu dan gelanggang dibuka bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang diramalkan sejak 2011 lagi.
   Najib mengambil alih kepemimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009 dan tanggal yang sama menjadi pilihannya untuk membubarkan Parlimen, kira-kira tiga minggu sebelum pembubaran secara automatik.
  
  Selepas genap empat tahun, Najib berjaya melakukan pelbagai perubahan menerusi program transformasi negara -dari segi kerajaan, ekonomi, sosial dan politik.
  
  Banyak lagi usaha pembangunan ingin diteruskan, tetapi mandat pemerintahan kerajaan yang diterajuinya sudah matang tempohnya dan pilihan raya umum perlu diadakan bagi mendapatkan mandat baru daripada rakyat.

   Masa yang ditunggu-tunggu itu sudah tiba dan kini terserah kepada rakyat membuat penilaian dan pilihan antara kaca dan permata.
   Dalam sistem demokrasi, rakyat menjadi 'raja' dan mereka bertanggungjawab untuk memilih kerajaan yang bakal memerintah negara untuk tempoh lima tahun dari sekarang.

  "Undi ini serius kerana ia menentukan masa depan negara," tegas penganalisis politik dan tokoh akademik, Prof Dr Chandra Muzaffar mengenai pembubaran itu.
   Justeru, kata beliau, rakyat tidak harus bertindak secara beremosi walaupun manusia memang mudah dipengaruhi emosi.

   "Saya berharap kita dapat membuat pertimbangan rasional. Nilai segala-galanya. Tidak dapat dinafikan BN (Barisan Nasional) juga ada kelemahan dan kekurangannya, tetapi ini boleh diatasi.
   "Namun, tidak wajar jika rakyat hendak menggantikan BN dengan satu pakatan yang bukan gabungan sebenarnya," ujarnya.

   Chandra berpendapat sebuah gabungan mesti ada nama, simbol dan struktur kepemimpinan sama. Pakatan pembangkang adalah ikatan tidak rasmi tiga parti - Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) - yang tidak mempunyai satu entiti yang khusus.
   Dalam pilihan raya umum ini, ketiga-tiga parti akan menggunakan simbol masing-masing.

    "Ideologi mereka juga berbeza. Lihat perbezaan di antara DAP dan PAS. Saya bimbang sebahagian masyarakat terbawa-bawa dengan retorik mereka. Undi ini menentukan masa depan. Walaupun kita boleh menerima kritikan membina dan idea bernas, ia tidak bermakna kita harus ganti BN dengan pakatan yang begitu banyak kekurangannya.
   "Manifesto mereka juga macam omong kosong," tambah beliau.

   Chandra yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden PKR menegaskan, pakatan pembangkang itu tidak mempunyai idea konkrit mengenai ekonomi, hubungan kaum dan lain-lain.
   Oleh itu, katanya, adalah wajar rakyat selaku pengundi bersikap rasional dan membuat pertimbangan adil berdasarkan kematangan negara kita sebagai satu bangsa yang sudah begitu lama mengamalkan sistem demokrasi.

   Mengenai pembubaran itu, Chandra berkata, sebelum ini pun beliau memang menjangka Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen pada 3 April sempena genap empat tahun beliau memegang jawatan.
  "Ia satu tarikh signifikan. Perdana Menteri adalah orang yang sistematik dan beliau ingin menghabiskan tempoh empat tahun itu. Yang penting, rakyat harus menilai objektif yang dicapai oleh kerajaan BN yang memerintah dalam tempoh empat tahun lalu," katanya.

   Tambahnya, rakyat harus memahami perubahan dan transformasi dibawa Najib, yang mampu mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik ketika dunia mengalami masalah sehingga mengakibatkan banyak negara mengalami kemerosotan.
   "Itu adalah pencapaian terbesar. Rakyat Malaysia masih boleh bekerja dan pendapatan mereka terus meningkat mengikut statistik yang dikeluarkan.

   "Dasar kerajaan berjaya mengurangkan perbezaan antara golongan terlalu kaya dengan kurang berada, selain mengurangkan kadar kemiskinan tegar," katanya.
   Sepanjang empat tahun lalu, Perdana Menteri juga melaksanakan pelbagai program lain termasuk menambah baik sistem pengangkutan bandar dan lain-lain yang memberi manfaat kepada setiap golongan di negara ini. – Berita Harian, 5 April 2013