Wednesday, 3 April 2013

Cadangan pertarungan Teng - Guan Eng menarik


  Sesuatu menarik yang dijangka berlaku pada Pilihan Raya Umum 2013 (PRU-13) ini ialah pertembungan 'buku bertemu ruas' di antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow.

  Rabu lalu, Teng berkata beliau sanggup berdepan Ketua Menteri itu pada pilihan raya umum nanti, apabila ditanya oleh wartawan sebuah portal berita.

  Sehari selepas itu, Guan Eng berkata beliau juga bersedia bertanding dengan Setiausaha Agung parti GERAKAN itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota.

  Teng kemudian menyahut cabaran itu tapi meletakkan syarat bahawa Guan Eng hendaklah bersikap terbuka dan hanya bertanding di kerusi DUN yang dipilihnya.

  Ada 40 kerusi yang boleh menjadi medan pertarungan dan jika Ketua Menteri itu berasakan dirinya benar-benar popular, sudah tentu beliau tiada masalah untuk berdepan satu lawan satu dengan Teng walau di DUN mana sekalipun.

  Pertemuan buku dengan ruas ini pernah beberapa kali berlaku ketika Tun Dr Lim Chong Eu dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Sebelum ini, 'Lim senior' iaitu Lim Kit Siang pernah mencabar Dr Koh di Parlimen Tanjong pada 1986, kemudian beliau menentang Dr Lim di DUN Padang Kota pada 1990.

  Seterusnya, Penasihat DAP itu bertanding melawan Koh sekali lagi di kerusi DUN Tanjung Bungah pada 1995. Menyusulinya pada Pilihan Raya Umum 1999, Kit Siang menemui dua orang kanan Dr Koh, bekas Setiausaha Agung GERAKAN, Datuk Seri Chia Kwang Chye di Parlimen Bukit Bendera dan Pengerusi GERAKAN negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan di DUN Kebun Bunga.

  Dalam kenyataannya hujung minggu lalu, Teng menegaskan pilihan raya ini adalah mengenai dasar dan bukan personaliti, justeru ia harus ditentukan berdasarkan kerusi yang mencerminkan penduduk di Pulau Mutiara itu.

  Katanya, Guan Eng perlu menunjukkan komitmennya dengan bertanding di kerusi DUN saja. Andainya beliau masih ingin bertanding kerusi Parlimen, Teng menegaskan beliau akan hanya mengumumkan kerusi DUN yang menjadi gelanggang pertemuan mereka pada hari penamaan calon.

  Pada Pilihan Raya Umum 2008, Guan Eng bertanding di kawasan Parlimen Bagan dan DUN Air Putih dan menang kedua-duanya.

  Pertandingan satu lawan satu antara Teng dan Guan Eng itu dijangka menjadi tumpuan ramai dan menjadi pengukur sokongan pengundi di Pulau Pinang, khususnya kalangan bukan Melayu.

  Umum mengetahui bahawa Teng bekerja keras untuk membawa kemenangan kepada partinya dan merampas kembali Pulau Pinang daripada pembangkang selepas beliau dinaikkan menjadi Pengerusi BN negeri.

  Nama beliau dan Padang Kota juga sudah hampir sinonim pada tiga pilihan raya secara berturut-turut sehinggalah PRU-12 pada 2008 di mana beliau tewas di tangan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.

  Malah sejak zaman Dr Koh lagi, beliau dilihat sebagai antara golongan muda yang bakal mengambil alih kepemimpinan negeri satu hari nanti sekiranya tidak berlaku tsunami seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lalu.

  Teng juga seorang daripada orang kepercayaan Dr Koh dan sering ditugaskan untuk mewakili Ketua Menteri dalam majlis tertentu kerana kepetahannya bercakap dan menyampaikan hujah.

  Kebangkitannya dalam politik juga mirip kepada apa yang pernah dilalui Dr Koh pada zaman Dr Lim sebelum pilihan raya umum 1990.

  Ketika menyahut cabaran Guan Eng minggu lalu, Teng menegaskan bahawa kali ini beliau ingin menetapkan syaratnya kerana pada empat pilihan raya umum sebelum ini, syaratnya ditetapkan oleh DAP.

  "Saya terima cabarannya untuk menentang saya dan saya berterima kasih kerana beliau mencadangkan kawasan negeri Padang Kota. Ini juga bermakna beliau terbuka untuk menemui saya walau di mana sekalipun. Kali ini BN akan tetapkannya," katanya.

  Apapun, sekiranya Teng berjaya pada PRU-13, beliau pastinya menempa namanya sebagai seorang 'giant killer' yang mampu menumpaskan Ketua Menteri daripada DAP itu. – Berita Harian, 1 April 2013