Monday 28 December 2020

Isu kartel: Jangan lindungi mana-mana pihak termasuk VVIP

Pemuda Umno Malaysia pada 27 Disember 
membuat desakan kepada kerajaan supaya memastikan tidak berlaku keadaan di mana ada pihak yang dilindungi dalam isu kartel daging import halal, termasuk orang kenamaan dan VVIP.

Nah, itu satu desakan terbaik oleh ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki yang juga mahukan sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang terbabit dalam penyelewengan termasuk rasuah dalam isu berkenaan.

Sehingga tarikh tulisan ini, Asyraf Dusuki adalah ketua pemuda yang tidak memegang jawatan menteri. Justeru mudah bagi beliau bertindak tegas dan membuat pelbagai saranan.

Tetapi andainya beliau seorang menteri, seperti pada keadaan sebelum ini di mana ketua pemuda adalah juga menteri, maka agak sukar baginya membuat desakan ini dan itu. Keadaan di mana ketua pemuda tidak memegang jawatan menteri adalah seperti era Syed Jaafar Albar dan Suhaimi Kamaruddin dulu.

Isu kartel daging yang ‘panas’ ini mula didedahkan oleh akhbar Sinar Harian pada November. Laporan itu menyatakan kegiatan mengimport daging sejuk dari luar negara tidak mendapat kelulusan sah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Daging berkenaan dibungkus dengan jenama daging halal dan pelekat halal serta logo Jakim sebelum dipasarkan ke seluruh negara.

Maknanya ia satu skandal besar yang menjejaskan pemakanan daging halal oleh umat Islam di negara ini!

Pendedahan itu membawa kepada serbuan di sebuah gudang di Senai awal bulan ini, diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Penulis ingin juga memetik laporan New Straits Times pada 21 dan 22 Disember bahawa kartel itu beroperasi selama 40 tahun, hasil bersubahat beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk membawa daging berkenaan.

Antara daging yang dibawa masuk adalah daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal dan pegawai yang terlibat dikatakan menerima pelbagai jenis habuan, termasuk wang dan seks, bagi membolehkan kartel tersebut beroperasi mengimport daging tersebut.

Macam mana boleh keadaan ini berlaku tanpa pengetahuan Jakim dan pihak yang bertanggungjawab? Alasan tidak cukup pegawai atau peruntukan adalah alasan yang tidak boleh diterima sama sekali.

Pastinya rakyat Malaysia setuju dengan Asyraf Dusuki bahjawa seharusnya tidak ada sebarang usaha untuk menutup atau melindungi mana-mana pihak termasuk VVIP sekiranya mereka terbabit!

Kenapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat lembab dalam tindakan mereka tentang isu kepentingan umat Islam ini?

Kenapa logo halal Jakim yang tidak sah boleh digunakan dengan berleluasa oleh pihak tertentu? Di mana pengawasan agensi kerajaan dalam isu ini yang berlarutan selama 40 tahun?