Saturday, 20 April 2013

Pembangkang tiada hala tuju jelas


 
 
Temuramah penganalisis politik, Prof Dr Chandra Muzaffar mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dengan wartawan BH, Razak Rashid Ghows. Dr Chandra berkata PKR tidak dapat memainkan peranan sebagai penyatuan dalam pakatan pembangkang kerana cita-citanya tidak lebih daripada menjadikan seorang individu sebagai perdana menteri.
 
Beliau juga menganggap pendekatan PAS berhubung Islam sebagai bermasalah dan tidak mempunyai isi. DAP pula, katanya, adalah parti yang buta sejarah dan gagal memahami realiti masyarakat berbilang kaum. Justeru, katanya, jika ketiga-tiga parti ini berjaya membentuk Kerajaan Pusat selepas PRU-13 ini, negara akan menjadi tidak tentu arah kerana hala tuju mereka tidak jelas.
 
Soalan: Boleh Prof beri pandangan mengenai PRU-13 ini?
 
Dr Chandra: Sebahagian besar pemerhati politik menganggap PRU-13 sebagai ibu kepada segala pilihan raya kerana mungkin sengit dan untuk kali pertama ada dua gabungan - satu lebih formal iaitu Barisan Nasional (BN) dan kurang formal antara PKR, PAS dan DAP. Jika kita jadikan PRU-12 sebagai kayu ukur, pada 2008 BN menang 140 kerusi Parlimen, manakala pembangkang pula 82 kerusi. Belum pernah berlaku dalam sejarah negara, lima negeri dan 10 daripada 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dimenangi pembangkang. Dari segi peratusan undi di Semenanjung, pembangkang hampir sama dengan BN. Mungkin atas faktor ini orang menganggap PRU-13 ini sengit dan berbeza daripada pilihan raya sebelumnya.
S: Apakah implikasinya sekiranya ketiga-tiga parti ini menubuhkan Kerajaan Pusat?
J: Kalau mereka berjaya, ia akan menimbulkan satu keadaan tak tentu arah. Hala tuju mereka sudah tentu tak jelas. Ini sudah tentunya membawa implikasi kepada ekonomi negara. PAS akan menaruh hati untuk cuba memenuhi cita-cita asal menubuhkan negara Islam serta melaksanakan hudud kerana ada tekanan dari bawah. PAS ketika memimpin Kelantan memperkenalkan hudud, begitu juga di Terengganu. DAP pula dengan isu ekonominya, tetap tak puas hati dengan dasar membantu masyarakat Bumiputera. Ini yang akan mereka beri tumpuan, bukan soal ekonomi negara, ekonomi dunia, politik negara, politik serantau dan sebagainya.
S: Andainya parti dalam pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya, dapatkah mereka membawa perubahan positif dan membina?
J: Kalau hanya ambil satu aspek mengenai perubahan, apa yang boleh mereka ubah sekiranya memerintah. Hujah utama mereka ialah hapuskan rasuah dan dirikan sistem urus tadbir cekap dan dinamik. Tetapi kita harus fahami hujah ini dengan mendalam. Kalau lihat prestasi negeri diperintah pembangkang, ambil contoh Kelantan, apakah ia model urus tadbir cekap, berkesan? Tidak sama sekali. Kalau dapat urus air kepada sebahagian penduduk Kota Bharu, apakah ini cekap? Macam mana dengan kapasiti kerajaan PAS di Kota Bharu mengurus aspek lain, terutama ekonomi? Ia tak dapat sediakan pekerjaan kepada rakyat sendiri. Kira-kira 500,000 rakyat Kelantan kerja di luar Kelantan termasuk di Singapura dan negeri lain di Semenanjung. Kalau tengok dari segi keberkesanan sistem pentadbiran, ada masalah tanah, pembalakan dan isu masyarakat Orang Asli.
Baru-baru ini dan tidak memeranjatkan saya ialah mereka tidak dapat menangani masalah moral seperti pelacuran seperti yang didedahkan media. Dari dulu kita tahu peratusan jangkitan HIV tinggi, begitu juga penagihan dadah. Apakah ini contoh negeri yang begitu cekap, kompeten dan gemilang? Kata mereka, kalau dibandingkan dengan negeri lain, ia lebih baik, tetapi saya tak nampak pun. Hubungan kaum di Kelantan memang baik, tapi bukan kerana kerajaan PAS. Dari dulu kita tahu peratusan bukan Melayu begitu kecil. Ada sekelompok kaum Cina yang duduk di Kelantan hampir 600 tahun dan menyesuaikan diri dengan budaya Melayu. Sikap terbuka kepada kaum lain adalah sikap turun-temurun Melayu. Sikap akomodasi ini membolehkan kita hidup aman damai.
Apa yang unik dengan Kelantan dan Terengganu ialah peratusan bukan Melayu begitu kecil. Ini bermakna mereka menerima etos budaya majoriti, bukan kerana PAS. Ketika BN perintah antara 1978 hingga 1990, hubungan kaum juga baik. Kalau lihat pada Kedah sejak PAS memerintah, sistem pentadbiran juga tak cekap, ada masalah pembalakan dan lain-lain. Dari segi ekonomi, saya tak nampak apapun. Dulu ada Taman Perindustrian Tinggi Kulim atau Kulim Hitech Park. Pulau Pinang pula sememangnya sudah maju dan apa yang sedang berlaku sekarang harga rumah terlalu tinggi hinggakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu memilikinya. Masalah di Pulau Pinang, seperti isu trafik, terowong dan lain-lain. Di Selangor isu air, sampah, pasir dan Talam. Kalau nak berhujah sistem pemerintahan mereka itu baik, adalah tidak tepat.
S: Kenapa Prof menganggap pendekatan PAS terhadap Islam sebagai bermasalah dalam konteks masyarakat Malaysia?
J: Saya nampak pendekatan PAS mengenai Islam dari dulu lagi lebih mementingkan permasalahan luaran, bukan isi. Di Indonesia, mereka istilahkan sebagai Islam substantif iaitu memberi perhatian kepada kemiskinan, kebebasan bersuara, urus tadbir yang baik. Bagi PAS apa yang lebih penting adalah hubungan lelaki dengan perempuan, salon wanita, pusat snuker, soal sama ada pawagam pasang lampu atau tidak. Kita lihat isu seperti ini yang selalu dibangkitkan oleh mereka. Apakah pergerakan Islam di Malaysia dan tempat lain bangkitkan isu alam sekitar umpamanya? Siapa yang perjuangkan isu perceraian dan undang-undang yang menyekat kebebasan? Badan yang perjuangkan perkara itu bukan pergerakan atau parti Islam. Perjuangannya lebih kepada pakaian, pergaulan lelaki dan wanita. Saya tak kata ia tak penting, tetapi keutamaan juga harus diberikan kepada isu substantif. Dulu Anwar hebat kritik PAS daripada perspektif ini. Anwar memahami PAS dan tahu minda orang PAS. Beliau pengkritik paling hebat terhadap PAS dan minda PAS. Dia kata mereka selalu beri tumpuan kepada perkara dangkal, memang ini ciri PAS. Ia cuba memberi gambaran bahawa interpretasi PAS adalah sama dengan Islam. Pada saya, yang mentakrifkan Islam ialah keutamaan yang diberikan kepada ilmu, keadilan dan amalan, bukan isu yang dibangkitkan PAS. Kalau kita terus miskin, ia boleh bawa kepada kekufuran.
S: Prof pernah menyifatkan DAP sebagai parti yang buta sejarah dan gagal memahami realiti masyarakat berbilang kaum. Boleh Prof ulas lanjut?
J: Sejak DAP tubuh pada 1966, konsep Malaysian Malaysia menjadi perjuangan dan ideologinya. Malaysian Malaysia adalah satu kefahaman dan pendekatan yang tak mahu mengakui atau menerima hakikat sejarah negara ini. Tapi kalau kita cabar DAP, dia kata dia terima bahasa Melayu. Dia selalu kempen mengenai sekolah aliran Cina. Kenapa tak beri keutamaan kepada sekolah kebangsaan? Kenapa DAP tak cuba memahami Fasal 153 dalam Perlembagaan mengenai kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera? Walaupun sejak kelahirannya DAP menyatakan ia parti berbilang kaum, tapi dalam pemilihan yang berlangsung Disember lalu tiada sokongan terhadap ahli Melayu. Ahlinya tak mahu memilih pemimpin Melayu. Tidakkah ini sesuatu yang luar biasa bagi parti berbilang kaum? Mereka tak faham apa dia parti berbilang kaum. Ini menimbulkan kekeliruan kepada saya dan rakan lain. Bagaimana nak harap parti begitu untuk mencapai perpaduan nasional?
S: Pada pendapat Prof, PKR juga tidak dapat main peranannya sebagai penyatuan dalam pakatan pembangkang. Apakah sebabnya?
J: Memang benar DAP dan PAS berkongsi pentas kerana adanya PKR. Tapi PKR gagal memujuk kedua-dua parti ini mewujudkan satu kefahaman yang merentasi sempadan kaum yang dikaitkan dengan parti tersebut. PAS tidak menerima kefahaman luar daripada ideologi sempitnya mengenai Islam. Begitu juga PKR gagal membuktikan kepada DAP betapa pentingnya sejarah dan identitinya untuk mewujudkan satu pendekatan menyeluruh merentasi sempadan kaum. Tumpuan utama PKR ialah terhadap individu ketika ditubuhkan. Pada satu ketika dulu saya pernah menjadi Timbalan Presiden parti berkenaan yang penekanannya untuk membebaskan Anwar dari penjara. Selepas dibebaskan, tumpuannya adalah untuk menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri. Hubungan di antara parti dalam pakatan pembangkang itu melucukan kerana DAP masih menentang PAS dalam cita-cita untuk mendirikan negara Islam ala PAS. Satu lagi gabungan pada 1960-an dulu, Parti Buruh dan Parti Rakyat dalam Front Sosialis, sebagai contoh, walaupun berpecah dan runtuh sebagai satu gabungan, sekurang-kurangnya ada satu ideologi yang menggabungkan mereka, ada kefahaman tertentu. Tetapi antara DAP dan PAS tiada langsung dan kedua-duanya ingin mengejar kuasa.
S: Dalam ceramah dan kempen dijalankan, pihak pembangkang menyeru kepada perubahan. Perubahan apakah yang mereka inginkan?
J: Perubahan boleh diertikan daripada beberapa perspektif. Bagi saya, perubahan boleh berlaku dari segi situasi, keadaan, dasar, bahkan undang-undang juga boleh ada perubahan. Satu lagi ialah perubahan individu yang diganti dengan orang lain. Kalau dilihat jumlah penduduk yang hidup di bawah paras kemiskinan, pada 1957 hampir 65 peratus berada dalam kategori berkenaan, tetapi pada hari ini ia hanya 1.7 peratus. Ia adalah perubahan besar dalam tempoh 55 tahun sejak merdeka. Dulu hanya terdapat segelintir saja golongan berada di negara ini, pada hari ini Malaysia memiliki kelas menengah begitu besar. Dulu juga hampir 100 peratus golongan kelas menengah ini terdiri daripada satu kaum saja, tapi kini sudah meliputi pelbagai kaum dan sebahagian besarnya orang Melayu. Perubahan dari segi undang-undang pula, dulu ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sekarang tidak ada. Perubahan dari segi pendidikan, dulu hanya ada sebuah universiti iaitu Universiti Malaya pada 1957, itu pun di Singapura. Dari segi personaliti kita juga banyak mengalami perubahan. Perdana Menteri yang sekarang adalah yang keenam sejak merdeka.
Namun, sesetengah pihak kurang puas hati dan mahukan pemerintah diganti dengan yang lain. Jawapan saya sekiranya ada perubahan begitu komprehensif dalam ekonomi, pendidikan, politik, undang-undang dan sebagainya, ini bermakna perubahan dalam erti kata sebenarnya sudah pun dan sentiasa berlaku. Di Malaysia sekurang-kurangnya lima perubahan besar telah berlaku iaitu perubahan daripada masyarakat desa ke bandar, kewujudan struktur ekonomi, perubahan daripada masyarakat berasaskan pertanian kepada bidang pengeluaran, perubahan daripada masyarakat yang dulu celik huruf tidak sampai 50 peratus, sekarang hampir 94 peratus. Selain itu Malaysia juga mengalami perubahan dari segi kedudukan kita di Asia atau dunia. Apa yang penting ialah inti perubahan itu yang banyak kita sudah lakukan. Jangan kata BN sudah perintah selama 55 tahun, maka itu harus diubah. Sekiranya sudah terlalu lama tapi tidak melakukan perubahan, barulah perlu ubah. Ternyata hujah mereka tidak berasas.
S: Apakah kesan pada dasar luar negara sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih?
J: Saya kurang pasti kerana kita tahu bahawa ketua pembangkang ini begitu rapat dengan kumpulan dan golongan tertentu di Amerika Syarikat (AS), di negara lain termasuk Britain dan Australia. Kita tahu Anwar begitu rapat dengan kumpulan Neo-Con yang berpengaruh dalam politik antarabangsa AS. Paul Wolfowitz sebagai contoh, adalah sebahagian daripada Neo-Conservative (Neo-Con) dan kedudukan Anwar dulu sebagai ketua Foundation of the Future yang ditubuhkan oleh Neo-Con. Sebahagian besar daripada Neo-Con ini adalah Zionis macam Paul Wolfowitz yang Anwar rapat dengan mereka. Foundation of the Future ditubuhkan pada 2005 dan Anwar menjadi pengerusi pertamanya. Ia kononnya untuk menjayakan demokrasi di dunia Arab, tetapi matlamat utamanya untuk memperkukuhkan hegemoni AS. Inilah yang saya bimbang akan berlaku.
Jangan lupa dalam soal mengenai dasar luar, peranan ketua politik negara itu penting. Dulu zaman Tunku Abdul Rahman Putra, dasar luar kita itu lebih cenderung kepada Britain kerana itulah kecenderungan beliau. Apabila Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih, dasar luar kita itu lebih berkecuali, itulah kecenderungan beliau. Bermakna kecenderungan ketua utama politik negara penting. Zaman Tun Dr Mahathir Mohamad beliau yang benar-benar memberi makna kepada dasar luar negara kita yang bebas, yang memperjuangkan dasar luar, yang memperjuangkan kedaulatan dan kemerdekaan kita, untuk menegakkan kedaulatan, kebebasan dan kemerdekaan negara.
Ini bermakna kecenderungan pemimpin utama negara pada lazimnya menentukan dasar luar. Itulah sebabnya saya bangkitkan isu ini, kerana kita tahu sekarang ini kita tengok pada pilihan raya ini sebahagian besar media Barat memberi sokongan kepada Anwar dalam laporan mereka. Memang mereka menyokong Anwar dari dulu sampai sekarang. Apa sebabnya? Mungkin beliau akan memenuhi agenda mereka. - Berita Harian, 19 April 2013