Masih kedengaran
suara sumbang menyatakan perasaan tidak puas hati, bagaikan rumah siap, pahat
masih berbunyi.
Di Pulau Pinang
membabitkan kawasan Parlimen Tasek Gelugor mendapat bantahan bekas Ahli
Parlimennya, Datuk Seri Mohd Shariff Omar.Kelmarin beliau mengumumkan sedang menimbang untuk bertanding walaupun BN sudah menamakan calon untuk kerusi berkenaan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.
Pada jangkaan
Shariff, beliau sepatutnya diberi balik kerusi berkenaan selepas memberi laluan
kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop PRU 2008. Kawasan Parlimen Tasek Gelugor
adalah satu daripada dua kerusi yang dimenangi BN di Pulau Pinang pada PRU
berkenaan.
Sebagai ahli veteran
UMNO, Shariff sepatutnya tahu bahawa soal pemilihan calon bukanlah sesuatu yang
boleh ditentukan sendiri. Kadangkala ada yang tidak pernah terfikir untuk
menjadi calon, tiba-tiba namanya ada dalam senarai.
Yang sedang menunggu
pula tidak tersenarai. Begitulah lumrah dalam perjuangan politik. Peluang untuk
menjadi calon itu dianggap seolah-olah tiket untuk memperoleh kedudukan lebih
baik, sama ada dalam kerajaan atau organisasi tertentu.
Walaupun mereka tahu
bahawa penentuan menjadi calon adalah hak pemimpin, selain takdir Ilahi, masih
ramai yang masih tidak berpuas hati.
Shariff sudah
menjadi wakil rakyat 22 tahun - empat penggal sebagai Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) dan dua penggal sebagai Ahli Parlimen. Sepanjang tempoh itu,
beliau pernah menjadi Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan Timbalan Ketua
Menteri Pulau Pinang.
Ketika itu seluruh
jentera parti - UMNO dan BN - bersusah payah berjuang bagi memastikan
kemenangannya. Shariff sepatutnya bertimbang rasa dan memberi sokongan kerana
yang bertanding itu adalah anak buahnya sendiri, kata Ketua UMNO Perhubungan
Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman.
"Yusof Mohd
Noor (calon ADUN Sungai Dua) adalah pegawai khasnya dulu, Omar Hamid (calon
ADUN Permatang Berangan) pegawai beliau di PERDA dan (Datuk) Jahara Hamid (ADUN
Telok Ayer Tawar) adalah Ketua Wanitanya, sementara Shabudin Yahya yang
mengambil tempat Nor Yakcop di Tasek Gelugor adalah ahli jawatankuasa
bahagiannya juga," katanya.
Justeru, katanya,
UMNO Pulau Pinang mengambil sikap merayu kepada Shariff agar menimbang semula
keputusannya.
“Semua mereka adalah
anak didik dia yang menyokongnya ketika pilihan raya dulu pagi, petang dan
malam. Pada usia 66 tahun takkan dia rasa dialah yang terbaik dan tak memberi
peluang kepada orang lain. Lagipun beliau bukannya ketua bahagian," tegas
Zainal yang juga calon bagi kawasan Parlimen Nibong Tebal.
Katanya, UMNO Pulau
Pinang kesal dengan sikap Shariff yang tidak memikirkan kepentingan parti
tetapi hanya memikirkan diri sendiri.
"Kami berharap
beliau akan menukar fikiran, ubah hatinya dan berjiwa besar untuk melihat anak
buahnya bertanding hingga mencapai kemenangan seperti anggota veteran
lain," kata Ketua Perhubungan UMNO negeri itu.
Zainal berkata
baru-baru ini di Pulau Pinang ada lima wakil rakyat menemuinya untuk menyatakan
hasrat mereka tidak mahu bertanding lagi.
"Kebanyakan
mereka bercakap macam itu, " katanya.
Selain Shariff,
bekas ADUN Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamad turut bersama beliau menyatakan
hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas.
"Kalau mereka
terus menjadi calon maknanya Shariff akan masuk penggal ketujuh dan Jasmin
penggal keenam. Lazimnya kalau kekal empat penggal pun orang akan kata UMNO
tiada pembaharuan," ujarnya.
Beliau menambah,
kali ini Pulau Pinang mengetengahkan 65 peratus muka baru terdiri daripada
kalangan profesional yang terbukti boleh berkhidmat kepada rakyat.
"Kita beri
Shariff hingga Sabtu, kalau bertanding sebagai calon Bebas atau PAS, kita akan
tentang habis-habisan. Tindakan beliau seolah-olah tidak fikirkan parti dan
hanya pentingkan diri sendiri saja. Ini sikap seperti kacang lupakan
kulit," tegas Zainal. – Berita
Harian, 19 April 2013