Friday, 3 May 2013

Dakwat kekal - pembangkang cuba timbulkan keraguan

  Keraguan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang berhubung penggunaan dakwat kekal menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini sememangnya sudah dapat dijangkakan. Bahkan ia sebahagian daripada berbagai tuduhan tidak berasas yang akan dibangkitkan mereka bagi mempersoalkan kredibiliti proses pilihan raya di negara ini.

  Pemerhati politik berpendapat, dengan menimbulkan isu itu, pembangkang cuba menggambarkan akan berlaku penipuan dalam pilihan raya ini dan alasan itu kemudian akan digunakan untuk membantah keputusan PRU-13 sekiranya mereka kalah.
  Justeru, tidak hairanlah kenapa isu dakwat kekal itu ditimbulkan apabila ia mula digunakan oleh anggota keselamatan negara kelmarin. Beberapa pemimpin pembangkang mendakwa kononnya dakwat itu boleh tanggal apabila dibasuh atau dicuci dengan sejenis cecair.

  Dalam perkembangan terbaru itu, pegawai tentera, Mejar Azmee Buang, yang menjalankan tanggungjawabnya mengundi di Kem Sungai Besi, ditemui beberapa ahli pembangkang ketika dalam perjalanan balik ke Sentul untuk mengambil isterinya ke pusat mengundi.
  Mereka termasuk calon PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, yang memintanya supaya menunjukkan jari yang dicalit dengan dakwat tersebut. Seorang daripada ahli pembangkang itu kemudian cuba mencucinya dengan Dettol tapi dakwat kekal itu masih terlekat pada jarinya.

  Azmee agak terkejut apabila calon PKR Batu, Tian Chua, membuat aduan polis menyatakan dakwat itu sudah hilang daripada jarinya sedangkan ia masih ada.
  “Saya nafi bahawa dakwat itu sudah hilang. Saya mendesak mereka menarik balik aduan itu kerana ia mengaibkan saya,” katanya.

  Bagi penganalisis politik, Prof Dr Chandra Muzaffar, apa yang berlaku itu adalah usaha terancang untuk menimbulkan keraguan mengenai pengendalian pilihan raya di negara ini.

“Mungkin ada satu dua kes di sana sini di mana ia mudah luntur kerana botol dakwat itu tidak digoncang dengan baik,” katanya.
  Dr Chandra berkata, apa yang penting ialah dakwat itu kekal selama beberapa hari.

  “Kita tahu mereka sedang berusaha untuk mencemarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara tersusun dan teratur untuk menghancurkan kredibilitinya.
  “Mungkin juga ia sebahagian daripada agenda mereka dan jika kalah, mereka boleh menuduh SPR tidak adil dan sebagainya,” katanya.

  Tindak-tanduk ini tambah beliau, boleh menjadi alasan kuat bagi mereka mengadakan demonstrasi jalanan lagi.

  “Saya percaya bukan saja (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) tidak boleh terima kekalahan, pemimpin lain dalam pembangkang juga tidak boleh menerima kekalahan,” katanya.
  Apapun, ternyata kini perancangan pembangkang itu tidak berhasil kerana dakwat kekal itu tidak dapat hilang seperti didakwa.

  Apa yang dilalui pegawai tentera berkenaan beberapa hari lalu sudah tentunya menjejaskan kredibilitinya selaku penjawat awam, walaupun bukan beliau yang menimbulkan keraguan itu. Adalah tidak adil bagi beliau dijadikan mangsa muslihat pembangkang.
  Jelas, ia satu kepalsuan yang disebarkan oleh pembangkang menerusi internet untuk mempengaruhi orang ramai. Pastinya, tindakan ini juga menyalahi etika pilihan raya.

  Pemimpin pembangkang sepatutnya mengalu-alukan penggunaan dakwat kekal itu kerana mereka sendiri yang menuntutnya bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi demonstrasi BERSIH sebelum ini.
  Sebarang perlakuan yang boleh merosakkan proses demokrasi di negara ini perlu dielak menjelang hari mengundi Ahad ini. Pihak pembangkang tidak sepatutnya cuba mencari kesalahan SPR, sebaliknya mereka hendaklah membantu mengukuhkan lagi proses demokrasi. - Berita Harian, 3 Mei 2013