Di tengah-tengah
kemelut itu hudud PAS itu ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,
yang setakat ini masih belum ada keberanian untuk menyatakan pendiriannya
berhubung isu tersebut.
Anwar cuba menjaga
hati pemimpin PAS dan kecut dengan pemimpin DAP. Beliau sememangnya tersepit
antara PAS dan DAP, bagaikan ‘ditelan mati mak, diluah mati bapa’.
Sebagai orang yang
kononnya bakal diangkat sebagai pemimpin pakatan pembangkang seandainya mereka
menang PRU-13, Anwar sudah tentunya tidak boleh menepis isu itu begitu saja dan
mengelak setiap kali ditanya wartawan atau pihak lain.
Orang ramai berhak
mengetahui pendirian beliau sama ada menyokong pendirian PAS ataupun ingin
terus bersekongkol dengan DAP.
Malah Pengerusi DAP,
Karpal Singh sendiri yang begitu lantang bersuara mengenai hudud PAS juga
mahukan Anwar menyatakan pendiriannya.
Selain Karpal,
penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng juga sudah menyatakan
pendirian mereka tidak menerima sebarang cadangan negara Islam atau hukum hudud
PAS di negara ini.
Ketika diajukan
pertanyaan itu di Miri baru-baru ini, Anwar berkata beliau tiada komen untuk
dibuat dan apabila terus didesak, Anwar menegaskan PAS berhak menyatakan
pendiriannya berhubung hukum hudud.
Maknanya Ketua
Pembangkang itu kelihatan tidak berani menyatakan pendiriannya berhubung isu
kontroversi itu yang dijangka terus menjadi pertikaian antara kedua-dua parti
sehingga selepas pilihan raya.
Namun, pemerhati
politik melihat polemik PAS-DAP berhubung hukum hudud ini tidak lebih daripada
hanya satu lagi sandiwara politik bagi meyakini penyokong masing-masing dan
untuk memancing undi.
Malah Karpal Singh
pernah mengungkapkan “langkah mayat saya dulu” bagi menunjukkan tentangan
kuatnya terhadap pendirian PAS untuk melaksanakan hukum hududnya di negara ini.
Umum tahu bahawa
pada hakikat sebenarnya dasar kedua-dua parti berkenaan memang jauh berbeza,
macam air dengan minyak. Tidak ada apa yang boleh menyatukan DAP dengan PAS,
kalau adapun pada peringkat ini, ia hanya bersifat sementara demi mengejar
kemenangan pada pilihan raya umum ini.
Andainya pihak
pembangkang mendapat kuasa selepas pilihan raya ini, sudah tentu akan berlaku
percanggahan ketara antara kedua-dua parti tersebut.
Kesediaan DAP
menggunakan simbol PAS pada PRU ini bukannya bermakna DAP juga bersedia
berkompromi dengan dasarnya.
Bagaimanapun seperti
biasa pemimpin PAS membuat andaian salah kononnya parti cauvinis Cina itu akan
juga menyokong dasar Islamnya kerana kesanggupan mereka menggunakan simbol
bulan baru-baru ini.
Pemimpin PAS
sepatutnya sedar bahawa penggunaan simbol dan menyokong dasar parti adalah dua
perkara berlainan.
DAP sanggup
menggunakan simbol bulan sebagai langkah terakhir kerana kononnya ketika itu
parti itu dilarang menggunakan lambang roket. Akhirnya ternyata ia hanya satu
helah DAP untuk mencari undi simpati.
Namun dalam keadaan terdesak kerana semakin
hilang kepercayaan pengundi Melayu, pemimpin PAS terpaksa kelihatan cuba
memperjuangkan semula hukum hudud untuk menarik sokongan pada PRU-13.