Keputusan yang menunjukkan aliran polarisasi kaum itu sesuatu yang membimbangkan dan jika tidak ditangani mulai sekarang, ia boleh mencetuskan persaingan tidak sihat dan tidak mustahil menimbulkan ketegangan kaum pada masa depan.
Dalam keputusan PRU-13 kelmarin, sokongan terhadap calon MCA dan GERAKAN adalah yang terburuk dalam sejarah parti itu berikutan penolakan besar-besaran pengundi Cina, apa yang disebut Perdana Menteri sebagai ‘tsunami Cina’ terhadap calon Barisan Nasional (BN), sebaliknya memberi sokongan padu kepada DAP.
MCA hanya memperoleh enam kerusi Parlimen berbanding 34 kerusi yang dipertandingkan dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 90 yang dipertandingkan. Sudah tentu dalam keadaan itu, cadangan BN mengadakan post-mortem adalah langkah wajar bagi mencari punca sokongan masyarakat Cina beralih dengan ketara kepada pembangkang.
Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek dalam kenyataannya semalam berkata beliau menerima dan menghormati keputusan rakyat itu dan menyifatkannya sebagai ‘sistem dua-kaum’.
Serentak dengan itu beliau mengalu-alukan cadangan Perdana Menteri untuk melakukan penyatuan nasional di semua peringkat berikutan keputusan pilihan raya itu yang memberi kemenangan 133 kerusi Parlimen kepada BN dan 38 kerusi kepada DAP.
Namun Soi Lek berkata sebagaimana diputuskan oleh parti sebelum ini, MCA tidak akan menerima apa-apa jawatan kerajaan memandangkan prestasinya lebih teruk berbanding PRU-12 pada 2008.
Beberapa menteri MCA turut kecundang di kawasan masing-masing – Datuk Seri Kong Cho Ha, bekas Menteri Pengangkutan dan Setiausaha Agung MCA di Lumut serta dua Naib Presiden parti, Datuk Chor Chee Heung (Alor Setar) dan Datuk Donald Lim (Selayang).
Datuk Seri Liow Tiong Lai, bekas Menteri Kesihatan bagaimanapun berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bentong. Tiga lagi termasuk Datuk Wee Ka Siong, Ketua Pemuda MCA yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran di kerusi Ayer Hitam manakala Datuk Wee Jeck Seng mengekalkan kerusi Parlimen Tanjong Piai dan Datuk Chua Tee Yong mengekalkan kerusi Parlimen Labis.
Soi Lek berkata pengundian terbabit sememangnya dibuat berasaskan landasan etnik dengan masyarakat Cina mempercayai kononnya DAP boleh melakukan perubahan kepada kerajaan.
Namun, tegasnya, dengan menolak wakil Cina daripada kerajaan Persekutuan dan Negeri tidak akan membantu mengatasi masalah tidak puas hati terhadap kerajaan.
Beliau yakin bahawa Perdana Menteri akan meneruskan dasar inklusif dan akan terus menjaga kepentingan masyarakat Cina, terutama dalam bidang pendidikan, budaya dan ekonomi.
Seperti MCA, PRU-13 itu juga tidak menyebelahi GERAKAN, yang hanya memperoleh satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN berbanding dua kerusi Parlimen dan empat DUN yang dimenangi pada 2008.
Kerusi Parlimen pada PRU-13 ini dimenangi Liang Teck Meng di Simpang Renggam manakala kerusi DUN dimenangi di Sidam (Kedah), Pemanis (Johor) dan Tanjong Rapat (Sabah).
Pada pilihan raya umum ini, GERAKAN bertanding di 11 kawasan Parlimen dan 31 kerusi DUN. Di Pulau Pinang, parti berkenaan kalah di semua kawasan yang ditandingi. Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow akur dengan keputusan berkenaan dan mengakui kegagalannya dalam pilihan raya umum kelmarin dan mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi BN negeri dan Setiausaha Agung parti.
Pulau Pinang jatuh
ke tangan DAP pada 2008 selepas berada di bawah pemerintahan GERAKAN selama 39
tahun.
Najib dalam sidang
akhbar sejurus selepas BN diisytiharkan menang dengan majoriti mudah pada jam
12.50 pagi semalam, menegaskan bahawa keputusan pilihan raya itu menunjukkan
trend polarisasi dan jika tidak ditangani, ia akan membawa kepada konflik
antara kaum.Katanya, BN telah melakukan yang terbaik tapi terdapat beberapa faktor yang mengakibatkan peralihan sokongan daripada pengundi Cina kepada BN.
Pengerusi BN itu
berkata keputusan yang kurang memberangsangkan itu berpunca daripada tsunami
Cina yang tidak memberikan sokongan kepada BN sehingga MCA dan GERAKAN yang
mewakili kaum berkenaan tewas di kebanyakan kerusi kepada DAP.
Sudah tentunya dalam
situasi itu, BN perlu membuat analisis terhadap keputusan pengundi Cina itu.
Sebagaimana ditegaskan Perdana Menteri, tsunami Cina itu berlaku kerana pihak
pembangkang memainkan sentimen perkauman tidak sihat.
Justeru beliau
menegaskan semua pihak mesti menolak dasar berbaur perkauman dan menghindari
isu ekstrem berkaitan agama dan kaum. - Berita Harian, 7 Mei 2013