“Kalau nak ubah,
ubah apa? Kalau ubah Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tak apalah. Kalau nak
ubah (Lim) Kit Siang, tak apalah, kalau nak ubah (Lim) Guan Eng, saya setuju
150 peratus.
“Kalau nak ubah
Karpal Singh pun saya setuju,” katanya. Ketika ini audiens di dewan di mana
beliau berucap menyampuk ubah Karpal Singh 300 peratus.
Tunku Aziz adalah
antara beberapa ahli panel yang berucap pada Forum Nasional anjuran Majlis
Perundingan Melayu di Kuala Lumpur pada 26 April lalu. Anggota panel lain termasuk
Prof Dr Sidek Baba, Prof Dr Chandra Muzaffar, Ng Lum Yong, Datin Saidatul Badru
Tun Said Keruak dan Dr Yusri Mohamad, yang semuanya pada satu masa dulu adalah
kenalan rapat Anwar.
Tunku Aziz menambah,
beliau bimbang kerana kini terdapat ramai golongan muda yang sudah terpengaruh
dengan Anwar dan mahukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini,
bermula dengan Pilihan Raya Negeri Sarawak.
“Tapi mereka tidak
memahami apa yang sebenarnya hendak diubahkan. Apakah mereka ingin menyerahkan
masa depan kebajikan dan keselamatan negara ini kepada orang seperti Anwar?
Anwar hanya untuk Anwar, tidak lebih daripada itu.
“Golongan muda mesti
dimaklumkan oleh ibu bapa mereka bahawa Malaysia bukanlah seperti apa yang
mereka lihat sekarang terutama orang Melayu. Saya pernah lihat kemiskinan di
negara ini dan keadaan di mana terdapat golongan yang buta huruf.
“Keadaan sudah
berbeza sekarang. Bukannya senang untuk mentadbir sebuah negara seperti
Malaysia di mana terdapat pelbagai kaum. Kalau kita bagi lebih kepada Melayu,
orang Cina akan terasa, orang India pula akan lebih terasa,” katanya.
Justeru, katanya,
kita tidak boleh menyerahkan negara ini kepada pihak yang tidak berpengalaman
untuk mentadbirnya.
Tunku Aziz berkata
beliau meninggalkan DAP kerana ketika berada di dalam parti berkenaan beliau
melihat satu persatu perkara yang dilakukan yang bercanggah dengan prinsipnya.
“Mereka ahli yang
berhormat yang menggubal undang-undang di Parlimen sanggup melanggar
undang-undang yang dibuat. PKR dan PAS mengutuskan beratus ribu mesej menggesa
orang ramai keluar menyokong Perhimpunan BERSIH walaupun mereka tahu
perhimpunan seperti itu boleh mengakibatkan pencabulan undang-undang.
“Selaku anggota CEC
saya tahu mereka berhasrat untuk melanggar undang-undang dan di Dewan Negara
ketika perbahasan, saya berkata saya tak menyokong apa juga bentuk perhimpunan
terutama perhimpunan jalanan,” jelasnya.
Katanya, konsep
perhimpunan itu diasaskan di Eropah tapi diguna pakai oleh pejuang kemerdekaan
India, Mahatma Gandhi untuk mengusir keluar British.
“Martin Luther King
juga menggunakannya kerana orang kulit hitam di Amerika ditindas. Saya tanya Guan Eng
siapa yang dia nak usir dari Malaysia. Dia senyap dan tidak memberi jawapan,”
katanya.
Selepas kejadian
itu, Tunku Aziz berkata beliau memberitahu Kit Siang supaya memaklumkan kepada
anaknya supaya jangan memasukkan namanya sebagai senator (Kebetulan tempoh pertama Tunku Aziz sebagai Senator sudah hampir tamat ketika itu).
Dalam ucapannya,
bekas Naib Pengerusi DAP itu juga menarik perhatian kepada satu artikel di
dalam New Straits Times di mana penulisnya menyatakan pilihan yang
dibuat oleh pengundi pada PRU-13 ini bukannya sekadar memilih kerajaan tapi
juga memilih barisan Kabinet.
Tambahnya, semasa menjadi anggota CEC dulu, beliau pernah bertanya pada
Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengenai Anwar dan Kit Siang berbisik padanya,
buat masa ini kita katakan sajalah Anwar (sebagai perdana menteri).
Maknanya DAP
bukannya serius sangat mahukan Anwar sebagai perdana menteri.
“Tapi Anwar fikir
dia akan menjadi perdana menteri,” ujarnya.
Apapun, kata beliau,
DAP tidak akan dapat bekerjasama dengan PAS dalam apa keadaanpun sebab tidak
ada keserasian di antara mereka.
Perjuangan mereka
berbeza, satu ingin memperjuangkan hudud dan satu lagi menentangnya.
“DAP parti yang
cauvinistik dan tidak menyokong dasar Islam yang diperjuangkan PAS. Terdapat
satu ungkapan yang Karpal gunakan dan semua orang tahu iaitu ‘over my dead
body’ bagi merujuk cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud.
“Saya pun nak
gunakan ungkapan sama bagi menyatakan ‘over my dead body’ sekiranya Anwar
menjadi perdana menteri,” kata Tunku Aziz disambut tepukan audiens.
Tambahnya, beliau
bukannya menyatakan demikian kerana mempunyai kepentingan peribadi. “Saya sudah
berusia 79 tahun dan dalam beberapa bulan lagi saya akan berumur 80 tahun.
Hidup saya akan berakhir selepas itu tapi saya memikirkan tentang anak saya dan
anak-anak mereka,” tegasnya.
Tunku Aziz berkata
terdapat satu pepatah yang digunakan di Amerika, kalau ada sesuatu itu berada
dalam keadaan baik dan boleh terus digunakan, ia tidak perlu diperbaiki.
Oleh itu, katanya
kerajaan yang ada sekarang sudah menunjukkan ia boleh terus digunakan selama 56
tahun. Buat apa nak diperbaiki lagi?