Perhimpunan itu
dianjurkan atas beberapa nama tertentu, antaranya Himpunan Blackout 505 dan ada
yang diberi nama lain seperti Perhimpunan Kesyukuran DAP dan sebagainya.
Setiap kali
perhimpunan itu dianjurkan di tempat terbuka seperti di kawasan bandar raya
Petaling Jaya, akan berlakulah kesesakan jalan raya, masalah tempat letak
kereta dan beberapa masalah lain. Malah pihak polis juga memberi peringatan
kepada orang ramai supaya mengelakkan jalan tertentu bagi mengurangkan
kesesakan.
Jalan tertentu yang
sibuk seperti Jalan Barat dan Jalan Timur juga turut terbabit, menyebabkan
perhimpunan itu tidak wajar dianjurkan di tempat sibuk dan pada hari bekerja.
Perhimpunan itu juga
menjadi medan untuk pemimpin pembangkang terbabit mencerca pemimpin Barisan
Nasional (BN) dan kerajaan. Pada malam Selasa lalu, pentas Himpunan 505 di
Kedah digunakan untuk menempelak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi berikutan kenyataan tegasnya memberi amaran kepada pihak yang
ingin mencetuskan kekacauan.
Isnin lalu, terdapat
laporan menyatakan pemimpin pembangkang menyampaikan ucapan berunsur hasutan
bagi menumbangkan kerajaan BN pada satu forum 13 Mei.
Semua tindakan
pembangkang ini sebenarnya bertujuan membakar semangat rakyat untuk membantah
keputusan pilihan raya lalu dengan menimbulkan beberapa kemusykilan. Sekiranya
perbuatan mereka itu tidak dibendung, ia boleh menjadi bertambah buruk dan
mungkin sukar dikawal kemudian.
Dalam kenyataan
sulungnya selaku Menteri Dalam Negeri, pada 16 Mei lalu, Ahmad Zahid menegaskan
kerajaan tidak berkompromi dengan pihak berkenaan dan tidak akan memberi amaran
lagi kepada mereka yang bercadang mencetuskan huru-hara.
Kenyataan beliau
dianggap sebagai tegas dan dibuat tepat pada masanya. Rata-rata rakyat jelata
mahukan keamanan dan menggesa pihak berkuasa agar tidak membiarkan segelintir
rakyat yang berniat jahat ini meneruskan agenda mereka.
Pihak yang
bertanggungjawab mewujudkan huru-hara sewajarnya dibawa ke muka pengadilan dan
dikenakan hukuman setimpal agar mereka tidak mengulanginya atau perbuatan
mereka diikuti oleh pihak lain.
Ahli Majlis
Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, berkata kenyataan Ahmad Zahid itu
menunjukkan ketegasan seorang pemimpin yang berani menghadapi apa juga cabaran.
“Beliau bercakap
mewakili majoriti suara rakyat yang bosan dengan perilaku pihak tertentu yang
tidak bertanggungjawab. Tindakan pihak tertentu menganjurkan perhimpunan sudah
tentu akan menjejaskan ketenteraman awam dan mengganggu urusan kehidupan
masyarakat, sama ada yang berniaga, bekerja, yang ke sekolah mahupun ke tempat
beribadat,” katanya.
Dalam isu ini sudah
tentunya rakyat akan tampil ke depan untuk meminta kerajaan dan polis bertindak
secara tegas.
Ahmad Zahid hendaklah
benar-benar mengambil tindakan seperti dikata. Jangan esok orang tempelak kita
tak berupaya untuk mengambil tindakan, kata Tajuddin.
“Cukuplah sampai di
sini. Kita sudah bersabar dengan perbuatan mereka. Mereka sudah diberi ruang
sepenuhnya untuk menyuarakan apa juga rasa tak puas hati. Apa lagi yang mereka
mahu?,” ujar Tajuddin.
Beliau juga
berpendapat bahawa pihak polis perlu bertindak tegas bagi mengawal keselamatan
agar perhimpunan tersebut tidak menimbulkan sebarang kekacauan sehingga boleh
menjejaskan ketenteraman awam.
Katanya, kalau
menteri menunjukkan ketegasan, polis juga kena tegas kerana rakyat akan membuat
penilaian berdasarkan tindakan yang diambil.
Tajuddin yang juga
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menambah bahawa pihak yang
menganjurkan perhimpunan itu harus ingat bahawa orang lain juga boleh membuat
perkara sama jika mereka mahu.
“Jangan ingat mereka
saja boleh kumpul orang. Kita pun boleh kumpul orang, 10,000, 50,000, 60,000
orang pun kita boleh kumpul tetapi kita kumpul bukan untuk merosakkan atau
meruntuhkan kestabilan negara. Kita buat perhimpunan konstruktif. Mereka buat
perhimpunan destruktif. Jangan ingat satu-satu kaum saja boleh berhimpun dan
tunjuk kekuatan mereka,” katanya. - Berita Harian, 24 Mei 2013