Sebelum ini Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk
Noh Gadut juga pernah mencadangkan supaya diwujudkan kumpulan berkecuali
dianggotai ulama dan tokoh akademik bagi menggerakkan penyatuan Melayu itu.
Kesediaan bekas mufti serta pihak lain yang berpengaruh
dalam masyarakat Melayu seharusnya diterima baik dan positif oleh ahli dan
pemimpin UMNO serta PAS. Sememangnya sudah tiba masanya untuk Melayu kembali
bertaut dalam satu ikatan yang lebih kuat agar tidak mudah diancam pihak lain.Sewajarnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang baru lalu menjurus kepada anjakan paradigma bagi UMNO dan PAS untuk bekerjasama demi kepentingan dan survival orang Melayu.
Pemimpin PAS seharusnya berlapang dada dan terbuka hati
untuk mengadakan lebih banyak interaksi dan kerjasama dengan parti sesama Islam
dan Melayu, bukannya terus bersekongkol dengan parti cauvinis Cina seperti DAP.
Kerjasama PAS dengan PKR dan DAP akhirnya tidak membawa
apa-apa kesan kepada parti itu. Pemimpin PAS selama ini pun sedar bahawa
kerjasama mereka dalam pembangkang itu lebih banyak menguntungkan DAP.
Namun, kerana sikap angkuh dan degil beberapa pemimpin
atasan PAS, maka kerjasama dengan UMNO yang sepatutnya dijalinkan sejak lama
dulu tidak mencapai matlamatnya walaupun sebelum ini ada beberapa siri
perbincangan di peringkat awal.
Ketika memberi reaksinya kepada cadangan perpaduan Melayu
itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menganggap UMNO sebagai pihak
yang terdesak, lemas dan tidak boleh didekati.
Sebagai pemimpin Islam, Hadi sepatutnya sedar siapa beliau sebenarnya.
Di negara ini, menurut Perlembagaan Persekutuan, Melayu adalah Islam dan Islam
adalah Melayu. Semua orang Melayu adalah beragama Islam, melainkan mereka yang
murtad.
Apa salahnya demi perpaduan ummah, UMNO dan PAS berbaik
sangka antara satu sama lain. Ideologi parti tidak harus dibiarkan menjadi
penghalang sehingga boleh mengakibatkan permusuhan antara saudara seagama.
Lambat-laun Hadi mahupun Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz
Nik Mat, akan tahu siapa dalang sebenar di sebalik perpecahan masyarakat
Melayu. Mereka sudah pun menguasai ekonomi dan kini ingin menggenggam kuasa
politik. Agenda mereka hanya akan tercapai jika orang Melayu terus berpecah
belah.
Ada pihak berpendapat kerjasama UMNO dan PAS tidak akan
menjadi kenyataan di peringkat pusat berikutan pegangan ideologi yang begitu
kuat dalam kalangan pemimpin PAS. Golongan ini mencadangkan supaya kerjasama
antara kedua-dua parti dimulakan di peringkat lebih kecil dan tidak rasmi.
Namun, satu perkara yang harus difikirkan ialah jika
perseteruan itu dibiarkan berlarutan terlalu lama, orang Melayu sendiri yang
rugi. Siapakah yang akan menyelamatkan Melayu andainya tanah air mereka diancam
oleh orang lain?
Apakah PAS akan menanggung nasib yang akan menimpa orang
Melayu jika mereka diperkotak-katikkan di negara sendiri? Kepada siapa orang
Melayu akan mengharapkan pembelaan jika keadaan ini berlaku?
Sudah tiba masanya orang Melayu keluar daripada kepompong
keselesaan mereka dan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum
lain di negara ini. Tidak rugi andainya pemimpin dan ahli PAS berdiri dalam saf
yang dengan orang UMNO untuk mencapai matlamat ini.
Ramai yang berpendapat perlu ada lebih ramai Melayu seperti
Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencapai kedudukan itu. Tidak silap untuk mereka
menyatakan sedemikian kerana Dr Mahathir sememangnya seorang pemimpin Melayu
yang boleh menyanggah dan menempelak pemimpin kuasa besar dunia.
Apalah yang diharapkan oleh PAS melalui kerjasama dengan
DAP? Kalau nak dikira untung, ia sentiasa rugi. Kalau dikira bermanfaat,
langsung tak berbaloi. Kalau nak diajar amalan agama, tiada titik pertemuan.
Malah kalau nak disuruh mengucap pun tak dapat. Adalah lebih baik ia
menjalinkan hubungan dengan parti Melayu-Islam seperti UMNO. Rintislah usaha ke
arah perpaduan Melayu.
Bangunlah PAS daripada mimpi indah kononnya perjuangan
bersama DAP dan PKR itu boleh membawa kepada kebahagiaan. Perjuangan yang
bertentangan ideologi itu tidak akan ke mana. - Berita Harian, 27 Mei 2013