Saturday, 22 June 2013

Jangan berlembut dengan penganjur Blackout 505

  Kerajaan tidak harus berlembut dengan penganjur Perhimpunan Blackout 505 yang akan diadakan di Padang Merbok hari ini dan tidak berkompromi dengan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman dan keselamatan negara.

  Sehingga kini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih belum memberi kelulusan kepada penganjurnya untuk menggunakan Padang Merbok berhampiran Taman Tasik Perdana sebagai lokasi perhimpunan berkenaan.
  Namun, sekiranya mereka tetap menggunakan lokasi itu, bermakna mereka sudah mengingkari larangan pihak berkuasa tempatan dan melanggar peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dikenakan tindakan.

  Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasit, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersedia untuk mengambil langkah perlu bagi menghadapi perhimpunan terbabit.
  Malah, beliau menegaskan, sekiranya perlu pihak polis akan minta bantuan tentera dalam menangani masalah yang mungkin timbul daripada perhimpunan berkenaan.    

  Sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, sudah ada tujuh perhimpunan dianjurkan oleh pihak pembangkang di seluruh negara. Selain itu, mereka juga menganjurkan apa yang disebut sebagai ‘flashmob’ atau perhimpunan secara kecil-kecilan menjelang perhimpunan Blackout itu.
  Minggu lalu, kira-kira 15 peserta ‘flashmob’,  termasuk seorang wanita dan kanak-kanak ditahan polis ketika menyertainya di hadapan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman.  Selasa lalu, sekumpulan anak muda yang menyokong pembangkang melakukan gimik tertentu di bawah landasan rel transit ringan (LRT) Masjid Jamek bagi mendapatkan sokongan orang ramai terhadap perhimpunan 505 itu.

   Mengulas tindak-tanduk pembangkang itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat kerajaan tidak perlu lagi tawar-menawar atau berunding dengan pihak terbabit berhubung dengan pemilihan tempat untuk perhimpunan Blackout 505 itu.
  Katanya, rakyat yang cintakan keamanan akan berasa terkilan sekiranya mereka lihat kerajaan bersikap terlalu berlembut dengan golongan yang cuba mewujudkan kekacauan dan huru-hara di negara ini dan tanpa segan silu mempertikai keputusan PRU-13.

  Sebaliknya, beliau menggesa kerajaan supaya bertindak lebih keras dan menetapkan pendirian bahawa sesiapa pun tidak boleh menganjurkan perhimpunan yang cenderung kepada hasutan dan fitnah melulu.
  Namun, pihak pembangkang dikatakan  tetap meneruskan rancangannya walaupun polis menyifatkannya sebagai perhimpunan haram. Jelaslah  penganjurnya, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli tidak mengendahkan nasihat dan pandangan pihak berkuasa.

  Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah meminta agar kerajaan tidak memberi muka kepada pembangkang yang akan terus memperlekehkan sistem demokrasi negara.     
  Dr Mahathir berkata, sikap pembangkang yang pada mulanya bersungguh-sungguh mahu mengiktiraf pilihan rakyat bertukar sekelip mata apabila mereka kalah. Katanya, apabila sistem demokrasi dilaksana, mereka tolak sistem itu kerana bagi mereka, demonstrasi jalanan adalah demokrasi.

  Menurut peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, pihak yang menganjurkan perhimpunan hendaklah mengemukakan pemberitahuan 10 hari lebih awal. Memandangkan  pihak penganjur masih belum mendapat apa-apa kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, perhimpunan yang akan dianjurkan itu sudah pastinya dianggap sebagai perhimpunan haram.
  Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad memberi amaran bahawa polis akan mengambil tindakan kerana penganjurnya gagal mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan bagi menggunakan padang berkenaan dan menggesa orang ramai supaya tidak menyertainya.

  Alasan penganjur ialah kononnya ada  penipuan dalam PRU-13. Selain itu,  mereka juga mendesak  Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan kerana didakwa menyebelahi pihak kerajaan dalam pilihan raya lalu. 
   Sebenarnya, pihak berkuasa menawarkan Stadium Merdeka sebagai lokasi perhimpunan itu tetapi penganjur menolaknya kerana mahu berarak dari beberapa tempat berkumpul ke Padang Merbok. Perbuatan itu menunjukkan mereka langsung tidak menghiraukan ketenteraman awam dan sengaja mencabar pihak berkuasa untuk bertindak terhadap mereka bagi mencetuskan kekacauan yang akan dijadikan modal politik menghentam kerajaan.

  Apapun, tindakan itu menunjukkan mereka tidak langsung menghormati konsep demokrasi. Trend ini dijangka  berterusan selama beberapa tahun akan datang bagi mengganggu-gugat kerajaan yang sah dipilih  rakyat. Perbuatan itu menyebabkan mereka tiada masa untuk merencanakan apa juga program pembangunan untuk rakyat kerana  sibuk menimbulkan keraguan terhadap kerajaan.
  Adalah diharapkan rakyat dapat menilai perbuatan pembangkang itu dan membuat pendirian sendiri mengenainya. SPR juga diharap tidak akan tunduk kepada sebarang desakan pihak berkenaan yang mahukan pemimpin atasannya berundur. – Berita Harian, 22 Jun 2013