Tan Sri Abu Kassim Mohamed |
“Sekurang-kurangnya ia boleh membantu mewujudkan satu badan
pemantau di setiap agensi awam. Jika sebelum ini SPRM bergerak dari luar untuk
memantau aktiviti atau tindakan berisiko, kita sudah ada tenaga di dalam agensi
awam.
“Ini perkembangan baik. Kita sudah menyaksikan kesan
penempatan Ketua Pegawai Integriti di sektor swasta seperti di Petronas,” kata
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Penubuhan Unit Pengurusan Integriti di jabatan dan agensi
kerajaan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam
pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober lalu.
Abu Kassim berkata, sistem tadbir urus sektor awam yang
terbaik dan budaya kerja berkualiti penting dalam meningkatkan keyakinan rakyat
terhadap keupayaan kerajaan.
Bagaimanapun, tegasnya, usaha memerangi rasuah dan
menegakkan integriti bukanlah tanggungjawab eksklusif SPRM saja kerana seluruh
warga perkhidmatan awam turut sama bertanggungjawab mematuhi undang-undang,
polisi dan prosedur kerajaan.
Katanya, penubuhan Unit Pengurusan Integriti adalah
pendekatan baru strategi ke arah menginstitusikan integriti serta antirasuah
dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.
“Peranan SPRM melalui Bahagian Pengurusan Integriti Agensi
adalah untuk menyelaras pelaksanaan ke atas fungsi unit ini. Bahagian ini turut
bertanggungjawab untuk menyediakan dasar dan mekanisme pengurusan integriti di
agensi. Oleh itu saya berpendapat setiap satu agensi awam itu adalah ‘pemilik’
inisiatif ini,” katanya.
SPRM akan menempatkan p Ketua Unit Integriti di agensi yang
menubuhkan Unit Pengurusan Integriti. Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan
pengurusan integriti ini, ketua unit itu dikehendaki mengemukakan laporan
kepada Ketua Setiausaha Kementerian/Ketua Jabatan dan Bahagian Pengurusan
Integriti, SPRM setiap empat bulan sekali, iaitu sebelum 15 hari bulan Mei,
September dan Januari.
Sejak JPA mengeluarkan Pekeliling mengenainya berkuat kuasa
1 Ogos lalu, suruhanjaya berkenaan sudahpun memulakan perbincangan dan
menempatkan pegawai SPRM di Jabatan Imigresen, Majlis Amanah Rakyat (MARA),
Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ), Unit Kerjasama Sektor Awam dan Kementerian Pendidikan manakala
beberapa agensi lagi sedang dalam proses penubuhan unit ini.
Beliau menambah, selain tindakan mendakwa pesalah rasuah di
mahkamah, SPRM juga bertanggungjawab mengemukakan laporan kepada ketua jabatan
atau agensi kerajaan bagi tujuan perakuan tindakan tata tertib.
Pada 2009, sebanyak 235 laporan diedarkan kepada ketua
jabatan dan agensi untuk dikenakan tindakan manakala 319 laporan diedarkan pada
2012. Daripada jumlah itu, 182 keputusan berbentuk hukuman tata tertib
dikenakan ke atas penjawat awam pada 2009 dan 292 keputusan hukuman seperti
amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun
pangkat, buang kerja dan lain-lain pada 2012.
Abu Kassim berkata, SPRM turut menganggotai Jawatankuasa
Khas bagi menyiasat dan mengambil tindakan salah laku penjawat awam susulan
Laporan Ketua Audit Negara 2012. Ia dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan
Sri Ali Hamsa dan turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan, Peguam Negara,
Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia.
Katanya, SPRM akan melihat isu berkaitan rasuah,
penyelewengan dan salah guna kuasa kerana bukan semua isu yang dibangkitkan
dalam laporan audit itu ada kaitan dengan ketiga-tiga kesalahan berkenaan. - Berita Harian, 4 November 2013