Wednesday, 17 July 2013

Isu pasangan blogger hina Islam, kita jangan terlalu lemah

Pihak berkuasa yang bertanggungjawab perlu bertindak tegas terhadap pihak yang sengaja mencari jalan untuk menghina umat dan agama Islam di negara ini. Kita sudah sampai ke satu tahap tidak boleh lagi membiarkan mereka terlepas begitu saja.

  Apa yang dilakukan oleh pasangan blogger, Alvin Tan dan Vivian Lee yang mempersendakan amalan berpuasa sememangnya mempunyai unsur jahat walaupun pada asalnya ia hanya untuk bergurau senda.
  Memandangkan isu berkenaan sudah dihebohkan melalui internet, sebarang tindakan oleh pihak berkuasa terhadap pasangan itu pastinya akan menjadi pemerhatian awam.

 Pasangan berkenaan memuat naik gambar mereka sedang menikmati sup tulang babi atau bak kut teh sambil mengucapkan selamat berbuka puasa dan di sisi gambar itu tertera sebaris ucapan berbunyi ‘Selamat Berbuka Puasa, dengan Bak Kut Teh… wangi, enak, menyelerakan!’
  Tidak cukup dengan sindiran itu, dipamerkan juga logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sebelah kiri bawah gambar itu.

  Setakat ini selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semalam, kes itu diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan sama ada mereka akan didakwa ataupun tidak. 
  Sekiranya disabitkan, kes berkenaan boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

  Bukannya mereka tidak tahu yang babi adalah haram bagi orang Islam. Sudah tentu dalam konteks berkenaan, ia satu perbuatan bodoh dan berniat jahat untuk mempersendakan orang lain.
  Ini bukan kali pertama pasangan itu terbabit dalam kontroversi. Kira-kira 10 bulan lalu ketika belajar di Universiti Nasional Singapura, mereka juga pernah memuat naik rakaman video mereka sedang melakukan hubungan seks. Biasiswa Alvin kemudian ditarik balik dan tidak diketahui sama ada mereka kini masih lagi belajar di situ.

  Berikutan kes Alvin dan Vivian ini, ada pihak lain pula cuba menunjukkan ‘keberanian’ dengan memaparkan pula gambar babi panggang sebagai juadah berbuka puasa, juga dengan logo halal. Selain itu, ingatan kita masih lagi jelas terbayang pada satu insiden apabila sebuah akhbar tabloid bahasa Inggeris tempatan menimbulkan kontroversi dua tahun lalu dengan menyiarkan promosi juadah babi dalam iklan bufet Ramadannya.
  Akhbar itu juga terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang dan sekadar diberikan amaran. Maknanya, kalau dibiarkan, tidak ada lagi kebimbangan untuk mencetuskan kontroversi yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini.

  Pelbagai pihak kemudian membuat aduan kepada polis termasuk Pengerusi MCA negeri, Datuk Dr Yeow Chai Thiam, yang menyatakan perbuatan pasangan blogger itu bukan perkara lucu yang boleh dipermain-mainkan.
  Harapan kita agar pihak berkuasa tidak membiarkan individu seperti ini mempermainkan sentimen perkauman dan keagamaan di negara ini kerana ia boleh menjejaskan keharmonian rakyat pelbagai kaum.

  Bukannya senang untuk kita mewujudkan kerjasama dan persefahaman antara kaum seperti yang dialami selama ini. Selepas 56 tahun merdeka perpaduan kita sepatutnya lebih mantap, bukannya rapuh seperti ini sehingga mampu mempersendakan amalan orang lain.
  Cuba bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya semua kaum mula mempertikaikan  secara terbuka amalan satu sama lain?  Tidakkah ia akan mencetuskan keadaan huru hara dan perbalahan antara kaum?

  Penulis berpendapat JAKIM juga boleh menimbang untuk mengenakan tindakan kerana pasangan blogger itu menyalahgunakan logo halal dalam gambar yang dimuat naik dalam laman Facebook mereka.
  Sebenarnya sikap kita yang mudah beralah inilah yang membuatkan mereka tidak takut dengan undang-undang dan berani memijak kepala kita.

  Justeru, adalah wajar kita lebih berani dan tegas dalam tindakan untuk mengekang sebarang perbuatan yang boleh memporak-perandakan keamanan yang dinikmati selama ini.
  Tindakan tegas yang diambil boleh memberi pengajaran kepada semua pihak bahawa sensitiviti kaum dan agama tidak boleh dipermain-mainkan. Individu terbabit harus sedar bahawa apa yang mereka anggap sebagai lucu itu tidak semestinya lucu kepada pihak lain. - Berita Harian, 16 Julai 2013