Kenyataan itu bukan
saja merancakkan lagi spekulasi dalam parti itu bahkan menyebabkan mereka
berbelah-bahagi mengenai pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan
presiden.
Ia membuatkan ramai
yang tertanya-tanya apa sebenarnya tujuan Samy apabila beliau meluahkan
pandangannya sedemikian rupa. Sudah lama beliau mendiamkan diri sejak
kepemimpinan parti diserahkan kepada orang kanannya, Datuk Seri G Palanivel
pada 2010.
Sebelum ini pun
sudah ada desas-desus bahawa Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr S Subramaniam
mungkin akan menentang Palanivel. Sekiranya ia menjadi kenyataan, mesyuarat
bagi memilih ketua cawangan pada 12 Julai hingga 4 Ogos depan akan menjadi
penentu.
Mengikut proses
pemilihan parti, barisan ketua cawangan yang terpilih dipertanggungjawabkan
untuk memilih presiden baru pada September depan sekiranya ada pertandingan.
Ketua bahagian pula
dipilih selepas itu, disusuli dengan pemilihan timbalan presiden, naib presiden
dan ahli jawatankuasa pusat pada November.
Bagi memperoleh kemenangan,
Palanivel perlu mendapat sokongan sebahagian besar daripada lebih 3,900 ketua cawangan itu.
Samy, bekas Menteri
Kerja Raya yang juga Duta Khas Perdagangan Malaysia ke Asia Selatan dikatakan
masih berpengaruh kuat walaupun sudah
meninggalkan politik lebih tiga tahun lalu selepas kalah di kerusi Parlimen
Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).
Malah, ada pihak
mendakwa Samy masih mempunyai hubungan
kuat dengan ketua cawangan serta bahagian dan boleh mengingati nama mereka.
Umum mengetahui bahawa Palanivel sebelum ini adalah orang kuat Samy dan
beliaulah yang mengangkat Palanivel ke arena politik dengan melantiknya sebagai
setiausaha akhbar ketika beliau berkhidmat dengan BERNAMA.
Pada 2006, ketika
memegang jawatan naib presiden, beliau menewaskan penyandang timbalan presiden
selama 27 tahun, Datuk S Subramaniam dan muncul sebagai pemimpin nombor dua
yang baru.
Palanivel dipilih
untuk bertanding kerusi Parlimen buat
kali pertama pada 1990 dan menang dalam setiap pilihan raya umum
sehingga 2008 dan tewas dalam PRU-12, yang menyaksikan tsunami politik di
seluruh negara.
Selepas PRU-13 pada
Mei lalu, MIC hanya menang empat kerusi Parlimen iaitu Cameron Highlands,
Segamat, Hulu Selangor dan Tapah dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu
Gambir, Kahang, Tenggaroh, Gadek dan Jeram Padang. Palanivel adalah Ahli
Parlimen Cameron Highlands.
Dalam pengumuman
barisan Kabinet baru oleh Perdana Menteri, beliau dilantik sebagai Menteri
Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Jika berlaku
perebutan jawatan seperti yang dijangka, ia adalah yang pertama dalam tempoh 20
tahun. Kali terakhir berlaku perebutan jawatan tersebut ialah pada 1993.
Palanivel, 64, dan Dr
Subramaniam, 60, kini sedang mengadakan pertemuan dengan ahli pada peringkat
akar umbi. Walaupun Subramaniam tidak menyatakan beliau akan menentang
Palanivel, spekulasi semakin rancak menyatakan beliau sedang membuat persediaan
ke arah itu.
Menteri Kesihatan
itu adalah pakar kulit dan Ahli Parlimen Segamat, yang diwakilinya sejak 2004.
Berikutan desas-desus mengenai pertandingan itu, ahli MIC
kini dilaporkan berada dalam keadaan berbelah bahagi kerana ada yang mahukan
pertandingan dan ada yang mahu supaya jawatan presiden dan timbalan presiden
tidak dipertandingkan bagi mengekalkan kestabilan.
Pertandingan bagi
jawatan presiden adalah ujian terbesar baginya selaku pemangku presiden
MIC dan mungkin juga yang terakhir. - Berita Harian, 12 Julai