Saban hari, mulai
hari pertama puasa, coffee house di hotel dan restoran dipenuhi umat Islam yang menunaikan Rukun Islam ketiga
itu. Selepas sepanjang hari berlapar dahaga, bufet Ramadan menjadi pilihan
untuk mengisi perut yang lapar.
Sebahagian besar hotel dan restoran juga dilanggan orang Melayu, yang
rata-ratanya kini semakin mampu membayar harga bufet yang tinggi untuk seisi
keluarga. Di tempat seperti inilah kita
dapat lihat ramai orang Melayu tidak kisah berbelanja besar untuk makan.
Ada juga syarikat
korporat menyediakan peruntukan setiap tahun bagi menaja pelanggan mereka atau
wakil media pada majlis iftar yang istimewa itu. Tempahan juga perlu dibuat
lebih awal dan kalau nasib tidak baik, tidak ada lagi kekosongan menyebabkan
hasrat berbuka puasa di hotel bersama
keluarga tidak kesampaian dan kena tunggu pada hari lain.
Lazimnya juadah
berbuka di hotel terlalu banyak sehingga
boleh menyebabkan ‘perut meletup’ selepas berbuka. Kalau tidak dijaga boleh
memudaratkan kesihatan.
Kita juga harus
memastikan makanan yang disediakan di hotel itu halal dari segi agama Islam. Andainya ia
restoran Arab ataupun hotel lima, enam bintang yang selalunya dikunjungi di
bandar besar, soal halal haramnya mungkin tidak menjadi isu. Tapi yang menjadi
masalah ialah hotel tiga empat bintang atau restoran yang bukan dimiliki orang
Islam.
Dalam serbuan beberapa tahun lalu, ada juga hotel
besar menyediakan makanan tidak halal
mengikut spesifikasi pihak berkuasa. Apapun, memandangkan kesedaran masyarakat
Malaysia mengenai amalan keagamaan semakin meningkat, mereka wajar lebih berhati-hati ketika
memilih restoran atau hotel untuk memuaskan
selera masing-masing.
Kebanyakan hotel dan
restoran mewah mengakui makanan yang mereka sediakan sah dan mempunyai logo halal Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM), tetapi sejauh manakah benarnya dakwaan itu? JAKIM kini menggunakan Perintah Dagangan
(Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, satu akta di bawah Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi mengambil tindakan ke atas premis
yang menjual makanan tidak halal kepada orang Islam.
Peraturan itu hanya
membenarkan JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) menjadi pihak berkuasa
berwibawa untuk memperakukan bahawa makanan, barang atau perkhidmatan tertentu
itu adalah halal.
Melalui perintah
itu, logo halal dan ungkapan halal, contohnya ‘ditanggung halal’, ‘makanan
orang Islam’, ‘bufet Ramadan’ dan lain-lain lambang Islam yang boleh
mengelirukan dan memperdayakan orang Islam adalah dilarang.
Pertubuhan atau
perbadanan yang masih menggunakan logo halal lain boleh didenda RM200,000 dan
RM500,000 bagi kesalahan kedua serta berikutnya.
Mengikut statistik
yang dikeluarkan jurucakap JAKIM kelmarin, hanya 25 hotel dan restoran di Kuala Lumpur memiliki sijil halal pada
Ramadan tahun lalu, manakala 27 lagi tidak mempunyai sijil. Daripada jumlah
itu, enam dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan dan dua digantung
sijilnya.
JAKIM kini tiada
akta sendiri bagi bertindak sebagai badan yang dipertanggungjawabkan untuk
mengawal takrif halal makanan yang disediakan di premis tertentu. Oleh itu, gesaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) supaya pihak berkuasa memperkenalkan undang-undang khas mengenai penyediaan makanan bagi memantapkan lagi isu berkaitan halal ada kewajarannya.
Rekod JAKIM
menunjukkan hanya 292 hotel dan resort
memiliki sijil halal sah sehingga 2015 berbanding 2,445 hotel yang
berdaftar dengan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan.
Justeru, adalah
wajar dalam keghairahan berbuka di hotel dan restoran mewah pada bulan mulia ini, umat Islam perlu lebih berwaspada
agar tidak terpedaya dengan tawaran
berbuka puasa yang mengelirukan status halalnya. - Berita Harian, 18 Julai 2013