Isu mengenai lif rosak dan sampah bertaburan di kawasan
rumah pangsa ini pun bukan sesuatu yang luar biasa. Kedua-dua isu ini
sebenarnya ada kaitan dengan soal penyelenggaraan yang kurang berkesan.
Kelmarin, seorang budak berusia 11 tahun, Khairul Amir Azri,
maut selepas tersepit di celah lif yang terhenti antara tingkat dua dan tiga
blok kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Kuala Lumpur.
Walau kita akui bahawa kemalangan boleh berlaku pada
bila-bila masa, namun ia boleh dielakkan sekiranya wujud budaya penyelenggaraan
yang baik.
Sewajarnya kejadian yang menimpa budak terbabit menjadi
iktibar kepada pihak berkuasa tempatan supaya memastikan kemudahan asas seperti
lif sentiasa diselenggara dengan baik, bukan menunggu berlakunya sesuatu
kejadian buruk.
Oleh kerana ia projek perumahan awam, sudah tentunya kita
tidak mengharapkan penghuninya membayar kos penyelenggaraan seperti yang
ditanggung penghuni kondominium atau apartmen mewah.
Justeru, ia menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan
dan kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan.
Berikutan kejadian di PPR Desa Tun Razak itu, penduduk
setempat dilaporkan mendakwa bahawa mereka sudah banyak kali membuat aduan
mengenai kerosakan lif.
Malah hampir setiap minggu kerja pembaikan lif dilakukan
oleh kontraktor berkenaan. Lif nombor 2 di mana budak itu tersepit kelmarin
baru saja ditukar tidak sampai setahun, namun ia sering mengalami kerosakan.
Namun, penduduk di kawasan perumahan awam ini juga
seharusnya mempunyai kesedaran bahawa mereka turut bertanggungjawab atas
keselamatan penghuninya dengan menghargai kemudahan yang disediakan.
Jangan hanya pandai menuding jari kepada pihak berkuasa
tempatan apabila berlaku kejadian tidak diingini sedangkan selaku penghuni,
mereka turut mempunyai peranan memastikan persekitaran kawasan perumahan adalah
selamat.
Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata beliau sedih
membaca berita mengenai kejadian yang menimpa budak itu kelmarin dan berharap
langkah keselamatan diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Lam Thye yang pernah menerima banyak aduan berhubung
kerosakan lif ketika menjadi Ahli Parlimen Kuala Lumpur Bandar pada 1980-an
dulu, berpendapat kontraktor yang dilantik pihak berkuasa mesti
bertanggungjawab memantau keadaan lif berkenaan.
"Pihak kontraktor hendaklah melakukan pemeriksaan bagi
memastikan lif di bawah tanggungjawabnya dapat berfungsi dengan baik. Dulu saya
banyak dapat aduan seperti ini di mana ada sesetengah lif sudah boleh dianggap
sebagai usang," katanya.
Beliau berharap kerajaan akan mewujudkan budaya
penyelenggaraan yang baik bagi menjaga dan memperbaiki kemudahan serta
infrastruktur yang dibinanya.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah
Malaysia (MCPF), mencadangkan supaya setiap lif dipasang dengan kamera litar
tertutup (CCTV) bagi memantau kejadian vandalisme, pencabulan atau rompakan.
Katanya, di Singapura semua lif dipasang dengan kamera litar
tertutup dan ini memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pihak
yang bertanggungjawab melakukan kerosakan atau jenayah lain.
Beliau berharap Kementerian Wilayah Persekutuan dapat
menimbang untuk memasang CCTV di dalam semua lif di rumah pangsa baru sebagai
langkah menjaga keselamatan penghuninya. – Berita Harian, 19 Julai 2013