Thursday, 22 August 2013

Pemilihan UMNO: Ramai masih tinjau 'pasaran'

  Sistem baru pemilihan terbuka tanpa kuota yang diperkenalkan UMNO tahun ini dijangka menarik minat jumlah calon yang ramai untuk bertanding. Selain calon yang memegang jawatan dalam parti dan kerajaan, ramai juga dijangka akan cuba mengetengahkan diri masing-masing dengan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) buat pertama kali.

  Menang atau kalah adalah soal lain kerana apa yang lebih penting ialah orang akan mula mengenali nama 
 yang bertanding itu sebagai persediaan penyertaan mereka dengan lebih serius pada pertandingan masa depan.

 Selain pertandingan jawatan MT, lebih 10 calon muka baru dan lama turut disebut-sebut akan mencuba nasib bertanding jawatan naib presiden yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.

  Jawatan itu adalah nombor tiga teratas dalam hierarki kepemimpinan UMNO dan dilihat sebagai batu loncatan untuk naik ke kedudukan lebih tinggi dalam parti. Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pemimpin sebelum mereka juga masing-masing pernah menyandang jawatan berkenaan.

  Bekas Naib Presiden, Tan Sri Isa Samad sebelum ini berkata, beliau akan hanya membuat keputusan apabila sudah hampir dengan hari pemilihan MT. Begitu juga bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dilaporkan hampir membuat keputusan 
untuk merebut jawatan berkenaan.

  Selain itu, beberapa pemimpin UMNO yang baru dilantik sebagai menteri besar dan menteri juga dijangka akan memasuki gelanggang berkenaan, menjadikannya pertandingan lebih meriah, selain jawatan MT.
Antara mereka ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang dicadangkan oleh UMNO negeri sebagai calon untuk bertanding jawatan itu.

  Sebahagian besar daripada `bakal calon' bagaimanapun masih menunggu saat-saat akhir sebelum membuat keputusan. Mereka dijangka mengambil kesempatan majlis rumah terbuka Aidilfitri bagi meninjau `pasaran' dan peluang mereka sekiranya menawarkan diri untuk bertanding.

  
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan bahawa jawatan Naib Presiden sememangnya dibuka untuk pertandingan, tetapi ahli UMNO terkeliru kerana terlalu banyak kenyataan dibuat supaya ketiga-tiga jawatan berkenaan tidak dipertandingkan.

  Antara mereka yang membuat gesaan itu, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang memberi sokongan kepada ketiga-tiga penyandang jawatan berkenaan atas alasan kononnya parti berkenaan lemah berikutan Pilihan Raya Umum Ke-13 dan usaha membina semula UMNO menjadi lebih sukar jika ahli hanya memikirkan soal untuk bertanding.

  Di samping jawatan naib presiden, pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO juga turut menjadi perbincangan hangat. Jawatan itu kini disandang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan beliau akan dicabar oleh ahli MT yang juga bekas menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

  Seorang lagi pemimpin wanita yang disebut-sebut sedang membuat pertimbangan untuk menyertai pertandingan jawatan nombor satu dalam pergerakan itu ialah Datuk Halimah Saddique juga mungkin menawarkan dirinya sebagai calon.

  Serentak itu, Jawatankuasa Pemilihan yang dilantik oleh ibu pejabat sejak sebulan lalu kini sedang rancak membuat persiapan bagi memastikan perjalanan pemilihan berjalan lancar pada semua peringkat.

  Baru-baru ini Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Abdul Rauf Jusoh mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan itu bagi membincang isu berbangkit, termasuk borang pencalonan yang masih perlu dikemaskini.

  Perkara lain yang dibincang menyentuh urusan pemilihan secara umum dan proses pengiraan undi yang mana pihak Ibu Pejabat UMNO mendapatkan maklum balas daripada Pengerusi dan Setiausaha Pemilihan negeri yang hadir.

  Hasil mesyuarat yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali itu akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan. Jawatankuasa Pemilihan akan mengadakan mesyuarat susulan selepas Aidilfitri dan dijangka menyiapkan tugasnya sebelum hari pendaftaran calon.


  Pemilihan serentak MT akan diadakan pada mesyuarat perwakilan bahagian pada 19 Oktober depan, manakala pemilihan bagi jawatan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO ditetapkan pada 12 Oktober. – Berita Harian, 13 Ogos 2013