Thursday, 22 August 2013

Terlalu banyak tumpuan terhadap Ketua Wanita, naib seolah-olah dilupakan

  Setakat ini hanya Datuk Azizah Mohd Dun (gambar) yang sudah mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti Oktober depan.

  Tumpuan yang diberikan kepada pertandingan Ketua Wanita UMNO seolah-olah menenggelamkan persaingan bagi merebut jawatan naib ketua yang kosong selepas penyandangnya, Datuk Kamilia Ibrahim dipecat sebelum pilihan raya umum lalu.
  
  Namun, seperti biasa khabar angin
 dan spekulasi sentiasa bertiup kencang mengenai siapa yang bakal mengisi kekosongan itu.

  Selain Azizah, antara mereka yang disebut-sebut ialah Ketua Pergerakan Puteri UMNO sekarang, Datuk Rosnah Rashid Shirlin dan Ketua Wanita UMNO Pendang, Datuk Soraya Yaacob.

  Sementara itu, Wanita UMNO Sabah mengisytiharkan bahawa ia akan memberi sokongan kepada ketuanya, Datuk Armani Mahiruddin sekiranya beliau ingin bertanding jawatan naib ketua sayap parti itu.

  Azizah yang mengumumkan hasratnya untuk mengisi jawatan nombor dua dalam sayap parti itu berkata, beliau ingin membantu memperkukuhkan UMNO. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan 
Masyarakat itu juga adalah ahli EXCO pergerakan itu dan Naib Ketua Wanita Sabah
Azizah mewakili orang lama dalam Wanita UMNO, malah beliau dan bapanya pernah berusaha untuk membawa masuk parti berkenaan ke Sabah pada pertengahan 1980-an sebelum ia masuk dengan secara rasmi pada 1990-an.

  Penganalisis politik, Dr Nor Sulastry berpendapat, setakat ini seolah-olah wujud 'vacum' bagi jawatan naib ketua kerana tidak ada calon yang benar-benar dilihat layak untuk memegang jawatan berkenaan.

  Keadaan itu, katanya, adalah satu kerugian kerana Wanita UMNO memainkan peranan amat penting dalam kempen pilihan raya. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan Wanita UMNO adalah penggerak utama parti dan jentera kempennya.

  "Tumpuan Wanita UMNO sekarang adalah terhadap ketuanya dan ramai yang memberi perhatian kepada siapa yang sebenarnya layak untuk menduduki jawatan berkenaan.

  "Ketua Wanita sekarang, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan pencabarnya, Datuk Seri Azalina Othman Said, masing-masing dilihat mempunyai `excess baggage'," katanya.

  Dr Nor juga berkata, Kamilia mungkin boleh menjadi calon sesuai bagi terus mengisi jawatan itu tetapi beliau agak gopoh membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

  Katanya, setakat ini beliau tidak nampak nama-nama yang sesuai bagi jawatan naib ketua dan kalau adapun, sudah tentu calon itu terdiri daripada pengikut Shahrizat.

  "Ada kemungkinan juga pihak tertentu akan meminta (Datuk) Halimah (Saddique) melawan Shahrizat. Kelebihan Halimah ialah beliau orang baru dan tidak ada 'excess baggage'," katanya.

  Apapun, menyedari betapa besarnya peranan mereka dalam parti dan kepada negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Wanita UMNO mempunyai tanggungjawab besar dalam memilih pemimpinnya kali ini. 

  Ada kemungkinan juga, pucuk pimpinan parti perlu memberi isyarat siapa yang layak dan patut diberikan peluang mengetuai pergerakan berkenaan. – Berita Harian, 14 Ogos 2013