Sunday 22 August 2021

Bezanya era Muhyiddin dan Ismail

Pandangan bahawa perdana menteri yang bakal dilantik tidak mengekalkan struktur kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) dialu-alukan.


Ini kerana formula politik pasca pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah berbeza daripada era Langkah Sheraton.


Ketika itu Muhyiddin, yang didakwa tidak mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi telah menawarkan pelbagai jawatan kepada penyokongnya termasuk jawatan menteri.


Keadaan itu menyebabkan wujud jumlah menteri dan timbalan menteri yang terlalu ramai.


Kerajaan Muhyiddin juga mengembalikan jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada ahli politik bagi memperoleh sokongan.


Ini bertentangan dengan perubahan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan di mana pengerusi GLC dilantik daripada kalangan golongan teknokrat dan pakar dalam bidang masing-masing.


Oleh itu calon yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai CEO Malaysia itu hendaklah melakukan reformasi yang dikehendaki rakyat.


Pertama sekali, beliau diharapkan akan memperkecilkan saiz kabinetnya kerana jumlah menteri (dan timbalan menteri) yang besar tidak menjanjikan bahawa semuanya produktif dan memanfaatkan rakyat dan negara.


Bahkan perdana menteri yang mempunyai kuasa eksekutif juga tidak harus terikat dengan sokongan yang diperolehnya kerana ia prerogatif seorang perdana menteri.


Dalam konteks tersebut, ingatan

Ketua Pemuda Umno,  Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bahawa calon perdana menteri dari BN tidak harus membuat sebarang perjanjian mengekalkan struktur kabinet kerajaan PN adalah tepat.


Sebaliknya Asyraf berpendapat calon itu harus mewujudkan kabinet yang mampu menterjemahkan permuafakatan dan perpaduan semua parti politik dalam tempoh untuk menangani Covid-19.


Katanya, dalam mesyuarat Majlis Kerta Tertinggi malam kelmarin, beliau menegaskan bahawa sesiapapun yang dinamakan sebagai calon perdana menteri daripada Barisan Nasional dan Umno tidak perlu mengikat dirinya dengan apa juga bentuk perjanjian untuk mengekalkan struktur kabinet kerajaan PN yang lalu.


Dalam mesyuarat yang diadakan secara berasingan, Umno, Bersatu dan Pas mencapai kata sepakat untuk menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin Yassin.


Justeru rakyat dan pemerhati politik secara umumnya menaruh harapan yang tinggi agar perdana menteri yang bakal dilantik akan mengambil kira pandangan rakyat dan tidak mengulangi kesilapan kerajaan Muhyiddin.


Sudah tentunya antara aspek yang perlu diambil kira selain mengecilkan jumlah anggota kabinet, ialah kriteria  pelantikan menteri yang bukan sekadar mewakili parti tetapi kemampuan mereka untuk diangkat untuk memegang jawatan itu.


Kabinet rakyat yang baharu ini harus terdiri daripada mereka yang mampu mengendalikan dua isu penting yang dihadapi negara iaitu ancaman Covid-19 dan masalah ekonomi yang meruncing.


Jawatan timbalan perdana menteri, yang tidak ada dalam Perlembagaan, juga tidak harus diisi, jika tidak perlu.