Kini selepas
bersara, Dr Mahathir masih lagi aktif berpidato dan sering memberi pandangan
mengenai isu semasa. Di samping berucap, beliau juga giat menulis dalam
pelbagai penerbitan. Penulis tertarik dengan tegurannya mengenai pemilihan UMNO
yang akan diadakan tidak lama lagi.
Katanya, beliau mendengar ada desakan daripada pihak tertentu yang mahukan ahli Majlis Tertinggi (MT) sedia ada dikekalkan dalam pemilihan ini dan ternyata daripada kenyataannya, beliau tidak begitu bersetuju dengannya.
Kalau dilihat,
hampir setiap hari ada saja laporan dalam media daripada golongan yang
‘berkepentingan’ yang menyeru ahli UMNO supaya mengekalkan orang ini dan orang
itu. Meneruskan pendapatnya, Dr Mahathir berkata walaupun beliau menyokong
cadangan supaya tidak ada pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan
Presiden demi mengekalkan perpaduan tetapi semua jawatan lain perlu ada
pertandingan.
Sesiapapun tidak
kira dalam Wanita, Pemuda dan Puteri patut diterima sebagai calon. Cuba kita
fikir sejenak apa yang dikatakan oleh bekas Presiden UMNO itu, patutkah kita
terus memegang jawatan dan menghindari orang lain daripada mengambil alih?
Sewajarnya pesanan
Dr Mahathir dijadikan iktibar atau isyarat kepada pemimpin yang sudah terlalu
lama berada di atas untuk menyerahkannya kepada orang baru. Mereka harus
dikejutkan daripada mimpi lama kononnya UMNO akan terus berada di tampuk
pemerintahan.
Ramai juga pemerhati
berpendapat jika sikap pemimpin sebegini masih tidak berubah, jangan
mengharapkan parti juga akan mengalami perubahan.
Justeru, pemilihan
ini harus menjadi kesempatan terbaik bagi pemimpin UMNO di semua peringkat
melakukan perubahan yang sepatutnya sudah lama dilakukan. Dr Mahathir dalam
tulisannya berkata pada pengamatannya, UMNO kini adalah sebuah parti tua. Tidak
banyak perubahan kepemimpinan ada dalam UMNO.
“Bagi orang muda
mereka hanya melihat muka-muka itu saja. Dan mereka meluat”, tegasnya. Mungkin
ada orang UMNO yang akan mencemuh pandangan itu dan tidak boleh menerimanya
tetapi pada hakikatnya itulah apa yang sedang berlaku sekarang.
Pilihan Raya Umum
Ke-12 (PRU-12) dan PRU-13 tidak cukup untuk menyedarkan mereka bahawa pemikiran
rakyat kini sudah berubah. Kini ada desakan untuk pembaharuan dan itulah yang
sepatutnya dilakukan dan kita tidak harus marah kepada pihak yang memberi
pandangan.
Dalam hubungan itu,
kita mengucapkan tahniah kepada UMNO Selangor kerana secara terbuka meminta
ketua bahagian yang gagal memberi kemenangan kepada parti dalam PRU sejak
beberapa penggal lalu melepaskan jawatan.
Ketua Perhubungan,
Datuk Seri Noh Omar, berkata adalah wajar ketua bahagian berkenaan memberi
peluang kepada muka baru untuk membolehkan mereka menunjukkan kemampuan
masing-masing.
Masalah besar yang
dihadapi semua parti politik ialah apabila ada pemimpin yang enggan berundur secara
terhormat walaupun sudah dua tiga penggal atau lebih memegang jawatan. Malah,
ada juga yang sudah menjadi liabiliti kepada parti tetapi masih berkeras untuk
mempertahankan jawatan.
Kadangkala pihak
media juga mendapati agak sukar apabila terpaksa berhadapan dengan pemimpin
seperti itu. Hendak ditulis mengenai dirinya langsung ditolaknya tetapi apabila
cerita mengenai pencabarnya pula dikeluarkan, dia melenting tidak tentu pasal.
Apapun, eloklah ahli
UMNO memikirkan mengenai pendapat yang diluahkan oleh pemimpin terdahulu
seperti Dr Mahathir kerana sebagai ‘orang di luar’, mereka mampu melihat
keadaan dengan lebih jelas.
Semua tahu bahawa
pemilihan kali ini adalah sesuatu yang berbeza daripada yang pernah diadakan
sebelum ini. Ia adalah titik perubahan bagi membolehkan ahli UMNO membuat
penelitian siapa yang layak dan boleh diketengahkan sebagai pemimpin parti pada
masa hadapan.
Diharapkan mereka
yang diberi hak mengundi akan memilih calon yang memiliki ciri kepemimpinan
bagi mencorakkan masa depan negara. - Berita Harian, 4 September 2013