Jika pada pemilihan sebelum ini timbul isu calon menggunakan
wang untuk menang, pada tahun ini keadaannya sudah jauh berbeza. Dakwaan calon
memasukkan wang di celah pintu bilik hotel perwakilan, mengadakan majlis jamuan
makan kepada perwakilan dan menaja perwakilan melancong termasuk mengerjakan
umrah dijangka tidak berulang.
Sejak pindaan kepada peraturan parti pada Perhimpunan Agung 2009, UMNO tidak mahu memandang ke belakang lagi. Ia akan terus bergerak ke hadapan bagi menangani apa juga perbuatan yang boleh dianggap sebagai menyogok ahli supaya memilih calon tertentu.
Jumlah pengundi yang lebih besar daripada 2,500 perwakilan
sebelum ini juga sudah tentunya akan menyukarkan lagi perbuatan membeli undi
dalam kalangan perwakilan dan diharap dapat menghindarkan gejala politik wang.
Di samping tindakan disiplin, pihak parti juga berikrar
untuk membuat laporan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) jika ada aduan berhubung politik wang dalam kempen pemilihan itu.
Seperti biasa, pada setiap pemilihan UMNO juga akan mengeluarkan
amaran keras untuk mengenakan tindakan tegas ke atas calon yang ingkar,
termasuk digantung dan dipecat.
Selain langkah itu, UMNO akan menjalankan saringan ke atas
calon yang disahkan bertanding di Jabatan Insolvensi dan polis bagi memastikan
mereka tidak muflis atau mempunyai sebarang rekod jenayah.
Baru-baru ini Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin
Yassin, berkata beliau mengarahkan Lembaga Disiplin UMNO supaya mengingatkan
calon dan perwakilan agar mematuhi etika pemilihan parti.
Dalam hubungan ini, ahli yang bertanding juga perlu
diberikan garis panduan jelas mengenai etika berkenaan agar tidak melanggarnya
secara tidak sengaja, sekali gus menyebabkan mereka hilang kelayakan.
Berikutan perubahan dalam pemilihan kali ini, terdapat ramai
muka baru, selain kemungkinan perwakilan tidak tahu kesalahan yang dilakukan
termasuk amalan politik wang, rasuah dan tohmahan.
UMNO juga hendaklah melihat kepada kesempatan yang digunakan
oleh calon tertentu untuk mempromosi diri mereka menerusi program rasmi
kerajaan dan sebagainya.
Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata
UMNO perlu mengambil langkah tegas itu demi survival masa depannya.
“Jika mereka tidak melakukannya, masa depan akan terjejas
dan orang Melayu hilang kepercayaan kepadanya.
“Tapi sejauh mana berkesannya peraturan UMNO itu untuk
kekang politik wang belum dapat dibuat penilaian sehingga hari pengundian.
Kalau ada aduan orang guna wang, UMNO kena buat sesuatu dan SPRM bersedia untuk
masuk,” kata beliau.
Pemilihan ini akan menyaksikan 33,942 calon yang akan
bertanding merebut pelbagai jawatan termasuk 260 yang bertanding pada peringkat
Majlis Tertinggi (MT) dan tiga sayap parti. Selebihnya bertanding di 191
bahagian di seluruh negara.
Dr Ahmad Atory menarik perhatian bahawa gejala politik wang
kini lebih sukar diamalkan memandangkan jumlah pengundinya sudah jauh lebih
besar.
Dulu katanya, perwakilan cawangan ke mesyuarat bahagian
hanya tiga hingga lima orang saja tapi kini 15 orang akan menjadi perwakilan
dan mereka berhak mengundi.
“Bayangkan berapa banyak pula jumlah wang yang terpaksa
dikeluarkan sekiranya calon ingin menyogok ahli? Itu belum lagi pada peringkat
Pusat di mana jumlah pengundinya berlipat ganda sehingga mencecah hampir
150,000 orang.
“Kalau dulu calon boleh belanja roti canai atau sate,
sekarang bukan boleh setakat belanja makan saja tapi ahli mahukan wang,”
katanya.
Namun, pensyarah sains sosial itu berkata, ‘wang politik’
masih diperlukan, bukannya ‘politik wang’ sebagai perbelanjaan kempen yang akan
dijalankan secara bersama dengan calon lain dari negeri ke negeri.
Apapun, pemilihan kali ini menunjukkan bahawa UMNO begitu
serius dalam usahanya untuk membanteras gejala politik wang yang menghantui
parti itu sejak awal 1990-an lalu. Sudah sewajarnya ahli memahami apa yang
sedang diusahakan ini dan menyokong usaha berkenaan. - Berita Harian, 28 September 2013