S: Apakah itu bermakna saudara tidak berpuas hati dengan pencapaian Pemuda UMNO sejak mengambil alih jawatan itu pada 2009?
J: Saya puas hati
dengan pencapaian setakat ini, cuma kita kena melanjutkan prestasi kita. Kita
kena pastikan apa yang kita dapat buat selama ini dapat ditanamkan ke akar
umbi. Ada pelbagai cabaran untuk kita gerakkan Pemuda dari segi pentadbiran,
dari segi semangat ahli. Kita kena beri tumpuan lebih kepada soal kepemimpinan.
Bila kepemimpinan pada peringkat
bahagian itu kuat dan punyai idealisme tinggi, kita dapat lahirkan lebih ramai
pemimpin berkaliber peringkat bahagian dan kita dapat meningkatkan prestasi
keseluruhan. Saya menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebab penggal
pertama, saya tidak ada jawatan dalam kerajaan. Penggal kedua sudah dapat
amanah menjaga Kementerian Belia dan Sukan. Saya nampak kita boleh bawa agenda
ini bersama di mana saya jaga belia negara dan juga Pemuda dalam UMNO itu
sendiri. Kekuatan itu saya akan guna untuk tingkatkan lagi prestasi Pemuda
UMNO.
S: Ke mana hala tuju
Pemuda UMNO yang saudara akan bawa atau agenda Pemuda UMNO selepas ini
sekiranya terpilih semula?
J: Agenda saya ialah
untuk menjadi tempat pertemuan atau ‘interface’ utama bagi UMNO dan generasi
muda. Kita tahu bahawa generasi muda menjadi kuasa besar pada Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU-13) dan juga akan menjadi kuasa besar dalam PRU-14. Kaji selidik
yang dibuat oleh Merdeka Centre menunjukkan pengundi muda Melayu antara umur 21
hingga 30 tahun, kira-kira 54 peratus menyokong BN pada pilihan raya lalu. Itu
petanda baik bagi kita, tetapi pengundi
muda daripada kaum lain tak berapa menyokong BN. Itu cabaran untuk kita, macam
mana UMNO boleh memainkan peranan bagi meningkatkan sokongan daripada orang
muda Melayu dan macam mana boleh bantu BN untuk cuba meyakinkan yang lain juga.
Jadi hala tuju saya masih lagi ‘politikal’, macam mana untuk bawa undi pada
pilihan raya akan datang.
S: Ternyata saudara
sudah melalui pelbagai dugaan dan jatuh bangun dalam politik. Bagaimana saudara
melihat peluang kali ini?
J: Setiap kali
bertanding saya serah kepada perwakilan atau pengundi, cuma kita boleh buat
yang terbaik dengan menawarkan idea atau
wawasan yang jelas. Yang selebihnya kita serah kepada perwakilan. Saya menang
pada 2009 dalam keadaan yang susah. Waktu itu orang kata menantu Presiden UMNO
dan sebagainya, tetapi presiden yang
hendak keluar, Pak Lah (Abdullah) pada waktu itu hendak meletak jawatan. Jadi
ia tidak beri apa-apa kelebihan kepada saya. Tapi dalam keadaan itu masih lagi
boleh menang, lawan bekas menteri besar, lawan seorang yang ada nama besar
dalam UMNO tetapi dapat mengatasinya, Alhamdulillah berkat sokongan daripada
kawan-kawan. Jadi kali ini pun saya buat yang sama, bukannya saya mahu kekalkan
jawatan ini untuk diri saya, tetapi saya
menjawab panggilan perjuangan. Jadi saya serah kepada perwakilan sebab saya
sudah tahu jatuh bangun dalam politik, peritnya bila kita jatuh, apa
perasaannya selama empat tahun. Saya tidak tahu peluang saya macam mana dan
saya serah pada budi bicara perwakilan. Saya yakin perwakilan boleh menilai
sebab nak jaga Pemuda dengan keahlian hampir 650,000 dan jaga pentadbiran bukan
perkara senang. Kita menghormati setiap
calon yang menawarkan diri, tetapi kalau
tak ada pengalaman jadi Ketua Pemuda bahagian atau cawangan, macam mana nak
jaga organisasi nasional yang ada 650,000 ahli.
S: Dulu saudara
bertanding dalam bayangan ‘Perdana Menteri’, kali ini bertanding sebagai Khairy
Jamaluddin tanpa bapa mentua. Kini saudara menghadapinya bersendirian?
J: Saya tidak
melihatnya sebagai masalah sebab pemilihan lepas pun tidak bawa apa-apa
kelebihan kepada saya (sebagai menantu Perdana Menteri). Sebabnya, pada
pemilihan lalu beliau adalah Perdana Menteri yang akan melepaskan jawatan,
presiden yang akan melepaskan jawatan, jadi tak ada apa-apa pengaruh pada saya.
S: Persepsi orang ramai mungkin lain, saudara dikaitkan dengan Perdana Menteri?
J: Mungkin persepsi itu membawa masalah kepada
saya pada waktu dan ketika itu. Kali ini bila
tidak ada apa-apa kaitan dan saya bertanding atas diri saya sendiri,
mungkin mereka boleh nilai. Selama empat tahun saya menjadi Ahli Parlimen biasa
dan penyokong kerajaan, sering kali berentap dengan pembangkang, bawa Pemuda
UMNO selama empat tahun tanpa apa-apa jawatan,
tetapi masih lagi bertahan. Ramai yang kata dia tidak akan sampai satu
tahun bawa Pemuda UMNO dan akan mengaku kalah dan ada orang yang akan buat undi
tidak percaya. Dalam keadaan ini, saya dapat bertahan selama empat tahun,
Alhamdulillah saya diberi rezeki ini dan saya harap dapat gunakan rezeki ini
untuk bantu Pemuda supaya lebih baik lagi.
S: Cara saudara dan
beberapa orang dalam Pemuda atau UMNO sendiri berlainan daripada orang lama,
khususnya dari segi pemikiran. Saudara lebih terbuka dan kerap kali dilihat
sebagai menentang arus. Bagaimana saudara boleh menyesuaikan diri dan mengimbangi antara lama dan baru?
J: Apabila kita
menyahut agenda transformasi Presiden
parti yang juga Perdana Menteri, kita kena buktikan melalui pemikiran baru. Itu
yang dituntut oleh transformasi. Kalau kita cakap soal transformasi tetapi
tidak bawa transformasi dalam pemikiran, kita tidak akan bawa apa-apa
perubahan. Yang penting walaupun pemikiran saya kadangkalanya berbeza dengan
pemimpin lain lebih senior, penghormatan itu tetap ada dan kita akan bertemu
dengan mereka. Saya selalu suka berbincang dengan pemimpin lebih senior, dalam
kalangan menteri dan menteri besar, saya akan jelaskan pandangan daripada
generasi saya. Bukan bermaksud kita nak lari daripada perjuangan asal UMNO nak
bantu Melayu dan pastikan agama dan bangsa pelihara. Itu tetap mesti ada, tetapi soal politik baru yang saya sebutkan
tadi, urus tadbir baik, pemikiran lebih terbuka, termasuk kepada kebebasan
bersuara dan sebagainya, itu kita kena jelaskan. Ini tuntutan generasi saya,
mungkin bukan generasi anda, tetapi
generasi kami. Saya melihat diri saya sebagai pembawa obor generasi saya
seperti mana mereka satu ketika dulu bawa aspirasi generasi mereka. Saya
nampak penghormatan itu ada, tiada
masalah.
S: Dalam pemilihan
ini, ada empat calon lain akan mencabar saudara.
J: Saya terbuka sebab
sistem kita yang sama-sama pinda empat tahun lalu (2009) yang mahu menunjukkan
kepada rakyat bahawa UMNO adalah parti yang terbuka. Kita buka kepada
perwakilan di peringkat bahagian untuk memilih jawatan tertinggi dalam UMNO.
Yang kedua, kita buka seluas-luasnya, dengan sedikit syarat kepada ahli kita
untuk bertanding, hatta jawatan tertinggi dalam parti. Bila sudah buat pindaan
itu, takkanlah sebagai antara pemimpin yang menyokong pindaan itu, saya nak
kata oh tak boleh bertanding lawan saya. Bila ada orang nak bertanding Ketua
Pemuda kita mengalu-alukan atas semangat keterbukaan dalam parti. Tetapi bagi
saya untuk perwakilan, dia kena fikir sedalam-dalamnya, ini bukan pesta
populariti sekelip mata saja. Ini adalah soal masa depan parti, mesti
bertanggungjawab.
S: Bagaimana
pandangan saudara berhubung kesediaan Datuk Mukhriz Mahathir untuk bertanding
jawatan Naib Presiden?
J: Beliau adalah
seorang pemimpin generasi muda dalam parti kita yang ada masa depan cerah dan
berjaya menjadi Menteri Besar Kedah. Kita berharap beliau dapat membangunkan
Kedah dengan baik dan kekalkan kekuasaan BN di Kedah. Soal dia nak bertanding
jawatan apapun dalam parti, terpulang kepada dia sebab dalam semangat
keterbukaan, kita tidak boleh halang.
Kita perlu semua pemimpin memainkan peranan dalam UMNO. Saya tidak mahu lihat
pemimpin kita bergaduh sampai kita kerugian seorang pemimpin yang boleh membantu
pasukan UMNO.
S: Andainya masa
depan ini adalah hak anda dan Mukhriz sebagai pelapis, boleh saudara bekerja
sebagai satu pasukan?
J: Saya tidak ada
masalah, kita pernah bekerja sebagai satu pasukan ketika saya menjadi Naib
Ketua dan beliau EXCO Pemuda UMNO. Saya sudah kenal beliau begitu lama. Saya
rasa dalam UMNO, saya antara orang yang kenal beliau paling lama sejak umur
saya enam tahun lagi. Dia lebih tua daripada saya 11 tahun dan saya kenal dia
daripada kecil lagi. Jadi saya tidak ada masalah dengan dia, untuk kebaikan
parti.
S: Apa pandangan
saudara mengenai sistem baru pemilihan UMNO ini?
J: Tiada siapapun tahu sebab kali pertama nak
buat. Insya-Allah saya berharap tiada pertikaian sebab kita semua bersetuju
dengannya. Saya harap ia berjalan lancar.
S: Terdapat banyak
seruan, saranan, gesaan daripada banyak pihak termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad
sendiri yang mahu golongan muda diberi laluan untuk mengambil alih kepemimpinan
UMNO di semua peringkat.
J: Itu saranan yang
baik dan sebagai Ketua Pemuda takkan saya tak sokong saranan itu. Saya nak
melihat lebih ramai lagi orang muda diberi tempat. Tetapi yang penting ialah
kombinasi yang baik. Kita perlu juga yang berpengalaman, sebab itu Pemuda UMNO
kita tawar empat orang untuk bertanding dalam Majlis Tertinggi (MT). Saya harap
mereka dapat tempat dalam MT. Kita nak tunjuk bahawa proses peremajaan dalam
UMNO bukan hanya terhad pada Pemuda dan Puteri,
tetapi juga dalam arus perdana, parti induk dan kalangan orang dewasa
ada kepemimpinan orang muda.
S: Mengenai Wanita
UMNO pula, bagaimana saudara melihat tindakan kompromi Datuk Seri Azalina
Othman dalam perebutan jawatan Ketua Wanita?
J: Saya lihat mungkin
ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Sekiranya Azalina bertembung dengan
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, kita akan kehilangan salah satu daripada dua
orang itu. Saya lihat Shahrizat masih lagi kuat dalam Wanita dan Azalina
mungkin tidak berjaya. Kita akan kerugian sebenarnya sebab Azalina adalah
pemimpin yang ada bakat dan masa depan. Dengan kompromi, kita dapat kekalkan
kedua-duanya, sudah tentunya lebih baik untuk kita. Shahrizat akan terus jadi
Ketua Wanita, kestabilan pada Wanita UMNO dan dapat menyediakan Azalina untuk
ambil alih kepemimpinan Wanita satu hari nanti.
S: Apa pandangan
saudara mengenai penyertaan orang lama dalam pemilihan ini?
J: Itu keputusan
mereka dan mesti dihormati. Prinsip sekarang ialah keterbukaan, sesiapapun
boleh menawarkan diri. Yang penting perwakilan perlu pilih dengan bijak siapa
akan menjadi wajah UMNO empat lima tahun akan datang apabila kita berdepan
dengan rakyat.
S: Apa pandangan saudara mengenai UMNO selepas
pemilihan ini?
J: Selepas pemilihan
kita kena bersatu semula dan rapatkan barisan. Sudah pasti dalam pemilihan,
walaupun dalam semangat kekeluargaan, mesti ada yang terguris, terasa dan
terpinggir apabila kalah. Kita kena fokus balik pada usaha PRU-14, itu penting.
Ini soal hidup mati UMNO. Pemilihan UMNO ini adalah untuk kita pilih wajah UMNO
yang akan berdepan dengan rakyat. Pilihlah mereka yang diterima oleh rakyat dan
ahli, jangan kita pilih hanya mereka yang popular dalam kalangan ahli, malah
mereka mesti diterima rakyat. - Berita Harian, 30 September 2013