Sunday, 22 September 2013

Enam calon berentap naib presiden UMNO

Datuk Mukhriz Mahathir ketika menghantar borang pendaftaran sebagai calon di Pusat dagangan Dunia Putra (PWTC) 21 September 2013.
  Ketiadaan calon lain yang mencabar Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan kali ini, membuktikan ahli parti menyokong kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mahu UMNO terus kukuh.

  Keadaan ini membolehkan Najib dan Muhyiddin menumpukan sepenuhnya kepada usaha mengukuhkan parti dan meneruskan dasar perjuangan parti dan pentadbiran kerajaan tanpa diganggu soal pertandingan dan asakan daripada pencabar.
  Ia juga petanda betapa ahli UMNO amat matang berpolitik dan menyedari betapa amanah dan tanggungjawab memimpin parti dan negara yang kini dipikul kedua-dua pemimpin tertinggi itu adalah amat berat.

  Hakikat yang harus diterima ialah untuk sampai ke tahap berkenaan, ahli UMNO hendaklah terlebih dulu mengukur baju di badan sendiri dan ini amat sukar dilakukan apabila tiada pencalonan daripada bahagian sebagai mana pada pemilihan sebelum ini.
  Maknanya, orang akan hanya berani jika popularitinya diukur berdasarkan pencalonan. Tanpa pencalonan, sukar bagi bakal calon membuat andaian sama ada mereka diterima ataupun tidak.

  Untuk mencabar pemimpin atasan sedia ada sudah tentunya memerlukan calon berkaliber atau setaraf.
  Menjelang jam 5 petang semalam apabila pendaftaran ditutup, masih ada ahli UMNO yang menanti apakah akan muncul calon untuk mencabar jawatan Presiden atau Timbalan Presiden.

  Ada yang mengandaikan bahawa Ketua UMNO  Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mungkin menghantar wakilnya pada saat-saat akhir itu untuk mengemukakan borang pencalonan, tetapi ternyata ia tidak berlaku. 
  Justeru, walaupun pemilihan kali ini bersifat terbuka dan layak ditandingi oleh semua ahli jawatankuasa bahagian dan ahli Majlis Tertinggi sedia ada, ia bukanlah jawatan untuk calang-calang orang.

  Walaupun ada desas-desus di sana sini menjelang hari pendaftaran calon, tiada lagi borang yang dihantar bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, sekali gus memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Najib dan Muhyiddin.
  Pada akhir tempoh pendaftaran itu, enam orang disahkan bertanding Naib Presiden, lima bagi jawatan Ketua Pemuda dan tiga bagi jawatan Ketua Wanita.

 Dengan ketiadaan pencabar bagi jawatan nombor satu dan dua itu, maka tumpuan sudah tentu beralih kepada jawatan ketiga penting dalam hierarki parti iaitu Naib Presiden.
  Keputusan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir untuk bertanding membuka lembaran baru dalam saingan jawatan itu. Ramai ahli UMNO dan rakyat ingin melihat perubahan pada pemilihan parti kali ini dan penyertaan Mukhriz sebagai calon baru memberikan mereka satu pengharapan baru.

 Bagaimanapun ia bukannya bermakna pemimpin yang ada itu tidak disokong atau perlu disingkirkan. Pertandingan hanya satu proses dalam sistem demokrasi dan apabila ada saingan seperti yang akan berlaku pada 19 Oktober depan, pastinya ada pihak menyokong dan ada yang tidak menyokong.
  Enam calon yang akan berentap bagi jawatan Naib Presiden ialah tiga penyandangnya; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.

  Ketiga-tiganya dikatakan mempunyai kesepakatan dalam mempertahankan kedudukan mereka apabila muncul pada masa sama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
  Dua lagi pencabar mereka selain Mukhriz ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Isa dan Mohd Ali masing-masing pernah menjadi Naib Presiden pada 2004.

  Selain itu, perebutan jawatan Ketua Pemuda   juga agak menarik apabila penyandangnya, Khairy Jamaluddin berdepan dengan empat pencabar iaitu Ketua Pemuda Bendang Baru (Langkawi), Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi; Naib Ketua Pemuda UMNO Bukit Setiawangsa, Irwan Ambak; bekas Ketua Pemuda Merbok, Karim Ali; dan Syed Rosli Syed Harman Jamalullail dari Bahagian Pandan.
 Akhramsyah ialah anak kepada bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sanusi Junid.
 Perebutan bagi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia pula menyaksikan kejutan pada jam 4.45 petang apabila borang penyertaan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan dikemukakan untuk jawatan Ketua Wanita.

  Selain Maznah, seorang lagi calon, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Raihan Sulaiman Palestin akan mencabar jawatan yang  disandang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
  Sistem pemilihan  lebih terbuka kali ini juga menyebabkan ahli UMNO lebih berani tampil mencabar jawatan ketua bahagian yang dipegang orang lama yang berjawatan tinggi dalam kerajaan.

  Antaranya, orang kuat Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad dicabar bagi jawatan Ketua Bahagian oleh Ketua UMNO Cawangan Jalan Utama Kampung Melayu, Zulkifli Ismail manakala di Padang Rengas, bekas pegawai kerajaan, Shahidan Yusof pula mencabar Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri  Aziz, yang juga menghadapi tentangan daripada Bendahari bahagian, Datuk Jamal Nasir Rasdi.
  UMNO Bahagian Gua Musang pula menyaksikan ketuanya, Tengku Razaleigh Hamzah dicabar Ketua Pemudanya, Bazlan Baharuddin manakala di bahagian Hulu Terengganu, ketuanya, Datuk Tengku Putra Tengku Awang dicabar Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

  Dua muka baru turut menyertai pertandingan untuk merebut jawatan Ketua Bahagian termasuk Mukhriz  yang menang tanpa bertanding di Jerlun dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man di Kangar.
  Bekas Naib Ketua Puteri, Shahanim Mohd Yusof pula akan bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian Sungai Petani, wanita pertama yang bertanding jawatan setinggi itu di Kedah.

 Pemilihan ini juga menampilkan semula muka lama seperti bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang akan merebut jawatan Ketua Bahagian Masjid Tanah dalam pertandingan tiga penjuru dengan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Ab Rauf Yusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman. 
  Selain itu dalam pemilihan tahun ini, Shahrizat yang selama ini memainkan peranan aktif di peringkat bahagian turut berasa terpanggil untuk bertanding  jawatan sebagai Ketua Wanita Bahagian Kepong.

 Di samping Shahrizat, seorang lagi pemimpin Wanita UMNO pusat pada satu masa lalu, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman juga ingin kembali aktif dalam arena politik di peringkat bahagian setelah berehat buat seketika dengan menawarkan dirinya untuk  jawatan Ketua Wanita Bahagian Paya Besar.
  Kesediaan pemimpin di semua peringkat ini untuk menawarkan diri memegang pelbagai jawatan  membuktikan betapa segar dan kukuhnya demokrasi dalam UMNO. Ia  menunjukkan parti berkenaan berani  berubah dan membuka peluang seluas-luasnya kepada generasi muda dan golongan profesional membabitkan diri secara aktif. - BH Ahad, 22 September 2013