Kelayakan itu berdasarkan syarat mudah iaitu mereka pernah menjadi ahli jawatankuasa bahagian untuk satu penggal selama tiga tahun. Dengan kelayakan tersebut, mereka juga boleh menawarkan diri untuk bertanding apa saja jawatan termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali, berkata jumlah itu diandaikan kerana kini terdapat 28 ahli jawatankuasa di setiap bahagian. UMNO mempunyai 191 bahagian mengikut kawasan pilihan raya Parlimen kecuali Sarawak.
Peraturan baru dalam kaedah pemilihan itu yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO 2009, diguna pakai buat kali pertama pada pemilihan tahun ini.
Tajol menegaskan perkembangan itu menunjukkan sikap keterbukaan pucuk pimpinan UMNO yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berbanding sistem kuota sebelum ini yang mengkehendaki calon presiden memperoleh 30 peratus kuota pencalonan atau sokongan daripada 57 bahagian.
“Ia menyerah kembali hak mengundi kepada perwakilan pada peringkat bahagian berbanding lebih 2,000 perwakilan sebelum ini. Itulah demokrasi dalam UMNO,” katanya.
Sementara itu, UMNO turut melakar sejarah baru dalam arena politik tanah air apabila hampir 400,000 ahli daripada 191 bahagian dijangka akan membuat penentuan pada pemilihan parti bulan depan.
Kira-kira 160,000 ahli dijangka memilih kepemimpinan UMNO iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Tiga Naib Presiden dan 25 ahli MT. Sejumlah 100,000 lagi akan memilih barisan kepemimpinan Wanita UMNO, 80,000 lagi akan memilih pemimpin Pemuda dan 50,000 pula akan memilih barisan pemimpin Puteri.
“Ini adalah detik bersejarah bagi parti UMNO, bahkan parti politik di negara ini. Buat kali pertama juga UMNO mempelopori kaedah pemilihan baru itu,” kata Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Abdul Rauf Yusoh.
Oleh kerana ia kali pertama diadakan, UMNO akan menganjurkan satu simulasi di Institut Latihan UMNO, Janda Baik pada 27 hingga 29 September ini bagi mendapatkan maklum balas ahli di peringkat akar umbi.
Katanya, simulasi itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar perjalanan mesyuarat dan pemilihan di peringkat bahagian di mana akan diadakan simulasi perjalanan mesyuarat, pengundian dan pengiraan undi.
“Kita akan perhalusi segala-galanya untuk tujuan penambahbaikan. Simulasi yang dihadiri pengerusi jawatankuasa pemilihan bahagian dan setiausaha masing-masing sudah tentu dapat memberi garis panduan yang baik kepada ibu pejabat.
“Kita akan cuba respon bagi memudahkan cara. Sebelum ini kita putuskan borang dihantar terus ke pejabat perhubungan tapi selepas mendapat maklum balas, peraturan itu dipermudahkan dan kini borang boleh juga dihantar ke pejabat bahagian selewat-lewatnya jam 5 petang Jumaat.
“Bahagian pula perlu menghantar borang tersebut ke pejabat perhubungan paling lewat sebelum jam 5 petang Sabtu ini,” katanya.
Rauf juga mengingatkan ahli bahawa mereka hanya boleh menyerahkan kembali borang yang diambil kerana ia mempunyai nombor siri. Borang juga tidak boleh dipindah milik kepada orang lain.
Ibu pejabat membenarkan calon menghantar borang menerusi wakilnya sendiri dengan syarat ada surat pengesahan. Calon juga boleh menarik diri dalam tempoh 72 jam atau tiga hari, selepas itu kertas undi akan dicetak oleh ibu pejabat.
Rauf berkata, calon yang tidak menarik diri akan dianggap menyertai pertandingan dalam pemilihan ini.
Mengenai kemungkinan ramai calon meraih jumlah undi yang sama untuk tempat terakhir bagi jawatan tertentu, Tajol berkata, pihaknya akan merujuk kepada undi popular pada peringkat bahagian bagi menentukan pemenang.
Tajol berkata, kaedah itu boleh digunakan kerana UMNO menggabungkan sistem electoral college Amerika Syarikat dan sistem undi popular United Kingdom.
Sehingga jam 5 petang kelmarin, 243 individu sudah mengambil borang penyertaan iaitu MT sebanyak 76, Wanita (44), Pemuda (86) dan Puteri (29). Jumlah itu dijangka meningkat apabila ahli mula menyerahkan borang pendaftaran esok.
Rauf mengesahkan semua pemimpin dan ahli yang nama mereka disebut-sebut akan bertanding sejak minggu lalu juga sudah pun mengambil borang masing-masing. - Berita Harian, 20 September 2013