Apakah Syria dan Bashar al-Assad
juga bakal menghadapi nasib sama seperti yang ditempuhi Saddam Hussein dan Iraq
10 tahun lalu?
Inilah antara persoalan yang
sedang bermain di fikiran kebanyakan pemimpin dan pemerhati politik dunia serta
rakyat Amerika sendiri yang ingin tahu perkembangan lanjut situasi di negara
Asia Barat itu.Sudah tentu ucaptama Presiden Barack Obama hari ini akan diberikan perhatian di mana beliau dijangka menjelaskan kepada rakyat Amerika mengenai tindakannya di Syria, dengan tujuan untuk mendapat restu anggota Kongres.
Seperti yang berlaku di Iraq kira-kira 10 tahun lalu, AS juga sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan sekutunya bagi menjustifikasikan serangan yang mungkin dilancarkan ke atas Syria.
Kali ini AS akan menggunakan alasan serangan senjata kimia yang mengorbankan kira-kira 1,429 orang termasuk 426 kanak-kanak yang kononnya dilakukan kerajaan Syria pada 21 Ogos lalu.
Di Iraq, senjata pemusnahan besar
menjadi alasan utama AS untuk melanggar negara itu dan menggulingkan Saddam
Hussein.
Namun, selepas itu dunia
dimaklumkan bukti yang dikemukakan Washington adalah palsu. Kali ini juga AS tidak mempunyai
bukti bahawa kerajaan Syria bertanggungjawab melakukan serangan kimia itu.
Presiden Pergerakan Antarabangsa
Untuk Keadilan Dunia (JUST), Profesor Dr Chandra Muzaffar, berkata Washington
seharusnya mengemukakan bukti itu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB).
Dr Chandra berkata, sebahagian
besar manusia sudah bosan dengan peperangan dan daripada bancian yang dilakukan
di AS Britain dan negara lain, mereka sememangnya menentang peperangan.
"Mereka sudah penat dengan
peperangan di Iraq kira-kira 10 tahun lalu, Afghanistan dan kemudian Libya.
Sentimen antiperang dalam kalangan rakyat di rantau berkenaan amat kuat.
"Mereka tahu apa yang
berlaku di Iraq, selepas 10 tahun, ia masih kucar- kacir. Di Libya keadaan
politiknya pula tidak stabil dan berpecah kepada beberapa puak dan kabilah.
Begitu juga di Afghanistan yang tiada hala tujunya," katanya.
Dalam kes Syria, AS tidak
menunjukkan bukti siapa yang bertanggungjawab melancarkan serangan senjata
kimia itu tetapi Russia dan Syria sendiri sudah pun menyerahkan buktinya kepada
PBB bahawa yang melakukannya adalah kumpulan penentang Assad.Namun Obama mengetepikan PBB dan menyatakan AS akan menyerang walaupun tanpa mendapat restu daripada Kongres.
"Kita harus memahami apa yang berlaku. Ia adalah usaha rapi beberapa kumpulan serta pelaku serantau dan pergerakan yang bekerjasama sehaluan dengan kuasa besar terutama AS dan Perancis.
"Tujuan mereka adalah untuk memastikan penguasaan Barat dan Israel dapat diteruskan di rantau Asia Barat dan Afghanistan, demi kepentingan minyak dan perairan seperti Terusan Suez dan Selat Hormuz," katanya.
Bagi kuasa besar ini, katanya,
kepentingan utama mereka ialah Israel dan setiap kumpulan pendesak zionis
berkempen dengan hebatnya supaya berlaku peperangan.
Katanya, kumpulan seperti
American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) dan Anti Defamation League
(ADL) begitu berpengaruh dalam kalangan ahli Senat AS sehingga menyebabkan
pemimpin negara itu sering mengikut telunjuk mereka."Dulu mereka menggunakan Saddam Hussein dan senjata pemusnahan besar sebagai alasan untuk menyerang Iraq tetapi ternyata ia adalah cerita rekaan mereka dan pembohongan.
"Di manakah senjata
pemusnahan besar yang didakwa mereka itu? Kali ini timbul pula dakwaan mengenai
senjata kimia," katanya.
Dr Chandra berkata, Israel adalah
pelaku utama dan dalang yang mengelolakan strategi untuk menghancurkan rejim
Assad kerana bagi mereka Syria, Mesir dan Iraq mesti huru-hara.Katanya, adalah tidak masuk akal sekiranya ada pihak menyatakan Assad sendiri yang mengarahkan supaya rakyatnya dibunuh kerana di mana-mana negara pun kerajaan ditentang golongan bersenjata perlu bertindak.
"Bagaimana keadaannya jika
ia berlaku di Nebraska atau California? Apakah kerajaannya akan berdiam
diri?" soal beliau. - Berita Harian, 10 September 2013